ARKIB : 21/10/2008
Oleh MOHD. HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
Zaquan Adha Razak cuba melepasi
para pemain Afghanistan sambil diperhatikan oleh Hardi Jaafar (tengah) pada
perlawanan dengan Afghanistan di Stadium Nasional Bukit semalam. Malaysia
menang 6-0.
- Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN
KUALA LUMPUR - Malaysia
mengesahkan status selaku juara Kumpulan A sambil menempah pertemuan dengan
Myanmar dalam separuh akhir Pestabola Merdeka ke-40 selepas membelasah
Afghanistan 6-0, semalam.
Sekalipun cuma perlu seri dalam
perlawanan pelengkap jadual di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana telah layak
lebih awal, namun tuan rumah terus memberikan aksi terbaik demi menghiburkan
kira-kira 3,000 penyokong setia.
Pemain sayap kiri, Ashaari
Shamsuddin menyumbangkan dua gol pada minit ke-22 dan m-64, manakala Nizaruddin
Yusof dan Zaquan Adha Razak menambah dua lagi di m-42 dan m-45. Safee Sali dan
Hairuddin Omar melengkapkan kemenangan besar pada m-84 dan m-87.
Nizaruddin mencipta gerakan
untuk gol pembukaan Malaysia apabila hantarannya disempurnakan oleh Ashaari
pada m-22.
Dia kemudian berjaya menjaring
selepas menolak umpanan Zaquan di m-42, sebelum Zaquan sendiri melebarkan
kedudukan 3-0, beberapa saat sebelum tamat babak pertama.
Pada m-64, Ashaari mengukuhkan
kedudukan 4-0 buat Malaysia dengan merembat hantaran lambung S.Subramaniam.
Safee Sali yang masuk menggantikan Zaquan menanduk gol kelima Malaysia selepas
mendapat umpanan Khyril Muhymeen Zambri, manakala gol keenam dilengkapkan oleh
Hairuddin.
Pada perlawanan awal di stadium
yang sama, menyaksikan Myanmar mengiringi Vietnam ke separuh akhir apabila
berjaya menewaskan Mozambique 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.
Bagaimanapun mereka dikejutkan
terlebih dahulu dengan jaringan pertama Mozambique menerusi pemain, Enio Saize
pada minit ke-37 selepas menerima hantaran cantik dari Manuel Fernandes di
sebelah kanan.
Tersentak dengan jaringan
tersebut Myanmar terus melakukan asakan ke kubu Mozambique dan akhirnya mereka
berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 menerusi sepakan voli, Tun
Tun Vin.
Apa pun, Khim Maung Lwin
menjadi wira pasukan Myanmar selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit
ke-72 hasil dari serangan pantas, seterusnya membolehkan Myanmar mara ke
separuh akhir.
Sementara itu di Stadium Shah
Alam, turut mengiringi Malaysia ke separuh akhir Kumpulan A ialah Sierra Leone
yang menewaskan Nepal 3-1.
Sierra Leone memperoleh gol
awal menerusi Mamadu Lajor Bah pada minit keempat hasil hantaran lambung Mumino
Khomson Kamara yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Nepal, Bikash Malla.
Dalam satu lagi perlawanan awal
di Stadium Shah Alam, Bangladesh berjaya membuat kejutan untuk mengikat Vietnam
2-2 walaupun ketinggalan ekoran jaringan gol pembukaan Vietnam seawal minit
keempat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5102qJvys
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan