Khamis, 14 Disember 2017

FAM alu-alukan penubuhan kesatuan pemain

ARKIB : 31/12/2008
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan penubuhan sebuah kesatuan sekerja yang sah bagi mewakili dan membela nasib pemain profesional khususnya apabila melibatkan masalah gaji bulanan mereka yang tidak dibayar oleh pasukan masing-masing, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya juga kini mendapat tahu sebuah badan seumpama itu yang bergelar FIFPro sedang berusaha mendapatkan pengesahan penubuhan sebuah cawangannya di Malaysia daripada Pesuruhjaya Sukan.

"Saya berpendapat memang wajar sebuah kesatuan seperti FIFPro yang diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ditubuhkan demi menjaga kepentingan pemain profesional tempatan," katanya pada sesi soal jawab Hari Bersama Media/FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sesi berkenaan turut mengundang Pegawai Pembangunan FIFA, Windsor John Paul memberikan taklimat mengenai cara pengiraan ranking dunia yang biasanya dikeluarkan pada pertengahan setiap bulan oleh badan induk bola sepak tersebut.

Azzuddin mengulas laporan laman web Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Sabtu lalu mengenai penubuhan sebuah divisyen FIFPro Asia yang turut cuba mengembangkan operasinya di India, Malaysia, Indonesia, China dan Korea Selatan selepas bertapak kukuh di Australia dan Jepun.

Katanya, penubuhan badan berkenaan juga mampu memastikan majikan pemain iaitu persatuan bola sepak (FA) negeri atau kelab tidak lagi dengan sewenang-wenangnya cuba bersikap lepas tangan atau mengambil mudah terhadap setiap tuntutan gaji tertunggak pemain mereka yang berbulan-bulan lamanya.

Menurutnya, kelengahan atau sikap tidak apa FA dan kelab berkenaan turut memburukkan reputasi sesebuah badan induk kebangsaan terutama apabila bekas tiga pemain dan seorang jurulatih import sebuah negeri cuba merujuk masalah itu kepada FIFA bagi menuntut penjelasan gaji mereka yang tertunggak tiga bulan.

Azzuddin menjelaskan, sebarang kes tunggakan gaji yang mulanya dirujuk kepada FAM biasanya disusuli tuntutan penjelasan terhadap majikan berkenaan dalam tempoh dua minggu dan ditangani Jawatankuasa Status Pemainnya sebelum diputuskan supaya sebarang subsidi atau geran tahunan untuk FA atau kelab itu dipotong bagi melunaskannya.

Sementara itu katanya, FAM masih bertegas untuk menolak rayuan terakhir DPMM Brunei dalam menyertai Liga Malaysia musim 2009, bulan depan sekalipun pasukan jemputan tunggal luar negara itu sempat menghantar pegawai mereka ke Wisma FAM untuk merundingkannya, semalam.

"Kami perlu berpegang teguh kepada keputusan sebelum ini. Peraturan tetap peraturan," katanya, merujuk kepada status Persatuan Bola Sepak Brunei (BAFA) yang dibatalkan pendaftaran oleh pendaftar pertubuhan negara itu baru-baru ini sekali gus menjejaskan penyertaan DPMM Brunei dalam Liga Super dan Piala FA.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51FSq4XkV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan