Ahad, 10 Disember 2017

Skuad remaja kita tersingkir

ARKIB : 12/10/2008
KUALA LUMPUR - Pengajaran yang paling pahit dan wajar mematangkan skuad remaja Malaysia walaupun sudah terkeluar daripada Kejohanan Bawah 16 Tahun Asia di Tashkent, Uzbekistan ialah jangan melepaskan gol awal.

Kelemahan ini dikenal pasti menjadi punca utama penyingkiran skuad bimbingan Lim Kim Chon itu di sebalik kesungguhan anak buahnya menyaingi sengit Jepun, Yemen dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan D dalam keadaan mentah dengan pengalaman antarabangsa.

Malaysia layak ke Tashkent atas kesalahan lawan, Korea Utara yang menurunkan pemain lebih umur dalam kelayakan tahun lalu dan tiada siapa pun yang mengharapkan kejayaan besar mereka khususnya dengan Jepun, juara bertahan dan Yemen, naib juara 2002.

Mereka dibelasah 4-0 oleh Jepun tetapi masih mampu bangkit dengan sedikit tuah untuk mengikat Yemen 1-1 sebelum merosot dengan kecundang 3-2 kepada UAE ketika cuba mengintai sisa peluang tipis untuk ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan.

''Melepaskan gol awal dengan cepat mematahkan semangat pasukan dan menjejaskan langsung permainan kami. Ia ketara berlaku pada perlawanan dengan Jepun dan UAE tetapi kesungguhan pemain bangkit bersaing dan mengejar kedudukan walaupun ketinggalan berhak dipuji.

"Kejohanan di sini memberitahu kita bahawa sedikit kehilangan tumpuan mampu menghasilkan gol mudah untuk lawan," kata Kim Chon.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50uIa1Ixi
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan