ARKIB : 06/05/2000
Saudara Pengarang,
SAYA amat tertarik hati dengan
pendapat yang dikirimkan oleh pengirim yang menamakan dirinya Bola Kertas, dari
Bukit Mertajam.
Pendapat yang dikirimkan oleh
saudara Bola Kertas memang ada kebenarannya, tetapi untuk menyalahkan pucuk
pimpinan 100 peratus agak keterlaluan.
Bagi saya pucuk pimpinan FAM
selama ini telah bertungkus-lumus untuk mencari formula terbaik bagi meninggi
dan memartabatkan mutu bola sepak negara, seperti memperkenalkan Liga Semi Pro
pada tahun 1988 dan seterusnya kepada Liga Profesional dan projek pembangunan
akademik bola sepak di peringkat remaja. Ini termasuklah menganjurkan liga di
peringkat umur di bawah 14, 16 dan 18 tahun seperti Piala Nike, dan menghantar
pemain remaja menimba pengalaman di luar negara seperti remaja Akmal Rizal dan
Juzaili Samion yang beraksi dengan skuad pelapis Racing Strausborg di Perancis.
Melihat aksi pasukan bola sepak
negara di pusingan pertama Piala Asia di Shah Alam, kita sendiri boleh menilai
sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.
Andai kata kita mampu sekalipun
melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Asia di Lebanon, corak serta pemain
skuad bola sepak negara kita tidak mampu pergi jauh. Mampukah kita untuk
menghadapi pasukan bertaraf dunia seperti Iran, Korea Selatan, Jepun dan China?
Barisan pemain yang sedia ada tidak begitu mantap di semua posisi.
Kemenangan kita di pusingan
pertama di Shah Alam hanya dengan sedikit tuah yang menyebelahi pasukan negara,
berdasarkan pertemuan menentang ketiga-tiga pasukan yang bertanding.
Lihat saja aksi pasukan
Thailand ketika tewas kepada Malaysia dengan 2-3 meskipun Thailand tewas kepada
pasukan negara kita tetapi corak dan taktik yang digunakan amat jelas
membezakan mutu yang amat ketara dengan pasukan barisan pemain kita. Mereka
menggunakan sepenuhnya kepakaran dan kemantapan barisan tengah, manakala
barisan tengah pemain Malaysia tidak mampu untuk mengekang dan menahan asakan
bertali arus dari barisan tengah Thailand.
Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim
tidak mempunyai pilihan dengan barisan yang ada, pemain yang terpilih itulah
yang terbaik setelah melalui berbagai tapisan. Dengan itu terbentuklah skuad
negara di bawah bimbingan saudara Abdul Rahman Ibrahim.
Walaupun pemain yang terpilih
bermain dengan semangat jitu dan kental, namun itu bukanlah jaminan untuk
mencapai kemenangan. Cuba kita perhatikan Abdul Rahman Ibrahim terpaksa
menggunakan kaedah hantaran jauh terus kepada penyerang kita untuk membolosi
pertahanan lawan tanpa banyak menggunakan khidmat barisan tengah.
Ini memudahkan pihak lawan
untuk mengawal penyerang kita. Di dalam sesebuah pasukan bola sepak barisan
tengah amat penting, umpama kapal belayar memerlukan jurumudi, begitu jugalah
dalam permainan bola sepak barisan tengah amat penting untuk mencorak dan
merencanakan permainan, kerana barisan tengah merupakan faktor penting untuk
menentukan kemenangan sesebuah pasukan.
Benar kata pemain kebangsaan
Shukor Salleh pasukan bola sepak kita sekarang ketandusan jeneral di tengah
padang, berbeza semasa era beliau.
Jurulatih amat sukar untuk
memilih pemain di barisan tengah, kerana pada masa itu terlalu ramai pemain
yang kreatif dan berkaliber untuk mengemudikan barisan tengah, sekadar menyebut
beberapa pemain seperti Shukor Salleh, Redzuan Abdullah, Abdah Alif, Bakri
Ibni, Ahmad Yussof dan ramai lagi. Ini memudahkan penyerang seperti Allahyarham
Mokhtar Dahari, James Wong ataupun Hassan Sani.
Inilah perbezaan yang dapat
kita lihat sekarang, Rusdi Suparman dan Nizaruddin Yusuff tidak menerima
sepenuhnya bantuan dari barisan tengah untuk menghasilkan gol, kerana tidak ada
pemain yang mampu menggalas tugas di barisan tengah, walaupun Ahmad Sharul
Azhar, Anuar Jusoh amat rajin bermain di barisan tengah, tetapi mereka bukan
pemain yang kreatif untuk mencipta dan merencana gerakan.
Tetapi ada juga pasukan yang
barisan tengahnya tidak begitu mantap, bagi menutup kelemahan faktor kepantasan
dijadikan sandaran, sebagai contoh apabila pasukan bola sepak Korea Selatan
bertanding di pusingan akhir Piala Dunia, mereka diibaratkan sebagai pasukan
kerdil tetapi dengan kepantasan setiap pemainnya berjaya mengimbangi pasukan
lain yang lebih ternama. Walaupun mereka tewas sekurang-kurangnya mereka telah
menunjukkan satu persembahan yang bermutu.
Usahlah kita saling menuding
jari menyalah antara satu sama lain, janganlah apabila menang diberi seribu
sanjungan dan apabila kalah dicemuh dengan bermacam-macam tuduhan. Kita
seharusnya sebagai peminat bola sepak negara, berikanlah kritikan dan pandangan
yang membina, masih tidak terlewat untuk kita mencari dan membentuk
pemain-pemain remaja di peringkat akar umbi agar umbi akar satu hari nanti akan
ada pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Bakri,
Abdah Alif, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Jamal Nasir. Semoga maruah pasukan
negara yang sekian lama tercalar akan kembali digeruni di rantau Asia seperti
satu ketika dulu.
Kepada saudara Abdul Rahman
Ibrahim teruskan tugas yang diamanahkan kepada anda, jangan hiraukan segala
kritikan yang negatif, bercakap lebih senang daripada melakukannya.
Sekalung tahniah atas kemampuan
menyemaikan semangat cintakan kepada negara terhadap pemain. Kepada pemain
tidak lupa juga saya ucapkan semoga satu hari nanti anda semua akan menutup
mulut pengkiritik dengan semangat kental yang disemaikan dengan harapan ia akan
terus berkekalan. Insya-Allah. - AZHAR YAHYA, Kuala Lumpur.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4TSVkbB00
© Utusan Melayu (M) Bhd