Selasa, 5 Disember 2017

Felda tampil dengan tajaan RM9 juta

ARKIB : 05/09/2008
KELANA JAYA - Felda tampil memberi komitmen besar dalam pembangunan sukan bola sepak negara apabila bersetuju menaja RM9 juta untuk menganjurkan buat kali pertama Liga Futsal Kebangsaan bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengumuman mengenai penganjuran sulung liga futsal itu dibuat oleh pengerusi jawatankuasa futsal FAM, Hamidin Mohd. Amin, semalam.

Menurut Hamidin, kesediaan Felda ini membolehkan FAM menganjurkannya untuk tiga musim berturut-turut.

Katanya, pelancaran rasmi liga futsal ini akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas hari raya nanti.

"Buat permulaan musim 2008/2009 akan membuka tirainya dari 30 Oktober tahun ini hingga 23 Februari tahun depan.

"Ia bakal membabitkan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita dari semua 14 negeri di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Felda sendiri serta tujuh lagi pasukan kelab seperti dalam Liga Malaysia.

"Sebanyak RM213,000 hadiah wang tunai ditawarkan kepada pasukan-pasukan yang bertanding," katanya.

Sama seperti Liga Malaysia, format Liga Futsal Kebangsaan juga menawarkan tiga kejuaraan iaitu juara liga, Piala FAM/Felda (ala Piala FA) dan Piala Perdana (ala Piala Malaysia).

Untuk saingan liga, semua pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan untuk bersaing dalam empat sirkit pertandingan.

Juara setiap kumpulan akan layak untuk bersaing dalam sirkit kelima yang dilangsungkan secara liga untuk menentukan juara liga.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50N9jLCJF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan