ARKIB : 27/11/2008
KUALA LUMPUR - Timbalan
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar
semalam seolah-olah memberikan kata dua kepada jurulatih negara, B.
Sathianathan - 'Berjaya di Piala Suzuki AFF atau khidmat anda tidak disambung',
lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Tegasnya, sudah sampai masanya
jurulatih itu dan anak buahnya mencipta kejayaan dengan sekurang-kurangnya mara
ke perlawanan akhir setelah sekian banyak peluang dan permintaan ditunaikan
semata-mata dalam memudahkan persediaan skuad negara.
"Apa yang saya minta
daripadanya dan pasukan ialah hasilkan keputusan yang membanggakan. Kami di FAM
sudah memenuhi apa sahaja kehendaknya termasuk dengan menghabiskan Liga
Malaysia lebih awal musim ini dan masa secukupnya untuk menyediakan pasukan
negara dan mendapatkan pemain.
"Dia tidak boleh lagi
memberikan alasan atau bertangguh untuk mencipta kejayaan selepas Piala Suzuki
AFF (seperti sebelumnya - Kelayakan Olimpik dan Sukan SEA Korat 2007),"
katanya pada Sesi Percambahan Pemikiran Liga Malaysia 2010-2014 di Majlis Sukan
Negara, Bukit Jalil, semalam.
Skuad negara cuma bergelar naib
juara Pestabola Merdeka, bulan lalu dan terkandas pada separuh akhir Piala
Cabaran Grand Royal, pertengahan bulan ini, akan menentang Laos, Vietnam dan
Thailand dalam Kumpulan B.
Sathianathan mula menyandang
'kerusi panas' itu selepas membawa majoriti pemain bawah 23 tahun menjuarai
Pestabola tahun lalu tetapi anak buahnya kemudian gagal ke separuh akhir Sukan
SEA Korat 2007 - sasaran utamanya ketika itu setelah dikalahkan Vietnam 3-1,
menewaskan Laos 4-0 dan diikat Singapura 1-1.
Kata Khairy: "Kita perlu
menang ke atas Laos dan Vietnam dalam Piala Suzuki AFF untuk menjamin tempat
separuh akhir. Ia dua perlawanan penting buat pasukan negara kerana jika
sebaliknya, kegagalan akan berulang seperti pada Sukan SEA yang lalu. Justeru
tiada alasan boleh diberi lagi bagi kegagalan yang sama lagi kali ini."
Jika rekod lalu dijadikan
sandaran, peluang Malaysia masih sukar kerana pertemuan terakhir di peringkat
senior menyaksikan kita dikalahkan Vietnam 2-1 (Piala Tiger 2002 di Jakarta)
dan Thailand 1-0 (Kejohanan AFF 2007 di Bangkok) serta seri 1-1 dengan Laos
(Piala Tiger 2002 di Jakarta).
Pencapaian terbaik Malaysia
hanyalah bergelar naib juara Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF) dan
kejohanan tahun lalu menyaksikan skuad negara bimbingan Norizan Bakar terkandas
pada separuh akhir setelah dikalahkan Singapura menerusi penalti 5-4 setelah
terikat agregat 2-2 secara timbal balik.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz518vpxad8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan