ARKIB : 14/12/2008
Tulisan awang tentang
selamatkan bola sepak Malaysia dalam ruangan ini, minggu lalu mendapat banyak
reaksi. Lebih-lebih lagi beberapa hari selepas tulisan itu, harapan untuk
melihat pasukan bola sepak kita menyerlah di Piala AFF Suzuki, berkecai.
Kegagalan itu menambahkan rasa
kecewa rakyat Malaysia yang sudah menunggu lebih dua dekad untuk melihat
kebangkitan pasukan negara.
Kegagalan di Piala Suzuki
selepas tewas 2-3 kepada Vietnam dan 0-3 kepada Thailand, mengundang gelombang
reaksi yang lebih panas terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih
dan para pemain.
Malah ada yang mengkritik
Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana nasib pasukan negara
masih belum berubah di bawah kepimpinannya.
Lalu dibangkitkan persoalan
wajarkah raja menerajui persatuan sukan seperti FAM?
Dalam konteks pencapaian bola
sepak kita di arena antarabangsa, Awang secara peribadi merasakan FAM yang
telah terlalu lama diberi peluang, memang patut dipertanggungjawabkan. Kalau
ikut logik, persatuan itu perlu dirombak termasuk kedudukan presiden.
Tetapi ini bukan soal jawatan
presiden semata-mata dan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan dan beban
kepada Sultan Ahmad Shah.
Baginda telah memberikan
komitmen dan sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak yang tiada siapa
boleh pertikaikan. Sebagai raja berjiwa rakyat, baginda telah mencemar duli
mengabadikan diri untuk sukan popular itu dan menjana pendapatan untuk FAM.
Mungkin dalam hal ini, baginda
kurang bernasib baik dan terpaksa berdepan dengan realiti di luar FAM yang
semua harus fahami. Antaranya ialah kualiti generasi pemain baru yang tidak
sehebat pemain dahulu dan kemerosotan pencapaian serta daya juang sukan di
peringkat akar umbi lagi.
Lihatlah, pencapaian hampir
kesemua sukan kita merosot termasuk badminton, hoki, olahraga, renang, lumba
basikal dan boling.
Pun begitu, ada baiknya juga
jika raja yang kita junjung tidak menerajui persatuan sukan terutama yang
popular dan diikuti ramai seperti bola sepak, badminton dan hoki.
Dan adalah tidak wajar
persatuan sukan membebankan institusi raja dengan isu-isu sensitif sukan dan
kepincangan dalaman. Raja atau sultan juga tidak sepatutnya terdedah kepada
kritikan keterlaluan semata-mata atas nama sukan.
Apa pun, Awang kagumi Sultan Ahmad
Shah kerana menjadikan sukan bola sepak sebagai darah daging baginda. Bukan
setakat itu, baginda berupaya meresap segala tekanan dan kritikan yang tidak
mungkin sanggup dilalui bukan sahaja raja yang lain malah juga rakyat biasa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz51EI5YLV3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan