Khamis, 14 Disember 2017

Jawatan kosong jurulatih negara

ARKIB : 01/01/2009



KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecah tradisi apabila buat pertama kali membuka calon jurulatih untuk skuad bola sepak kebangsaan ke Sukan SEA 2009 dengan mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di laman web persatuan itu.
Ia berbeza dengan cara pemilihan sebelum ini di mana calon-calon dipilih oleh FAM sebelum pelantikan rasmi seseorang jurulatih dibuat.
Selain jawatan jurulatih untuk skuad Sukan SEA, kekosongan jawatan Pengarah Teknikal Belia juga diiklankan dalam laman web tersebut.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) berkata, FAM mengiklankan jawatan tersebut kerana mahu mengadakan pemilihan yang telus untuk mengisi kekosongan kedua-dua jawatan tersebut.
''Sebelum ini ramai yang mengkritik kononnya kita pilih kasih apabila FAM membuat pemilihan jurulatih skuad kebangsaan.
''Jadi sekarang kita mahu membuktikan ketelusan apabila mengiklankan jawatan ini di laman web FAM.
''Melalui cara ini sesiapa yang merasakan dirinya layak, bolehlah memohon.
''FAM berharap dapat mencari seorang jurulatih yang benar-benar layak untuk mengisi kekosongan tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jawatan kosong yang diiklankan di laman web badan bola sepak Malaysia di www.fam.org.my menyebut: ''FAM sedang mencari individu-individu yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan beberapa jawatan dalam FAM iaitu Pengarah Teknikal Belia dan Ketua Jurulatih Sukan SEA secara kontrak dan sepenuh masa."
Kelayakan yang diperlukan ialah memiliki Diploma Lesen Profesional A serta Ijazah dalam Sains Sukan atau yang setaraf dan tarikh tutup permohonan pada 15 Januari ini.
Tambah Azzuddin, FAM berbuat demikian bagi membolehkan sesiapa sahaja yang layak dan berminat supaya membuat permohonan.
''Kita membuka permohonan kepada semua pihak termasuk jurulatih tempatan dan luar negara, kita beri peluang kepada semua orang,'' ujarnya.
FAM sebelum ini menetapkan jurulatih kebangsaan B. Sathianathan yang dilanjutkan kontraknya baru-baru ini, tidak akan terlibat dalam persediaan skuad nasional ke Sukan SEA di Laos. Tugasan tersebut akan diisi oleh jurulatih lain.
FAM menetapkan Sukan SEA di Laos tahun ini sebagai fokus utama skuad bola sepak kebangsaan untuk tahun 2009.
Pada Sukan SEA Korat 2007 di Thailand, misi sasaran Sathia bersama skuad Bawah 23 Tahun gagal ke separuh akhir dan pulang tanpa pingat setelah dibenam Vietnam 3-1, diikat Singapura 1-1 dan hanya mengalahkan Laos 4-0



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan