Rabu, 6 Disember 2017

B-16 sasar suku akhir Piala AFC

ARKIB : 04/10/2008
KUALA LUMPUR - Walaupun tidak terbabit dalam banyak perlawanan antarabangsa, skuad bawah 16 tahun kebangsaan tetap meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat suku akhir pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Uzbekistan, dari 4 hingga 19 Oktober ini.

Skuad kebangsaan dipilih oleh AFC ke kejohanan itu selepas penyertaan Korea Utara dibatalkan oleh jawatankuasa disiplin AFC pada 15 Februari lepas apabila mereka menurunkan pemain lebih umur semasa perlawanan kelayakan.

"Kami mensasarkan untuk mara ke peringkat suku akhir walaupun sedar saingan di peringkat kumpulan amat sukar," kata jurulatih kebangsaan Lim Kim Chon di sini, semalam.

Pada kejohanan itu, Malaysia diletakkan di dalam kumpulan D bersama Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen, dengan dua pasukan terbaik akan layak ke peringkat suku akhir.

"Jepun memang pasukan pilihan di dalam kumpulan ini, dan pasukan negara belum pernah bertemu dengan UAE dan Yaman tetapi corak permainan mereka lebih kurang dengan Bahrain," katanya.

Skuad bimbingan Kim Chon sebelum ini mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Bahrain pada kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bawah 16 tahun pada Julai lepas, yang merupakan antara perlawanan persediaan bagi menghadapi kejohanan itu.

Kim Chon berkata, 23 pemain akan dibawa ke kejohanan itu termasuk empat pemain baru yang dipanggil daripada Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia pada penghujung Ogos lepas bagi memantapkan pasukan.

"Buat masa ini tiada sebarang kecederaan serius yang dialami terutamanya membabitkan kesebelasan utama dan saya berharap ia akan berkekalan sehingga berlangsung kejohanan itu nanti," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kelemahan yang perlu di atasi segera seperti kepantasan pemain di dalam merencanakan corak permainan.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50Ux6InP7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan