Khamis, 14 Disember 2017

Kita pulang awal

ARKIB : 11/12/2008
Oleh sayed hesham idris
KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan cabaran Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki lebih awal selepas tewas 0-3 kepada tuan rumah, Thailand, semalam.

Malaysia yang perlu menang dengan jaringan yang besar bagi mencerahkan harapan mara ke separuh akhir, sebaliknya tewas menerusi jaringan Sutee Suksomkit (minit ke- 22), Teerasil Dangda (minit ke-46 dan 75) dalam perlawanan di Stadium Surakul, Phu- ket.

Menang bergaya 3-0 ke atas Laos dalam perlawanan pembukaan, peluang Malaysia untuk ke separuh akhir tipis apabila tunduk 2-3 kepada Vietnam akibat kesilapan penjaga gol Mohd. Helmi Eliza Elias, kelmarin.

Ini bermakna Malaysia gagal memperbaiki pencapaian muncul naib juara edisi 1996 ketika kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu dikenali Piala Tiger.

Mengulas kekalahan tersebut, jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan berkata, tekanan bagi memastikan kemenangan menjadi punca skuad kebangsaan tewas.

Menurutnya, akibat tertekan pemain beraksi dengan matlamat memburu gol sehingga menyebabkan bahagian pertahanan yang longgar.

Kesempatan tersebut, kata Sathia pantas diambil alih oleh pemain lawan yang pantas menghukum kesilapan pertahanan kita.

''Perlawanan dengan Thailand memang sukar kerana kita berada dalam tekanan kerana perlu memenanginya.

''Kita mungkin tidak begitu tertekan jika menang ke atas Vietnam dalam perlawanan sebelum ini.

''Untuk itu saya meminta maaf kepada para peminat di tanah air kerana mengecewakan mereka, gagal membawa pasukan kebangsaan ke separuh akhir.

''Para pemain telah memberikan yang terbaik walaupun beraksi dalam tekanan tetapi inilah bola sepak, akibat kesilapan kita dalam perlawanan dengan Vietnam, kita meletakkan diri sendiri di bawah tekanan,'' katanya ketika dihubungi di Phuket, semalam.

Tambah Sathia, beberapa keputusan pengadil perlawanan Abdul Malik Abdul Basir dari Singapura juga tidak memihak kepada skuad kebangsaan.

''Terdapat dua insiden dengan jelas bola terkena tangan pemain lawan yang sepatutnya memihak kepada kita, tetapi tiada apa-apa tindakan dari pengadil,'' ujarnya.

Tambah Sathia, dalam memburu kemenangan ke atas Thailand, Malaysia tidak boleh bermain secara bertahan.

''Namun ketika pemain leka memburu gol, bahagian pertahanan yang kerap kosong mudah ditembusi menerusi jaringan pertama Thailand. Apabila ketinggalan, para pemain pertahanan lebih ghairah membantu bahagian depan memburu gol.

''Ini sekali lagi meninggalkan ruang kosong di bahagian pertahanan, akibatnya kita melepaskan dua gol lagi,'' katanya.

Ditanya apakah beliau akan meletak jawatan selepas gagal, Sathia berkata, dia tidak akan berbuat demikian.

''Mengapa saya perlu meletak jawatan kerana kontrak saya akan berakhir hujung bulan ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51DvnjdvX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan