Isnin, 11 Disember 2017

Sathia rindukan Akmal, Titus

ARKIB : 27/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
Safee Sali (tengah) sering mendapat kepercayaan B. Sathianathan dalam perancangan barisan terbaik skuad negara namun jurulatih negara itu turut menagih keringat Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk kejohanan Piala AFF di Thailand, Disember ini.
- Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Nama penyerang Kuala Muda Naza, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tiba-tiba meniti bibir jurulatih negara, B. Sathianathan sekalipun anak buahnya mengumpul 18 gol menerusi jaringan pelbagai pemain sepanjang Pestabola Merdeka Ke-40 yang berakhir kelmarin.

Bukan bererti dia masih kecewa dengan sentuhan gandingan senior dan muda yang cuma bergelar naib juara Pestabola tetapi di mata jurulatih ini yang menerajui pasukan sejak Ogos tahun lalu, Akmal masih antara penyerang terbaik di Malaysia selain Safee Sali - penyumbang lima gol kejohanan bola sepak jemputan itu.

"Bagi saya, Akmal masih penyerang terbaik negara selain Safee. Cuma kecederaan lama yang berulang, menghalang saya daripada memilihnya. Dia mungkin mampu menyelesaikan ketumpulan penyudah kita seperti menentang Vietnam (kalah penalti 6-5 selepas terikat 0-0 masa tambahan.

"Kita sepatutnya lebih tajam dalam perlawanan itu tetapi banyak umpanan lintang yang tidak menjadi. Memasukkan Hairuddin Omar sebagai penyerang gantian untuk menyambar umpanan di udara juga masih tidak berkesan," katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas perlawanan akhir kelmarin.

Kali terakhir Akmal menyarung jersi negara di bawah Sathianathan ialah dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia di Surabaya yang berkesudahan seri 1-1 pada 6 Jun lalu namun dia tidak berada dalam kesebelasan utama malah cuma bermain beberapa minit sebagai penyerang gantian.

Sepanjang Pestabola, Malaysia membolosi gawang Nepal 4-0, Sierra Leone 4-0, Afghanistan 6-0 dan Myanmar 4-0 menerusi Safee, Indra Putra Mahayuddin, Ashaari Shamsuddin, Amirulhadi Zainal, Hairuddin Omar, Khyril Muhymeen Zambri, Zaquan Adha Radzak, Aidil Zafuan Radzak dan Nizarudin Yusop.

Bagaimanapun sentuhan barisan depan negara sentiasa dihampakan oleh ketumpulan penyudah, kekangan kemas benteng Vietnam dan hadangan baik penjaga golnya, Bui Tan Truong yang turut menafikan sepakan penentuan penalti keenam oleh Norhafiz Zamani Misbah.

Tiga pertukaran barisan depan oleh skuad negara untuk membawa masuk Hairuddin, Khyril dan Ashaari ke tempat Zaquan, Amirulhadi dan Hardi Jaafar kelmarin juga masih gagal menjinakkan pasukan pelawat yang mengandungi pemain bawah 22 tahun dan cuma dipersiapkan ke Sukan SEA Laos 2009.

Secara keseluruhan, Sathianathan bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi dalam lima perlawanan antarabangsa sepanjang Pestabola yang mampu menyediakan anak buahnya menghadapi misi kemuncak Piala Suzuki AFF Kumpulan B di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini.

Kelmarin keputusan terakhir pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF menempatkan juaranya, Laos sebagai anggota pelengkap Kumpulan B dengan Thailand, Malaysia dan Vietnam manakala Kemboja selaku naib juara, membentuk Kumpulan A di Indonesia dengan tuan rumah; Singapura dan Myanmar.

Secara kebetulan, Laos juga menjadi lawan sulung Malaysia dalam Piala Suzuki atau dulunya Piala Tiger dan Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) pada 6 Disember ini, diikuti Vietnam (8 Disember) dan Thailand (10 Disember) manakala perlawanan separuh akhir dan akhir dijalankan secara timbal balik di negara yang layak.

"Skuad negara akan kembali berlatih 2 November ini dan mungkin bertemu semula Vietnam dan Myanmar dalam Piala Cabaran Grand Royal di Myanmar dari 6 hingga 15 November ini," katanya yang turut mahu menilai kemampuan Titus James Palani sekembalinya penyerang itu ke tanah air dari Perancis.

"Saya masih cuba membuka peluang kepada Titus sehingga akhir bulan ini. Jika dia sempat tiba, saya akan bawa dia ke Piala Cabaran Grand Royal tetapi bukan bererti tempatnya sudah terjamin. Dia masih perlu bersaing dengan pemain lain sebelum saya senaraikan dia ke Piala Suzuki AFF," katanya.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah bola sepak Le Havre, Titus, 22, dikatakan cuba menyertai beberapa kelab profesional Perancis antaranya Villenoy, Meaux dan Marseille Endoume malah dia pernah dipanggil oleh jurulatih negara ketika itu, Bertalan Bicskei tetapi tidak terpilih ke Sukan SEA Filipina 2005.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz511dwmMuC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan