ARKIB : 28/10/2008
KEGAGALAN skuad bola sepak
Malaysia mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka pada perlawanan akhir
menentang Vietnam, Sabtu lalu memang mengecewakan ramai peminat bola sepak
tempatan selepas disajikan dengan aksi menarik sejak di awal saingan dengan kemenangan
membanggakan.
Namun, malam Sabtu lalu, skuad
gandingan orang lama dan baru bimbingan jurulatih B. Sathianathan tewas pada
penentuan sepakan penalti selepas bertahan selama 120 minit - satu tempoh masa
yang begitu panjang tanpa dapat membolos gawang Vietnam yang dibarisi skuad
remajanya.
Mungkin ada yang mengaitkannya
dengan tuah atau nasib, namun apa sekalipun, persediaan dalam apa jua keadaan
perlu sebelum berjuang.
Persoalan di sini ialah seperti
dilaporkan sejak awal, Vietnam tahu kekebalan benteng Malaysia sukar untuk
ditembusi dengan kemampuan yang ada pada skuad remajanya dan berdasarkan
pengamatan itu, negara yang pernah digeruni dalam arena antarabangsa satu
ketika dahulu lebih gemar bermain corak bertahan dengan berkampung di kawasan
sendiri dengan sekali sekala melancarkan counter attack.
Itu pun pelawat sukar
menyudahkan peluang.
Di sini, Vietnam sejak awal
mahukan penentuan kejuaraan Pestabola ditentukan menerusi sepakan penalti.
Lihatlah sahaja cara mereka ketika mengambil sepakan itu pada penentuan yang
menyaksikan kita tewas 6-5.
Sepakan yang diambil pemain
mereka laju dan Vietnam jelas begitu bersedia dengan penentuan cara itu. Tetapi
bagaimana pula dengan persiapan skuad kita dalam meramal percaturan sepakan
penalti.
Yang jelas, kelima-lima pemain
negara yang mengambil sepakan penalti memang bersedia melainkan pemain bek,
Norhafiz Zamani Misbah yang kelihatan kurang yakin sebelum mengambil sepakan
ketika itu.
Begitu juga keupayaan penjaga
gawang, Helmi Eliza Elias yang rasa penulis masih perlu bertindak lebih berani
melakukan jangkauan dan bijak membaca pergerakan tubuh lawan yang mahu menyepak
bola.
Mungkin bacaan Helmi agak baik
dapat mengagak arah tuju bola tetapi sayangnya jangkauannya tidak cukup memadai
untuk menepis bola.
Penulis bukanlah orang teknikal
yang boleh mengulas terperinci tentang hal ini tetapi dulu penulis pun bermain
bola sepak dan dengan ilmu yang tidak seberapa ini tidak salah rasanya untuk
memberi komen.
Dalam bola sepak, penulis
merasakan sewajar kesemua pemain termasuk penjaga gol perlu mahir dalam
mengambil sepakan penalti memandangkan trend ke arah menyeret perlawanan ke
penentuan akhir itu semakin popular meskipun ia bukanlah pilihan pertama di
kalangan jurulatih.
Mungkin ada kebenarannya
apabila ada yang mengatakan sepakan penalti hanya ditentukan oleh nasib, namun
tidak salah jika sesebuah pasukan membuat persiapan awal dan dijadikan rutin
dalam latihan untuk memahirkan setiap pemainnya dengan sepakan penalti seperti
yang dilakukan oleh Vietnam.
Apabila Vietnam mengkaji
kekuatan Malaysia, mereka sudah pun menetapkan keputusan lebih awal untuk
mengheret permainan ke masa tambahan.
Akhirnya strategi itu menjadi
dan mereka lebih bersedia dalam penentuan berikutnya.
Sememangnya peminat bola sepak
negara khususnya penyokong setia berhak untuk berasa kecewa apabila piala yang
dianggap berprestij dalam sejarah bola sepak dan negara ini terlepas meskipun
hampir untuk mendakapnya.
Apa pun, penulis memuji barisan
skuad negara yang berjaya mempamerkan persembahan yang tidak membosankan selama
kempen Pestabola ini, cuma ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki
terutamanya di bahagian tengah yang perlu lebih kreatif mewujudkan peluang di
barisan depan.
Hujung tahun ini, skuad negara
akan diuji lagi dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki di Bangkok dan jika corak
permainan sekarang dikekalkan, pastinya peluang untuk meraih kejuaraan akan
sukar memandangkan kebanyakan negara yang menyertai kejohanan ini akan
menghantar barisan pemain senior.
Malaysia perlu meningkatkan
lagi mutu persembahan dengan corak permainan lebih agresif dan penuh dengan
taktikal yang lebih kreatif.
SUNBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz511oHWQlU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan