Isnin, 11 Disember 2017

Tolong jangan perlekeh skuad negara

ARKIB : 17/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN FERZALFIE FAUZI
PETALING JAYA - Pihak yang memperlekehkan sebarang keputusan yang diperoleh sama ada menang mahupun kalah, akan sentiasa mencipta alasan dan mencari apa sahaja yang tidak kena pada skuad bola sepak negara khasnya dalam Pestabola Merdeka Ke-40 ketika ini.

Jika menang sekalipun, mereka akan menganggapnya kerana lawan terlalu lemah dan tuan rumah dibantu keadaan padang atau cuaca tertentu tetapi kecaman akan bertambah keras sekiranya anak buah B. Sathianathan kalah kepada pasukan seperti itu di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Secara sedikit terkilan Sathianthan berkata: "Ia telah beberapa kali berlaku sejak Piala Antara Benua, Mei lalu. Apabila kami menewaskan Iraq 1-0, ramai yang katakan lawan cuma pasukan bawah 19 tahun dan bila dapat mengikat Nigeria 1-1, masih ada yang menganggap mereka bukan pasukan Olimpik kebangsaan.

"Sebenarnya dalam pemerhatian saya, ada hampir lapan pemain ketika Piala Antara Benua itu yang turut beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing (Ogos lalu). Setelah mengalahkan Nepal kali ini pun, masih ada yang tidak puas hati mengatakan kami macam-macam," katanya dalam sidang akhbar kelmarin.

Kelmarin, Malaysia membuka kempen Pestabola dalam Kumpulan A dengan langkah meyakinkan setelah membelasah Nepal 4-0 menerusi dua jaringan Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Khyril Muhymeen Zambri dalam keadaan padang bertakung air, becak dan licin akibat hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Alasan padang licin itu juga digunakan oleh jurulatih Nepal, Krishna Bahadur Thapa untuk melindungi kekalahan pasukannya walaupun membayangkan kemungkinan dapat mengubah keputusan itu, malah mampu menyulitkan laluan Malaysia jika keadaannya berbeza.

Kata Sathianathan, hujan atau tidak dan padang baik atau teruk, masih menyediakan pengajaran kepada skuad negara untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila melangkah ke misi kemuncak, Piala Suzuki AFF di Thailand (Kumpulan B) dari 5 hingga 28 Disember ini.

"Kalau kami bermain di Thailand nanti, entah akan ada ribut atau angin monsun yang melanda, siapa yang tahu tetapi apa pun keadaannya, kami tidak boleh memberikan sebarang alasan dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu," katanya.

Merujuk lawan berikutnya, Sierra Leone, hari ini yang turut dikatakan mungkin tidak menurunkan barisan terkuat Piala Negara-Negara Afrika dan Kelayakan Piala Dunia, kata Sathianathan: "Ia terserah kepada mereka hendak bawa pemain bawah umur atau senior, saya tidak kisah, saya hanya tumpukan pasukan saya.

"Bagi perlawanan kedua ini, saya fikir pemain tengah, Hardi Jaafar akan dapat beraksi (setelah direhatkan kelmarin kerana kecederaan ketika persahabatan dengan Pakistan). Kami perlukan barisan pemain terbaik untuk menentang Sierra Leone kerana saya menganggap taraf setiap pasukan Afrika tetap tinggi," katanya.

Kepulangan Hardi mungkin menyaksikan rombakan pada bahagian perantara serangan antara Hairuddin Omar dengan Zaquan Adha Radzak yang masing-masing dikeluarkan pada babak kedua untuk digantikan oleh Ashaari Shamsuddin dan Khyril.

Sementara itu, sayap kanan, Amirulhadi Zainal yang berhak dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan kelmarin, melahirkan rasa puas hati kerana berjaya membantu skuad negara mencapai kemenangan sulung dan berharap untuk mengulanginya apabila menentang Sierra Leone.

"Mereka mungkin sama seperti Nigeria ketika Piala Antara Benua yang lalu khasnya dari segi fizikal. Kepada penyokong negara, teruskan datang ke stadium dan menyokong kerana kami sepasukan benar-benar mengharapkannya," katanya yang menganggap cuaca hujan mungkin menghalang kehadiran mereka yang lebih ramai, kelmarin.

Barisan kemungkinan Malaysia: Helmi Eliza Elias, Irwan Fadzli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Daudsu Jamaluddin, Shukor Adan, Hardi Jaafar, Indra Putra Mahayuddin, Hairuddin Omar, Safee Sali, Amirulhadi Zainal
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50wjtMfJY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan