Rabu, 13 Disember 2017

Sathianathan serah nasib kepada FAM

ARKIB : 23/11/2008
KUALA LUMPUR – Jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan menyerahkan kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk menentukan kriteria yang akan diguna pakai untuk menilai prestasinya pada Piala Suzuki AFF di Bangkok, bulan depan.

Mengakui tidak tahu sasaran spesifik badan bola sepak kebangsaan itu dalam mengukur prestasinya di sepanjang kejohanan 5-28 Disember ini, Sathia bagaimanapun menegaskan, beliau tidak tertekan sebaliknya akan cuba membawa Malaysia melangkah sejauh mungkin.

Malah, katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipertontonkan anak-anak buahnya sepanjang Cabaran Piala Grand Royal di Myanmar baru-baru ini kerana mereka hanya tewas satu perlawanan - tumbang 1-4 kepada Myanmar di separuh akhir.

“Saya serah sepenuhnya kepada FAM untuk menentukan sama ada mahu menyambung atau tidak kontrak saya (berakhir pada akhir bulan depan), namun situasi ketika ini tidak memberi tekanan kepada saya.

“Saya hanya risau dan tertekan kalau pemain-pemain saya beraksi buruk tetapi pada saya, mereka bermain dengan baik di Myanmar. Kami kalah sekali daripada lapan perlawanan dan saya rasa prestasi itu memuaskan.

“FAM memberitahu kontrak saya bergantung kepada keputusan pasukan di Piala Suzuki AFF, saya tidak tahu apa definasi mereka mengenai keputusan baik sebab saya tidak diberi sasaran spesifik.

“Begitupun saya janji akan cuba membawa Malaysia mencatat keputusan terbaik. Kami hanya pernah layak ke final sekali tetapi tidak pernah muncul juara,’’ kata Sathia yang ditemui pada pelancaran jersi baru skuad bola sepak kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras, semalam.

Kata Sathia lagi, sebagai seorang yang profesional, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa, termasuk membimbing Malaysia menghadapi Singapura dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur pada 29 November ini.

Sathia juga berkata, beliau akan memanggil semula tonggak pertahanan, Shafizan Hashim dan penjaga gol utama, Helmi Eliza Elias selepas kedua-dua mereka diketepikan pada kejohanan di Myanmar kerana melangsungkan perkahwinan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz518j7wgGZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan