Sabtu, 31 Disember 2016

Titus wakil tunggal Asia berlatih dengan Le Harve

ARKIB : 14/06/2000
BINTANG bola sepak remaja negara, Titus James menjadi wakil tunggal Asia yang meneruskan latihan dengan kelab Perancis, Le Harve pada Mei lalu, bersama rakan dari Cameroon, Madagascar dan Senegal bagi peringkat umur.

Titus, 13, pernah menjadi bintang iklan Coca-Cola untuk televisyen tempatan bagi memeriahkan pusingan akhir Piala Dunia di Perancis, dua tahun lalu.

Dengan sokongan kewangan daripada penaja, Coca-Cola Far East Limited, Titus berjaya kembali menyambung latihan bersama kelab terkemuka Perancis itu.

Pengurus hal ehwal luar Coca-Cola Far East, Mohd. Kadri Taib berkata, sokongan syarikat itu terhadap Titus adalah sebahagian komitmen bagi membantu matlamat menaikkan taraf permainan bola sepak di negara ini.

''Kami bangga dapat memainkan peranan dengan mengesan bakat Titus yang muncul antara pemain cemerlang dari kalangan 80 kanak-kanak mewakili 22 negara para perlawanan pra-Piala Dunia 1998,'' kata Kadri.

Bakat luar biasa Titus juga mencuri perhatian pencari bakat baru, Francis Herbert yang kini memikul tanggungjawab dalam kemajuan latihan pemain remaja negara itu.

''Dengan sokongan Coca-Cola, kami yakin Titus akan mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak terkenal satu ketika nanti, selain menjadi contoh kepada remaja lain di Malaysia,'' tambah Kadri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4UTyps2p2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Disember 2016

ANUGERAH BOLA SEPAK KEBANGSAAN 2016

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016:

Anugerah Laman Web Terbaik
Johor Darul Ta'zim

Anugerah Media Sosial Terbaik
Johor Darul Ta'zim

Anugerah Khas Piala Belia 2016
Sekolah Sukan Bukit Jalil

Anugerah Khas Piala Presiden 2016
Kelantan

Anugerah Komuniti
Subadron Aziz Academy & Kindness Malaysia

Anugerah Khas Selamat Datang
PKNP & MISC-MIFA

Anugerah Pemain Wanita Terbaik
Dandree Rofinus (MISC-MIFA)

Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2016
Fazrul Hazli (Perak)

Anugerah Penjaring Terbanyak Import Liga Super 2016
Jorge Pereyra Diaz (JDT)

Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan 100PLUS Liga Premier 2016
Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Anugerah Penjaring Terbanyak Import 100PLUS Liga Premier 2016
Illija Spasojevic (Melaka United)

Anugerah Fair Play 2016
Negeri Sembilan

Anugerah Pemain Muda Harapan 2016
Safawi Rasid (T-Team)

Pasukan Bolasepak Terbaik 2016
Johor Darul Ta'zim

Penyokong Terbaik 2016
Johor Darul Ta'zim & Melaka United

Penghormatan Khas
Ah Wa (Penyokong tegar bolasepak Perak)
MOHD. FAIZ SUBRI
Penghargaan Khas
Faiz Subri (Anugerah FIFA Puskas 2016)

Anugerah Pemain Paling Popular Best XI (Undian Peminat)
Liridon Krasniqi (Kedah)

Anugerah Kasut Emas 2016
Illija Spasojevic (Melaka United)

Pemain Import Terbaik
Jorge Pereyra Diaz (JDT)

Penjaga Gol Terbaik 2016
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan Terbaik 2016
Rizal Ghazali (Kedah)

Pemain Tengah Terbaik 2016
Safiq Rahim (JDT)

Pemain Penyerang Terbaik 2016
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Jurulatih Terbaik 2016
Tan Cheng Hoe (Kedah)

Pemain Paling Bernilai 2016
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Anugerah Best XI Pilihan Peminat
Izham Tarmizi, Marcos Antonio, Aidil Zafuan, Fazly Mazlan, Rizal Ghazali, Safiq Rahim, Liridon Krasniqi, Andik Vermansah, Amirul Hisyam, Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz

Sumber-http://www.ligamalaysia.net/

Ahad, 25 Disember 2016

TMJ serah kepada KJ

 
Tunku Ismail serah pemacu pena kepada Khairy. FOTO Johor Southern Tigers

BERNAMA
Kuala Lumpur: Pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sebelum ini menyimpan pemacu pena itu, menyerahkannya kepada Khairy ketika menerima kunjungan menteri tersebut di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dalam entri terkini dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, berkata beliau memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena itu kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM.


Menurutnya FAM bukan masalahnya, sekaligus mahu menumpukan perhatian kepada kelab kecilnya, JDT.

Selain itu, dalam pertemuan dengan Khairy, antara topik yang dibincangkan mereka adalah berkaitan program pembangunan belia dan berkongsi pendapat mengenai isu semasa terutama melibatkan sukan bola sepak.

Tunku Ismail sebelum ini pernah mendedahkan memiliki pemacu pena yang di dalamnya terkandung aktiviti dalaman FAM termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau berkata pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 4:45 PM

Masih ada slot

 
KIM Swee mahu pemain pamer aksi cemerlang demi maruah negara.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mempertahankan pemilihan 24 pemain biarpun ada pihak mempersoalkan ketiadaan beberapa pemain yang sepatutnya turut mendapat tempat dalam skuadnya.

Kim Swee memanggil 13 muka baru untuk menghadiri kem latihan pusat bermula Isnin ini bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September, namun senarai pemain itu seperti belum lengkap.


Dalam kalangan pemerhati bola sepak dan peminat tempatan, pemain seperti Muhammad Hadin Azman dari FELDA United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Kenny Pallraj Davaragi (Perak) antara yang wajar diberikan peluang kerana prestasi semasa mereka.

“Hadin dan Fazrul memang ada dalam perancangan asal saya, tapi saya juga ada memanggil dua lagi pemain baru di posisi sayap iaitu Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team) jadi saya tidak boleh memanggil empat pemain baru serentak.

“Pemain seperti Kenny Pallraj, saya tak nafikan dia mempamerkan peningkatan bersama Perak, tapi untuk posisi pertahanan tengah saya sudah memiliki pemain lain seperti Ronny Harun, Shahrul Saad dan Fadhli Shas. Mungkin belum masa untuk memanggilnya.

“Kami hanya mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan kemungkinan sukar untuk saya menurunkan ramai pemain baru dalam perlawanan itu. Jika mereka terus konsisten, mungkin selepas ini dalam persediaan perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan mereka boleh dipanggil dan diberi peluang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Susulan persaraan empat tonggak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal serta beberapa pemain dilanda kecederaan, Kim Swee hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ke Jelajah Oceania pada Jun lalu.

Kemunculan buat kali pertama kapten Harimau Muda A Irfan Fazail serta Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Saad, Amer Saidin dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dipanggil semula, melengkapkan senarai sembilan bekas pemain Kim Swee.

‘Mereka ini bermain baik bersama pasukan masing-masing di peringkat domestik dan juga mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa apabila Sukan SEA, kelayakan Olimpik, perlawanan persahabatan antarabangsa bersama Harimau Muda sebelum ini.

“Biarpun mereka ini dianggap pelapis kepada pemain senior, tapi tiada tiket automatik untuk mereka berada dalam skuad negara. Jika tiada kesungguhan ketika latihan dan prestasi pula tidak baik, saya tetap akan gugurkan mereka,” tegas Kim Swee yang menggalas misi besar untuk mengharungi cabaran Piala AFF pada November.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:15 AM


Sabtu, 24 Disember 2016

Tiada hala tuju

 
SADEK

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Selagi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tak selesaikan masalah kepimpinan mereka, selagi itu bola sepak negara tak ada hala tuju,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustaffa.

Beliau berkata, untuk bergerak ke depan, badan induk bola sepak tanah air itu perlu meletakkan pelan dalam tempoh tertentu untuk mencapai kejayaan sama ada di pentas Asia, Olimpik mahupun Piala Dunia.


“Mungkin mereka ada pelan jangka masa panjang tapi disebabkan isu letak jawatan Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah), perkara itu terpaksa ditangguhkan. Apa yang FAM lakukan ketika ini hanya menguruskan kerja harian mereka.

“Untuk kita melancarkan sesuatu pelan, ia memerlukan dana dan tanpa presiden, bagaimana ia akan dilakukan. Sukar untuk mencari penaja apatah lagi dengan FAM dihimpit dengan kes dakwaan penyalahgunaan kuasa.

“Penyokong sekarang pun sudah jemu dengan isu sama dengan latihan tak cukup sebab tak ada perancangan,” kata Sadek kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini melaporkan mengenai pandangan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh yang mahu FAM turut memandang serius mengenai kelayakan Olimpik selepas 36 tahun Malaysia gagal beraksi di temasya sukan itu.

Beliau berkata, semua pihak khususnya FAM perlu memasang impian besar dan bukan sekadar hanya memberi perhatian kepada persiapan kejohanan di Asia Tenggara saja.

Menurut Sadek, FAM memerlukan ahli jawatankuasa pengurusan baharu yang lebih proaktif, dinamik serta klinikal dalam melihat perancangan empat hingga 12 tahun akan datang.

“Banyak cadangan yang disuarakan tapi bergantung kepada ahli Exco (FAM) yang terdiri daripada ahli politik. Mereka ini tidak serius dan ini yang membantutkan perkembangan bola sepak negara.

“Seharusnya kita sudah menyediakan program mantap untuk mendapat keputusan baik di Sukan Asia, Piala Asia, kemudian Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Kalau kita sudah sampai tahap Sukan Olimpik, kita sudah boleh layak ke Piala Dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:49 AM

Kata dua Kim Swee

 
HAMIDIN (belakang dua kiri), Kim Swee (berdiri kiri) bergambar bersama sebahagian pasukan Dugong All Stars pada sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: “Jika Presiden baharu (FAM) mahu saya kekal, saya akan kekal, jika tak mahu saya akan pergi,” kata pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengenai kemungkinan kedudukannya bakal terjejas jika berlakunya perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun depan.

Menurut pengendali berusia 46 tahun itu, beliau tidak mahu masalah pentadbiran FAM mengganggu tugasnya mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar dua bulan lagi.


“Saya ada tugas, saya tak perlu fikir siapa yang akan menjadi presiden. Apa yang penting untuk memberi tumpuan kepada Piala AFF. Itu lebih penting daripada isu lain,” tegas Kim Swee kepada pemberita selepas majlis pelancaran perlawanan amal Hari Malaysia dan pengumuman logo baharu Harimau Malaysia semalam.

Kim Swee, bekas jurulatih Harimau Muda A menandatangani kontrak dua tahun awal tahun ini bagi mengambil alih tugas Dollah Salleh yang meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan skuad kebangsaan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun kedudukannya menjadi tanda tanya apabila Exco FAM bulan lalu membuat keputusan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan bagi memilih presiden dan barisan Exco baharu yang sepatutnya diadakan pada 2018.

Lebih mengejutkan apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers kelmarin mendakwa Kim Swee dan jurula
tih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt tidak akan memegang jawatan mereka lagi tahun depan.

Malah Tunku Ismail juga mengakui mengetahui pengganti jurulatih berkenaan dan juga presiden baharu FAM bagaimanapun dalam tinjauan Arena Metro semalam, entri berkenaan sudah dikeluarkan dari Facebook rasmi kelab itu.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Tunku Ismail itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, apa saja keputusan mengenai pengurusan FAM bergantung kepada barisan Exco yang baharu nanti.

“Saya tak pasti, mungkin itu pandangan Tunku Mahkota Johor sendiri, saya tak pasti apa maksud beliau. Kerana apa yang saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan, pemilihan itu akan memilih presiden dan barisan Exco seperti pemilihan sebelum ini.

“Terpulang kepada barisan baharu akan datang untuk tentukan (kedudukan Kim Swee dan Bernhardt),” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:26 AM

Jafri janji lebih berbisa

 
SKUAD B-22 negara berlatih ketika hujan di padang MSN.

Kuala Lumpur: Penyerang skuad Projek Sukan SEA 2017, Jafri Firdaus Chew mengakui bersedia untuk tampil lebih ‘tajam’ apabila berdepan barisan Bawah-22 (B-22) Bahrain buat kali kedua di Stadium UiTM Shah Alam, petang ini.

Selepas gagal membantu skuad kendalian Frank Bernhardt mencapai kemenangan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, penyerang Pulau Pinang itu berjanji untuk memastikan namanya terpahat selaku penjaring.

“Aksi sebelum ini kami beraksi baik dengan banyak peluang terhidang namun gagal menterjemahkan kepada jaringan.


“Kecewa memang ada tapi saya tekad untuk menebus kesilapan itu dalam aksi kedua bertemu mereka esok (hari ini) dan berharap jurulatih dapat menurunkan saya.

“Dalam latihan dua hari ini, Alhamdulillah saya berjaya baiki kelemahan dan berharap ada jaringan gol dapat dilakukan. Namun sekiranya rakan lain lebih berpeluang untuk menjaringkan gol, sudah pasti saya akan membantu asalkan kami meraih kemenangan,” kata kepada Arena Metro, semalam.

Pada aksi persahabatan antarabangsa pertama sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan biarpun jelas pasukan muda negara menguasai hampir keseluruhan tempoh perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:34 AM

Bisa Amri ditagih

 
SKUAD Harimau Malaysia giat menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Indonesia.

Petaling Jaya: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee percaya penyerang berpengalaman Amri Yahyah masih mampu bertahan untuk beraksi di peringkat antarabangsa selepas melantik pemain berusia 35 tahun itu sebagai kapten.

Selepas Safiq Rahim mengumumkan persaraan daripada mewakili skuad kebangsaan Julai lalu, kini tugas memakai lilitan di lengan diserahkan kepada rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim (Johor DT) iaitu Amri.

Bagaimanapun, dengan usianya yang semakin meningkat, timbul kebimbangan kemungkinan pemain kelahiran Tanjong Karang, Selangor itu akan turut mengikut jejak langkah Safiq serta Aidil Zafuan Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang juga dari kelab sama.


Bagaimanapun, Kim Swee yang mengesahkan mengadakan perbincangan dengan pengurus pasukan Datuk Hamidin Mohd Amin dalam membuat keputusan pelantikan itu percaya Amri mampu untuk terus kekal konsisten bersama skuad kebangsaan.

“Kita tahu Amri pemain senior yang cukup konsisten dengan pasukan kebangsaan dan sebagai pemain senior dia juga menunjukkan ciri sebagai ketua. Ini penting kerana ramai pemain muda dalam skuad kebangsaan kali ini.

“Sebelum ini juga Amri pernah menjadi ketua pasukan apabila Safiq tak bermain ketika bertemu Timor Leste (perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019) jadi saya tak nampak masalah besar kerana Amri adalah idola kepada sesetengah pemain,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Kim Swee turut mengumumkan pemain tengah dari Kedah Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat dilantik sebagai penolong ketua pasukan.

Dengan pelantikan itu, Amri akan memimpin pasukan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

“Walaupun kita nampak Hazwan (Bakri) selalu menjaringkan gol kebelakangan ini tapi Amri juga penyerang konsisten yang menjaringkan gol walaupun bermain untuk 20 minit atau 15 minit.

“Saya pasti, jika prestasi dia (Amri) konsisten, dia akan terus dipanggil mewakili skuad kebangsaan,” jelas Kim Swee yang kini giat mengendalikan latihan pusat skuad kebangsaan sejak Isnin lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:22 AM

Amri kapten Harimau Malaysia

 
AMRI (kiri) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM Kelana Jaya, kelmarin. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyerang berpengalaman, Mohd Amri Yahyah dilantik sebagai kapten Harimau Malaysia bagi menggantikan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa pada Julai lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, hari ini selepas mengadakan perbincangan bersama pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd Amin.


"Kami bersetuju untuk melantik Amri sebagai kapten kerana dia pemain senior yang konsisten bersama skuad kebangsaan.

"Dia seorang pemain yang memiliki ciri kepimpinan dan boleh membimbing ramai pemain muda dalam skuad kali ini," katanya.

Amri, 35, dari kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sebelum ini pernah menjadi kapten ketika ketiadaan Safiq yang mengalami kecederaan.

Kim Swee turut mengesahkan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat akan menjadi penolong kapten pasukan.

Skuad kebangsaan kini menjalani latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 3:31 PM


Gugur 'budak sekolah'

 
Bakri Ibni
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mendesak empat pertahanan Harimau Malaysia - Ronny Harun, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Matthew Davies - digugurkan susulan kekalahan memalukan 0-3 di tangan Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo, kelmarin.

Jelas Olimpian itu, kesilapan budak sekolah dilakukan barisan pertahanan negara itu tidak boleh dimaafkan kerana tiga situasi jaringan lawan itu berpunca daripada kelemahan teknikal asas.


“Gol pertama dan kedua berpunca daripada pemain yang gagal mengeluarkan bola dengan baik serta sentuhan pertama yang mengecewakan.

“Ini kesilapan individu yang tidak patut berlaku dalam kalangan pemain terutama di pentas antarabangsa. Jika asas tidak betul, jadi bahagian pertahanan itu mesti dirombak dan digantikan dengan pemain lain.

“Sekiranya jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) tidak membuat perubahan segera, saya tidak nampak kita mampu memberi tentangan dalam Piala AFF dan mungkin Malaysia boleh jadi pasukan belasahan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Gesaan Bakri itu ada benarnya apabila skuad Garuda hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di depan menerusi jaringan ketua pasukan Boaz Solossa selepas kesilapan Fadhli yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kerapuhan benteng negara terus dirobek empat minit kemudian apabila Irfan Bachdim tenang menyempurnakan hantaran Boaz sebelum ketua pasukan tuan rumah itu sekali lagi menghukum kealpaan benteng untuk meledak gol ketiga pada minit ke-21.

“Pemain seperti tidak berkomunikasi di atas padang dan nampak jelas tiadanya persefahaman antara empat pertahanan itu.

“Banyak kerja yang perlu dibuat Kim Swee dengan pertama, menilai semula aksi bahagian bawah pasukan,” katanya.

Menurut Bakri, beliau turut menasihatkan kem negara supaya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lain yang akan dihadapi pada saingan Piala AFF nanti.

“Jangan fikir pasal persiapan kita semata-mata, tapi Kim Swee juga mesti buat kerja rumah mengkaji pasukan lawan. Kalau tidak jangan terkejut keputusan kalah kepada Indonesia boleh berulang di Myanmar nanti,” katanya.

Pada kempen Piala AFF November ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah Myanmar, Vietnam dan juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada awal bulan depan sama ada Brunei, Laos, Timor Leste atau Kemboja.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:33 AM

Iron Gate' meninggal dunia

'
ARWAH pernah diberi gelaran 'Iron Gate'.

Izzali Ismail
am@hmetro.com.my
Alor Setar: Bekas penjaga gol kebangsaan era 50-an, Datuk Yusoff Abu Bakar, 81, meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Sultanah Bahiyyah, 6.15 petang tadi.

Beliau yang terlantar uzur lebih setahun menghembuskan nafas terakhir di samping anak dan isteri serta keluarga terdekat.


Anak lelakinya, Yuzaily Yusoff ketika memaklumkan berita sedih itu menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar kerana dianggap antara legenda bola sepak negara.

Pernah diberi gelaran 'Iron Gate', Yusoff adalah penjaga gol handalan sekitar tahun 50-an.

Antara rekod cemerlang beliau ialah ketika membawa Malaya menjuarai Pesta Bola Merdeka 1958 yang juga pertandingan bola sepak prestij di Asia pada ketika itu.

Jenazah arwah akan disemadikan di tanah perkuburan Masjid Al- Bukhari Alor Setar, 11 pagi esok.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 8:08 PM

Khamis, 22 Disember 2016

Akmal Rizal berskil tinggi - Le Roy

ARKIB : 23/05/2000
BIARPUN cuma diberi peluang bermain pada 15 minit terakhir untuk Racing Strasbourg, aksi Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam bola sepak persahabatan menentang FC Zagreb di Shah Alam kelmarin harus memikat penonton dan mendapat pujian rakan sepasukan dan jurulatih kelab Perancis itu, Claude Le Roy.

''Dia semakin banyak menunjukkan peningkatan terutama dari segi taktikal permainan. Dia memang pemain hebat dan berskil tinggi,'' puji Le Roy.

Akmal, penyerang berasal dari Kedah berusia 19 tahun, mengukir sejarah bagi dirinya apabila menjaringkan gol kedua untuk Strasbourg pada minit terakhir perlawanan untuk membantu pasukannya menang menang 2-0.

Akmal dimasukkan Le Roy pada minit ke-75 menggantikan penjaring gol pertama Strasbourg, Pegguy Liyundula dan aksi singkatnya mendapat perhatian penonton.

''Saya akan ingat sampai bila-bila jaringan saya itu kerana ia adalah gol pertama saya ke atas kelab hebat di Eropah seperti FC Zagreb ini,'' kata Akmal. FC Zagreb adalah antara kelab utama Liga Croatia.

Akmal dan seorang lagi pemain remaja, Juzaili Samion kini sedang berlatih bersama Strasbourg sejak akhir tahun lalu - antara program besar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membentuk pemain berwibawa.

Juzaili bagaimanapun tidak diturunkan Le Roy, jurulatih yang pernah membimbing pasukan kebangsaan Malaysia pada 1994, pada perlawanan kelmarin.

Selain itu, Akmal dan Juzaili turut dipinjamkan untuk FC Hageanau yang beraksi dalam liga amatur Perancis dan mereka bermain cemerlang untuk kelab berkenaan.

''Saya telah bermain sebanyak 10 perlawanan dengan kelab Hageanau dan menjaringkan tiga gol yang membantu pasukan mencatat enam kemenangan. Saya mendapat pujian daripada jurulatih Hageanau,'' kata Akmal.

Akmal dan Juzaili pasti akan menjadi aset utama skuad remaja negara yang bakal menghadapi kelayakan zon Asia ke Piala Dunia Belia di Kuala Lumpur, bulan depan. Pasukan bawah 19 tahun negara kini dilatih Allan Harris dari England.

Mengenai kemungkinan khidmat Akmal dan Juzaili akan terus digunakan Hageanau dan Strasbourg, Le Roy berkata, beliau akan berbincang dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah terlebih dahulu.

''Mereka (pemain) mahu terus berlatih bersama kami dan saya juga galakkan mereka tetapi kami harus mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada FAM,'' kata Le Roy.

Strasbourg dan FC Zagreb berkunjung ke Malaysia untuk berehat selepas tamat kempen liga masing-masing di samping mengadakan perlawanan persahabatan di sini.

FC Zagreb akan menentang Selangor di Stadium Shah Alam esok dan Sarawak 29 Mei di Kuching manakala Strasbourg dijadual bertemu Pahang dan Pulau Pinang.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TZwGbA9q © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 21 Disember 2016

Bola sepak: Menang disanjung kalah dicemuh

ARKIB : 06/05/2000
Saudara Pengarang,
SAYA amat tertarik hati dengan pendapat yang dikirimkan oleh pengirim yang menamakan dirinya Bola Kertas, dari Bukit Mertajam.

Pendapat yang dikirimkan oleh saudara Bola Kertas memang ada kebenarannya, tetapi untuk menyalahkan pucuk pimpinan 100 peratus agak keterlaluan.

Bagi saya pucuk pimpinan FAM selama ini telah bertungkus-lumus untuk mencari formula terbaik bagi meninggi dan memartabatkan mutu bola sepak negara, seperti memperkenalkan Liga Semi Pro pada tahun 1988 dan seterusnya kepada Liga Profesional dan projek pembangunan akademik bola sepak di peringkat remaja. Ini termasuklah menganjurkan liga di peringkat umur di bawah 14, 16 dan 18 tahun seperti Piala Nike, dan menghantar pemain remaja menimba pengalaman di luar negara seperti remaja Akmal Rizal dan Juzaili Samion yang beraksi dengan skuad pelapis Racing Strausborg di Perancis.

Melihat aksi pasukan bola sepak negara di pusingan pertama Piala Asia di Shah Alam, kita sendiri boleh menilai sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Andai kata kita mampu sekalipun melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Asia di Lebanon, corak serta pemain skuad bola sepak negara kita tidak mampu pergi jauh. Mampukah kita untuk menghadapi pasukan bertaraf dunia seperti Iran, Korea Selatan, Jepun dan China? Barisan pemain yang sedia ada tidak begitu mantap di semua posisi.

Kemenangan kita di pusingan pertama di Shah Alam hanya dengan sedikit tuah yang menyebelahi pasukan negara, berdasarkan pertemuan menentang ketiga-tiga pasukan yang bertanding.

Lihat saja aksi pasukan Thailand ketika tewas kepada Malaysia dengan 2-3 meskipun Thailand tewas kepada pasukan negara kita tetapi corak dan taktik yang digunakan amat jelas membezakan mutu yang amat ketara dengan pasukan barisan pemain kita. Mereka menggunakan sepenuhnya kepakaran dan kemantapan barisan tengah, manakala barisan tengah pemain Malaysia tidak mampu untuk mengekang dan menahan asakan bertali arus dari barisan tengah Thailand.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim tidak mempunyai pilihan dengan barisan yang ada, pemain yang terpilih itulah yang terbaik setelah melalui berbagai tapisan. Dengan itu terbentuklah skuad negara di bawah bimbingan saudara Abdul Rahman Ibrahim.

Walaupun pemain yang terpilih bermain dengan semangat jitu dan kental, namun itu bukanlah jaminan untuk mencapai kemenangan. Cuba kita perhatikan Abdul Rahman Ibrahim terpaksa menggunakan kaedah hantaran jauh terus kepada penyerang kita untuk membolosi pertahanan lawan tanpa banyak menggunakan khidmat barisan tengah.

Ini memudahkan pihak lawan untuk mengawal penyerang kita. Di dalam sesebuah pasukan bola sepak barisan tengah amat penting, umpama kapal belayar memerlukan jurumudi, begitu jugalah dalam permainan bola sepak barisan tengah amat penting untuk mencorak dan merencanakan permainan, kerana barisan tengah merupakan faktor penting untuk menentukan kemenangan sesebuah pasukan.

Benar kata pemain kebangsaan Shukor Salleh pasukan bola sepak kita sekarang ketandusan jeneral di tengah padang, berbeza semasa era beliau.

Jurulatih amat sukar untuk memilih pemain di barisan tengah, kerana pada masa itu terlalu ramai pemain yang kreatif dan berkaliber untuk mengemudikan barisan tengah, sekadar menyebut beberapa pemain seperti Shukor Salleh, Redzuan Abdullah, Abdah Alif, Bakri Ibni, Ahmad Yussof dan ramai lagi. Ini memudahkan penyerang seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong ataupun Hassan Sani.

Inilah perbezaan yang dapat kita lihat sekarang, Rusdi Suparman dan Nizaruddin Yusuff tidak menerima sepenuhnya bantuan dari barisan tengah untuk menghasilkan gol, kerana tidak ada pemain yang mampu menggalas tugas di barisan tengah, walaupun Ahmad Sharul Azhar, Anuar Jusoh amat rajin bermain di barisan tengah, tetapi mereka bukan pemain yang kreatif untuk mencipta dan merencana gerakan.

Tetapi ada juga pasukan yang barisan tengahnya tidak begitu mantap, bagi menutup kelemahan faktor kepantasan dijadikan sandaran, sebagai contoh apabila pasukan bola sepak Korea Selatan bertanding di pusingan akhir Piala Dunia, mereka diibaratkan sebagai pasukan kerdil tetapi dengan kepantasan setiap pemainnya berjaya mengimbangi pasukan lain yang lebih ternama. Walaupun mereka tewas sekurang-kurangnya mereka telah menunjukkan satu persembahan yang bermutu.

Usahlah kita saling menuding jari menyalah antara satu sama lain, janganlah apabila menang diberi seribu sanjungan dan apabila kalah dicemuh dengan bermacam-macam tuduhan. Kita seharusnya sebagai peminat bola sepak negara, berikanlah kritikan dan pandangan yang membina, masih tidak terlewat untuk kita mencari dan membentuk pemain-pemain remaja di peringkat akar umbi agar umbi akar satu hari nanti akan ada pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Bakri, Abdah Alif, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Jamal Nasir. Semoga maruah pasukan negara yang sekian lama tercalar akan kembali digeruni di rantau Asia seperti satu ketika dulu.

Kepada saudara Abdul Rahman Ibrahim teruskan tugas yang diamanahkan kepada anda, jangan hiraukan segala kritikan yang negatif, bercakap lebih senang daripada melakukannya.

Sekalung tahniah atas kemampuan menyemaikan semangat cintakan kepada negara terhadap pemain. Kepada pemain tidak lupa juga saya ucapkan semoga satu hari nanti anda semua akan menutup mulut pengkiritik dengan semangat kental yang disemaikan dengan harapan ia akan terus berkekalan. Insya-Allah. - AZHAR YAHYA, Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4TSVkbB00 © Utusan Melayu (M) Bhd