Ahad, 10 Disember 2017

Sathia beri kata dua buat Titus

ARKIB : 10/10/2008
KUALA LUMPUR - Pemain tempatan yang kini beraksi bersama kelab bola sepak Perancis, Titus James perlu menunggu sehingga tahun depan untuk menyertai skuad kebangsaan jika beliau gagal melaporkan diri sehingga November ini, kata jurulatih negara, B. Sathianthan.

Sathianathan memberi kata dua kepada bekas pemain sayap kelab Divisyen Tiga Perancis, Villenoy FC itu memandangkan Titus, yang masih berhempas pulas mencari sebuah kelab di Perancis mungkin ketinggalan menyertai Pestabola Merdeka yang akan bermula Rabu depan, selain terpas aksi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Disember ini.

"Titus mungkin terpaksa menunggu tugasan yang lain, kemungkinan tahun depan. Saya tidak boleh tunggu sehingga saat-saat akhir kerana ia mungkin boleh menjejaskan strategi pasukan, " kata Sathianathan di sini, semalam.

Titus dipanggil beberapa kali untuk menyarung jersi kebangsaan, termasuk menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan Olimpik China sebelum Olimpik Beijing dan perlawanan menentang kelab Liga Perdana England (EPL) Chelsea, Julai lepas tetapi gagal melaporkan diri selepas tidak dapat pulang ke tanah air kerana mempunyai komitmen yang lain.

Sathianathan berkata, beliau dimaklumkan bahawa pemain berusia 22 tahun itu masih mencari peluang untuk bermain dengan kelab lain di Perancis.

"Mungkin kita boleh melupakan dia untuk Pestabola Merdeka dan Piala AFF tetapi saya tidak pernah menutup pintu buat Titus untuk menyertai pasukan kebangsaan pada masa depan," ujarnya.

Sathianathan bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh menjanjikan kedudukan yang selamat buat Titus apabila menyertai pasukan itu kemudian.

"Tiada sesi ujian khas untuk dia sebaik menyertai pasukan. Saya akan uji ketahanan fizikal dan kemampuannya, bersama-sama dengan anggota pasukan yang lain," jelasnya.

- Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz50sF3tk26

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan