Isnin, 11 Disember 2017

Sathia kecewa sokongan hambar

ARKIB : 23/10/2008
 
Shukor Adan (kiri) berjabat tangan dengan Ketua Pasukan Myanmar, Soe Myat Min selepas sidang akbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Pestabola Merdeka Ke-40 sepatutnya menyaksikan kehadiran lebih ramai peminat bola sepak tanah air di stadium sesuai dengan namanya bersempena ulang tahun kemerdekaan negara dan medan yang tepat untuk menunjukkan semangat patriotik, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sayangnya setelah seminggu kejohanan jemputan tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini, hanya penyokong pasukan luar yang bekerja di sini yang lebih ramai mengunjungi Stadium Petaling Jaya, Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kehadiran hambar penyokong tempatan turut mengecewakan jurulatih negara, B. Sathianathan sekalipun anak buahnya menjuarai Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos selepas menewaskan Nepal dan Sierra Leone 4-0 serta Afghanistan 6-0.

Malaysia menempah pertemuan separuh akhir dengan Myanmar yang juga naib juara Kumpulan B pukul 8.45 malam ini manakala juara kumpulan itu, Vietnam menghadapi Sierra Leone dalam perlawanan pukul 5.45 petang, kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Tidak manis jika kami masuk padang di sini dan mendengar sorakan yang lebih lantang daripada penyokong Myanmar seperti dua perlawanan dengan mereka dalam Pestabola tahun lalu (peringkat kumpulan dan perlawanan akhir)," katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sathianathan menegaskan: "Ketika menentang Chelsea (dalam persahabatan 22 Julai lalu), sorakan terhadap lawan juga yang lebih kuat kedengaran dan saya harap keadaan ini berubah dan kami mahukan kehadiran penyokong Malaysia yang lebih ramai dan pasukan amat memerlukan sokongan itu."

Katanya, kesebelasan utama negara bakal ditentukan selepas sesi latihan pagi ini memandangkan penyerang, Hairuddin Omar dan sayap kanan, Khyril Muhymeen Zambri diserang demam yang memerlukan mereka menjalani ujian perubatan sebelum disahkan boleh bermain.

Ketua pasukan negara, Shukor Adan pula berkata, aksi meyakinkan barisan simpanan Malaysia ketika mengganyang Afghanistan 6-0, Isnin lalu turut mencetuskan semangat persaingan yang sihat tetapi sengit di kalangan semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama menentang Myanmar.

"Sebenarnya tiada istilah pemain simpanan Malaysia kerana 20 pemain sekarang merupakan yang terbaik tetapi yang bagus daripada perlawanan itu ialah semua bersaing untuk bermain menentang Myanmar," katanya,



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz510JdWj6X

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan