ARKIB : 07/10/2008
KUALA LUMPUR Malaysia mampu
mengubah keputusan daripada dibelasah 4-0 oleh Jepun sekiranya mampu
menyudahkan beberapa peluang keemasan pada perlawanan Kumpulan D Kejohanan Bola
Sepak Bawah 16 Tahun Asia di Tashkent, Uzbekistan, kelmarin.
Jurulatih skuad remaja negara,
Lim Kin Chon berkata, anak buahnya cuma kekurangan dari segi pengalaman
berbanding juara bertahan, malah sempat membimbangkan dan mengekang lawan dalam
30 minit pertama perlawanan di Stadium MHSK itu.
Saya bangga dengan persembahan
pasukan kami dan mereka bermain seperti yang diharapkan. Cuma hilang tumpuan
dan kekurangan pengalaman mereka banyak membantu Jepun mencapai kemenangan,
katanya yang dipetik dalam laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC)
the-afc.com.
Jepun mengutip mata penuh
sekali gus menerajui kumpulan itu menerusi jaringan Takashi Usami (dua), Gaku
Shibasaki dan Takumi Miyayoshi sementara Yemen, naib juara 2002 seri 1-1 dengan
Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin untuk meninggalkan remaja negara di tangga
tercorot.
Peluang terbaik Malaysia tiba
menerusi tandukan benteng, Amer Saidin hasil umpanan lintang Fandi Othman dari
sebelah kiri yang cuma menyinggah palang gol selain dua percubaan penyerang, D.
Saarvindran dan Gary Steven Robbat yang sedikit tersasar pada minit ke-23 dan
49.
Kata Kin Chon, menentang Jepun
merupakan perlawanan pertama antarabangsa anak buahnya sejak menduduki tempat
ketiga Kejohanan Bawah 16 Tahun AFF di Indonesia, Julai lalu, malah agak
terjejas dengan cuaca panas di Stadium MHSK Tashkent yang mencapai 25 darjah
Celsius itu.
Ini satu pengalaman baru buat
pasukan yang hilang tumpuan hingga Jepun menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga
minit babak pertama dan dua lagi sepanjang lima minit babak kedua, katanya
yang meletakkan sasaran mara ke suku akhir kejohanan ini.
Malah, jurulatih Jepun, Ikeuchi
Yutaka yang mengakui anak buahnya agak sulit untuk meraih mata penuh, berkata, Malaysia
bermula dengan baik dan kami terpaksa menanti hingga 32 minit untuk mengawal
perlawanan dan menjaringkan gol.
Kami hanya dapat menguasai
bola di kawasan sendiri tetapi ini sia-sia dan kami terpaksa berhempas pulas
sepanjang perlawanan itu tetapi yang penting kami menang pada akhirnya dengan
kekuatan kami, kata Yutaka.
Malaysia yang hanya layak ke
kejohanan ini setelah lawannya, Korea Utara menurunkan pemain melebihi had umur
dalam pusingan kelayakan tahun lalu, akan menentang Yemen pukul 5 petang hari
ini (waktu Malaysia) dan satu lagi kekalahan bakal menutup peluang ke suku
akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50XLVCESh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan