ARKIB : 16/12/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
SULTAN Ahmad Shah (kiri) yang
diiringi Khairy Jamaluddin tiba untuk mempengerusikan mesyuarat FAM di Kelana
Jaya, semalam.
PETALING JAYA Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) memberi satu lagi peluang kepada B. Sathianathan untuk
membimbing skuad nasional apabila menawarkan jurulatih itu kontrak lanjutan
tidak lebih setahun dengan syarat-syarat yang ketat.
Di bawah tawaran itu, Sathia
akan membimbing skuad nasional untuk mengharungi perlawanan kelayakan Piala
Asia mulai bulan depan sehingga ke perlawanan terakhir menentang Uzbekistan
pada November depan.
Namun, FAM menegaskan Sathia
tidak akan terlibat dalam persediaan skuad nasional ke Sukan SEA di Laos tahun
depan, sebaliknya tugas itu akan diisi oleh jurulatih lain.
Mengumumkan lanjutan kontrak
itu, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, jika bersetuju,
pencapaian Sathia akan dianalisis berdasarkan pencapaian skuad nasional di
sepanjang perlawanan kelayakan Piala Asia.
Selain itu, katanya, kedudukan
skuad nasional dalam rangking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan
menjadi kayu ukur nasib Sathia sama ada akan terus bergelar jurulatih atau
sebaliknya.
FAM menawarkan lanjutan
kontrak kepada Sathia atas beberapa faktor, pertama kerana kita menaruh
keyakinan terhadap skuad yang dibimbingnya.
Ia merupakan skuad yang masih
muda, masih dalam pembikinan dengan purata umur pemain 24 tahun yang belum
menyerlahkan potensi maksimumnya.
Selain itu FAM kesuntukan
masa untuk mencari jurulatih lain memandangkan saingan kelayakan Piala Asia
akan bermula bulan depan, katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan
skuad nasional di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan
oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
Sathia dikritik hebat ekoran
kegagalan membawa skuad nasional melepasi peringkat kelayakan Piala Asia di
Phuket dengan kekalahan paling diingati kepada Vietnam 2-3 akibat kesilapan
penjaga gol Mohd. Helmi Eliza Elias.
Jelas Khairy, FAM tidak mahu
menggugurkan jurulatih serta pembubaran skuad seperti sebelum ini setiap kali
gagal di kejohanan antarabangsa.
Pelbagai kritikan dilempar
termasuk pemain yang ada kini kononnya tidak bagus selepas kita kalah di Phuket
tempoh hari.
Persoalannya di mana lagi
kita hendak mahu cari pemain yang bagus?
Adakah mereka-mereka ini
menyorok? Kita telah berusaha mencungkil pemain terbaik di seluruh negara
menerusi program realiti televisyen MyTeam.
Kita perlu akui inilah
kelompok pemain terbaik negara yang kita ada. Siapa dapat menafikan kemampuan
Safee Sali sebagai penyerang terbaik negara?.
Dalam masa yang sama kita
perlu akui skuad Sathia ada peningkatan terutama dalam rangking FIFA.
Jadi adalah adil untuk FAM
memberi beliau peluang sekali lagi, jelasnya.
Menurut Khairy, di sepanjang
tempoh kontrak tersebut, satu kajian iaitu di separuh penggal akan dijalankan
untuk menilai pencapaian skuad bimbingan Sathia dalam perlawanan kelayakan
Piala Asia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51EPu6bsc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan