Ahad, 24 Disember 2017

Abang Dell Akbar meninggal dunia

ARKIB2009A
ARKIB : 02/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bekas pemain pertahanan bola sepak kebangsaan pada era 60-an hingga 70-an yang pernah dipilih menyertai skuad Asian All-Stars, Sardar Khan Hyder Khan, meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas dikesan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Anak sulung daripada empat beradik yang meninggalkan seorang balu, Che Nah dan sepasang anak, Mohammad Rashad Khan dan Siti Saddarina serta tiga cucu ini meninggal dunia ketika tidur di rumahnya, Nombor 52, Jalan AU2A/14, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Allahyarham, abang kepada bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bek kanan negara, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan dianggap sebagai salah seorang tulang belakang handalan skuad kebangsaan dan Selangor dari 1963 hingga 1971.

Allahyarham pernah menjulang trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaya pada era 60-an dan seangkatan legenda tanah air seperti Datuk Ghani Minhat, Arthur Koh, Edwin Dutton dan Datuk M. Chandran serta mencipta nama dalam skuad negara yang menjuarai Pestabola Merdeka 1968 menewaskan Burma 3-0.

Dia dilahirkan di Bangsar, Kuala Lumpur pada 6 September 1943.

Pada 1967, Sardar juga menganggotai skuad Asian All-Stars dengan Chinna Karuppan, Chow Kwai Lam dan Chandran serta Foo Fook Chuan (Perak) di samping Do Thoi Vinh (Vietnam), Yaacob Sihasaley, Soejipto (Indonesia) dan jaguh Iran, Akbar Idifhari.

Allahyarham yang pernah bertugas di Bank Standard Charterd, dikenali dengan terjahan keras dan berani merampas bola daripada kaki lawan, menganggotai barisan terbaik benua itu yang dikalahkan kelab terkemuka England, Arsenal 6-2.

Dell Akbar ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata, Sardar dikatakan sudah tidak sedarkan diri setelah rakannya meminta anak Allahyarham mengejutkannya untuk bangun berjoging bersama mereka seperti rutin setiap pagi.

"Kemungkinan dia diserang sakit jantung kerana kira-kira pukul 2 pagi sebelumnya, Allahyarham mengadu sakit dada lalu dibawa ke klinik namun, selepas makan ubat sebanyak dua kali, barulah dia dapat tidur," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur semalam dan satu majlis tahlil diadakan di kediamannya selepas solat Isyak, sebelah malamnya.

Turut menziarahi jenazahnya ialah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad dan bekas pemain negara dan Selangor seperti Rahim Abdullah, Reduan Abdullah, Zulkifli Norbit, Khalid Ali, Zainal Abidin Hassan, Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) - Datuk Yap Nyim Keong dan Kwai Lam.

Kata Reduan, bekas pemain Selangor dan Malaysia pada era 70-an dan 80-an: "Allahyarham merupakan senior kami ketika itu. Walaupun tidak sempat bermain sepasukan, saya pernah menyaksikan kehandalannya bermain sebagai bek tengah."

Warga Meja Sukan Utusan Malaysia mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz52A69Q2y3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan