Khamis, 14 Disember 2017

FAM tentukan nasib Sathia Isnin ini

ARKIB : 12/12/2008
 
MURAM... Skuad bola sepak Malaysia tiba dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia di Lapangan Terbang TUDM, Subang dari Phuket,

PETALING JAYA - Nasib B. Sathianathan sebagai jurulatih kebangsaan akan diketahui Isnin ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat mengenainya susulan kekalahan Malaysia dalam saingan Kumpulan B kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF di Phuket, kelmarin.

Walaupun FAM telah memberi ketetapan tidak akan memperbaharui kontrak Sathia yang tamat hujung bulan jika beliau gagal membawa pasukannya mara ke final kejohanan, namun belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan Sathia.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang ditanya mengenai perkara itu berkata, segala-galanya akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan FAM Isnin ini.

‘‘Masih terlalu awal untuk saya memperkatakan tentang kedudukan Sathia. Secara peribadi saya juga tidak boleh mengulas kedudukan beliau kerana ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan yang bermesyuarat Isnin ini,’’ katanya ketika tiba dari Phuket bersama para pemain skuad negara di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam.

Skuad negara menamatkan cabaran lebih awal di kejohanan tersebut apabila tewas dua perlawanan terakhir dengan Vietnam (2-3) dan Thailand (3-0) walaupun bermula cemerlang dengan membenam Laos 3-0 pada perlawanan pembukaan.

Gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir, kesuraman jelas kelihatan di wajah 22 pemain dan 11 pegawai yang tiba dari Phuket dengan menaiki pesawat Hercules C-130 milik TUDM pada pukul 2.30 petang, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51E4oaJbG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan