Isnin, 25 Disember 2017

Adib mahu selesaikan tugasan di China

ADIB ZAINUDDIN (tengah) hanya mahu memikirkan tentang masa depannya selepas tamat Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.
Rozaidi Zulkifli

24 Disember 2017 11:01 PM
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Adib Zainuddin hanya akan memulakan rundingan mengenai masa depannya selepas menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) yang berlangsung di China, bulan depan.

Tegas kapten skuad B-23 negara itu, buat masa ini dia hanya mahu memberi sepenuh komitmen kepada latihan pusat fasa kedua yang sedang berlangsung di Mokpo, Korea Selatan dan enggan memikirkan perkara lain.


“Saya sudah jelaskan kepada semua pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya bahawa buat masa sekarang saya tidak mahu berbincang tentang perkara ini kerana fokus saya hanya kepada Kejohanan AFC B-23.

“Benar ada rundingan dengan beberapa pasukan dari Liga Super tetapi FELCRA FC juga sudah menyatakan hasrat untuk menyambung kontrak saya bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim hadapan. Selepas semua selesai, saya akan memuktamadkan keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Difahamkan, tiga pasukan sedang mengintai tonggak pertahanan skuad muda negara yang memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu iaitu dua daripadanya adalah dari Lembah Klang, manakala satu lagi di selatan tanah air.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sudah menjalani latihan lebih seminggu di Korea Selatan dan akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan terakhir di negara itu, bertemu Jeonju Citizens pada 28 Disember ini. Mereka akan beraksi dalam perlawanan persahabatan terakhir di Nanjing, China, 5 Januari nanti.

Mengulas lanjut mengenai persediaan ke kejohanan yang dibarisi gergasi bola sepak Asia itu, Adib mengakui persaingan bagi merebut tempat ke China menjadikan mereka bertambah baik.

“Peluang untuk dipilih oleh jurulatih adalah sama rata dan saya lihat semua rakan sepasukan memberikan komitmen tinggi ketika latihan dan aksi terbaik sewaktu perlawanan persahabatan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/adib-mahu-selesaikan-tugasan-di-china-1.578874#ixzz52DyEOLAM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 24 Disember 2017

Panel pemilihan turut terkejut

Panel pemilihan turut terkejut
IRFAN BAKTI
IRFAN BAKTI
Rozaidi Zulkifli

25 Disember 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang telah berlangsung dengan meriah dan jayanya pada 22 Di­sember lalu bagaimanapun me­nimbulkan persoalan berhubung pemilihan pemenang dalam kalangan ahli panel pemilihan anugerah tersebut.

Walaupun ramai anggota panel yang terdiri daripada jurulatih, ketua pasukan dan pengamal media mempunyai pendapat tersendiri berhubung pemilihan pemenang anugerah ABK 2017, mereka terkejut kerana tiada calon daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi sebarang anugerah sedang­kan pasukan berkenaan merupakan juara Liga Super dan Piala Malaysia.


Hanya penyerang JDT, Mohamad Ghaddar yang memenangi anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super (Import), itu pun dise­babkan faktor lain iaitu berdasarkan jumlah jaringan terbanyak yang direkodkan sepanjang perlawanan Liga Super.

Salah seorang panel, Irfan Bakti Abu Salim yang merupakan jurulatih pasukan Terengganu I berkata, dia menilai calon pemilihan berdasarkan prestasi semasa seseorang pemain itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Irfan yang turut tercalon dalam senarai pendek Anugerah Jurulatih Terbaik, mengakui terkejut namanya juga tersenarai, sedangkan terdapat beberapa jurulatih lain yang lebih layak daripadanya.

“Saya menilai calon berdasarkan prestasi semasa pemain tersebut, mungkin pemilihan saya kurang mendapat sambutan majoriti, contohnya saya pilih A dan yang lain lebih ramai pilih B, maka pemain yang saya pilih tidak menang.

“Setiap panel mempunyai pandangan pemilihan masing-ma­sing tetapi jika ada faktor tertentu itu adalah tidak betul.

“Saya sendiri terkejut tercalon dalam senarai pendek tiga jurulatih terbaik dan perkara itu saya tidak jangka kerana ada lagi orang lain lebih layak daripada saya. Apa yang Khairy Jamaluddin persoalkan ada sedikit sebanyak betul dan rasionalnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin me­nganggap seperti ada sesuatu yang tidak kena berhubung keputusan pemilihan pemenang ABK 2017.

Khairy yang tidak memihak kepada mana-mana pasukan meluahkan rasa terkilan apabila anugerah tersebut menafikan sebarang pengiktirafan kepada pasukan tempatan paling berjaya.

Pemenang bagi anugerah yang ABK pilih berdasarkan undian daripada 24 jurulatih, 24 kapten pa­sukan dan 24 media.

Sementara itu, jurulatih Felda United, B. Sathianathan berkata, pemilihan adalah hak individu dan harus dilakukan secara profesional.

“Pemilihan adalah hak individu, untuk saya sendiri saya memilih dengan cara profesional dan tidak mengikut emosi kerana saya akan lihat pemain itu adakah menyerlah atau tidak dalam setiap perlawanan yang diwaki­linya,” katanya.

Wartawan penyiaran Astro Arena, Fadzrie Hazis turut senada dengan pandangan dua jurulatih tersebut, namun dia mengakui terkejut apabila mengetahui tiada pemenang daripada JDT.

“Secara jujurnya saya terkejut apabila tiada pemain JDT menang sedangkan dalam pemilihan saya memilih beberapa pemain JDT berdasarkan prestasi mereka dan kejuaraan yang dicapai tahun ini.

“Sebagai wartawan bola sepak, objektif pemilihan harus jelas iaitu tidak kira pemain itu daripada pa­sukan mana, jika pemain itu pa­ling bagus maka wajar dinobatkan sebagai pemain terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairul Helmi Johari yang merupakan kapten Kedah berpendapat pemilihan dijalankan secara adil kerana semua panel mempunyai latar belakang bola sepak tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat aspek negatif.

“Saya sendiri memilih berdasarkan prestasi pemain, penyenaraian dalam kese­belasan utama dan kejuaraan yang telah dicapai oleh calon tersebut sepanjang musim ini,” katanya.



sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/panel-pemilihan-turut-terkejut-1.578880#ixzz52DtVc2rL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Abang Dell Akbar meninggal dunia

ARKIB2009A
ARKIB : 02/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bekas pemain pertahanan bola sepak kebangsaan pada era 60-an hingga 70-an yang pernah dipilih menyertai skuad Asian All-Stars, Sardar Khan Hyder Khan, meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas dikesan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Anak sulung daripada empat beradik yang meninggalkan seorang balu, Che Nah dan sepasang anak, Mohammad Rashad Khan dan Siti Saddarina serta tiga cucu ini meninggal dunia ketika tidur di rumahnya, Nombor 52, Jalan AU2A/14, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Allahyarham, abang kepada bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bek kanan negara, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan dianggap sebagai salah seorang tulang belakang handalan skuad kebangsaan dan Selangor dari 1963 hingga 1971.

Allahyarham pernah menjulang trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaya pada era 60-an dan seangkatan legenda tanah air seperti Datuk Ghani Minhat, Arthur Koh, Edwin Dutton dan Datuk M. Chandran serta mencipta nama dalam skuad negara yang menjuarai Pestabola Merdeka 1968 menewaskan Burma 3-0.

Dia dilahirkan di Bangsar, Kuala Lumpur pada 6 September 1943.

Pada 1967, Sardar juga menganggotai skuad Asian All-Stars dengan Chinna Karuppan, Chow Kwai Lam dan Chandran serta Foo Fook Chuan (Perak) di samping Do Thoi Vinh (Vietnam), Yaacob Sihasaley, Soejipto (Indonesia) dan jaguh Iran, Akbar Idifhari.

Allahyarham yang pernah bertugas di Bank Standard Charterd, dikenali dengan terjahan keras dan berani merampas bola daripada kaki lawan, menganggotai barisan terbaik benua itu yang dikalahkan kelab terkemuka England, Arsenal 6-2.

Dell Akbar ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata, Sardar dikatakan sudah tidak sedarkan diri setelah rakannya meminta anak Allahyarham mengejutkannya untuk bangun berjoging bersama mereka seperti rutin setiap pagi.

"Kemungkinan dia diserang sakit jantung kerana kira-kira pukul 2 pagi sebelumnya, Allahyarham mengadu sakit dada lalu dibawa ke klinik namun, selepas makan ubat sebanyak dua kali, barulah dia dapat tidur," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur semalam dan satu majlis tahlil diadakan di kediamannya selepas solat Isyak, sebelah malamnya.

Turut menziarahi jenazahnya ialah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad dan bekas pemain negara dan Selangor seperti Rahim Abdullah, Reduan Abdullah, Zulkifli Norbit, Khalid Ali, Zainal Abidin Hassan, Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) - Datuk Yap Nyim Keong dan Kwai Lam.

Kata Reduan, bekas pemain Selangor dan Malaysia pada era 70-an dan 80-an: "Allahyarham merupakan senior kami ketika itu. Walaupun tidak sempat bermain sepasukan, saya pernah menyaksikan kehandalannya bermain sebagai bek tengah."

Warga Meja Sukan Utusan Malaysia mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz52A69Q2y3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Disember 2017

Ada tidak kena dengan ABK?

Disember2017
KEJAYAAN muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk dipilih
 KEJAYAAN muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk dipilih 2
KEJAYAAN muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk dipilih memenangi anugerah Pasukan Terbaik dalam ABK 2017 yang berlangsung di Petaling Jaya, kelmarin.
Zazali Jamian

24 Disember 2017 3:00 AM

17
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang berlangsung semalam di­lihat seperti ada sesuatu yang tidak kena berhubung keputusan pemilihan pemenang malah perkara itu juga disedari oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN
Khairy yang tidak memihak kepada mana-mana pasukan meluahkan rasa terkilan apabila anugerah tersebut menafikan sebarang pengiktirafan kepada pasukan tempatan paling berjaya.


“Ada sesuatu yang tidak berapa kena apabila anugerah bola sepak negara langsung tidak memberi sebarang penghargaan kepada pasukan tempatan yang paling berjaya.

“Kecemerlangan tidak dihargai, dikecam dan dicemburui.

“Kalau begitulah sikap kita, selama-lamanya kita menjadi negara kelas ketiga, anti-kecemerlangan, berhasad dengki dan berhati hitam,” katanya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Pemenang bagi anugerah yang ABK pilih berdasarkan undian daripada 24 jurulatih, 24 kapten pa­sukan dan 24 media.

Semalam, Kedah yang meraih kejuaraan Sumbangsih dan Piala FA musim ini mendominasi ABK apabila dipilih memenangi sembilan daripada 22 anugerah ditawarkan.

Sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah meraih gelaran Liga Super dan Piala Malaysia 2017 hanya dipilih memenangi dua gelaran sahaja.

Dua anugerah dimenangi atas nama JDT itu ialah Pemain Muda Harapan menerusi Adam Nor Azlin dan bekas pemain skuad Harimau Selatan, Mohamad Ghadar yang dipilih sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super (import).

Pada tahun ini JDT muncul sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya melepasi aksi pe­ringkat kumpulan Piala AFC 2017



sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ada-tidak-kena-dengan-abk-1.578488#ixzz529gIxmkC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Disember 2017

Zaki kekal penolong?

ARKIB : 25/02/2009
KUALA LUMPUR - Ketika arena bola sepak masih tertunggu- tunggu gerangan ketua jurulatih baru negara selepas B. Sathianathan, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad pula mengakui masih berkhidmat sebagai jurulatih dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penolong jurulatih negara ini berkata, dia masih tidak diberitahu apa-apa mengenainya oleh pihak pengurusan sekalipun terbabit membantu Sathianathan pada Piala Suzuki AFF di Phuket dan Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) antara Disember hingga 21 Januari lalu.

"Saya masih ada kontrak dengan FAM hingga Disember tahun ini. Setakat ini saya menganggap saya masih jurulatih di bawah FAM kerana tiada sebarang makluman terbaru daripada pihak atasan," kata bekas jurulatih Negeri Sembilan ini, semalam.

Zaki setia membantu Sathianathan sejak melatih skuad Bawah 21 Tahun negara dalam Kelayakan Olimpik 2007 sebelum gandingan ini mencipta kejutan dengan menjuarai Pestabola Merdeka tahun itu walaupun masih kempunan sebarang pingat Sukan SEA Korat.

Namun, selepas kegagalan di Phuket, jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid dan penolong lain, Ismail Ibrahim ditukarkan ke skuad Bawah 16 Tahun negara sementara Pengarah Penjaga Gol FAM, Lim Chuan Chin kembali menyertai barisan kejurulatihan skuad negara mulai Kelayakan Piala Asia.

''Saya cuma tidak jelas ke pasukan mana saya selepas ini. Adakah ia sama seperti Ismail atau Mazlan, saya pun tidak pasti. Cuma biasanya, mana-mana ketua jurulatih negara yang baru dilantik, mungkin mahu memilih penolongnya sendiri."

FAM Khamis lalu menyenaraikan Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor), Dollah Salleh (Shahzan Muda) dan Wan Jamak Wan Hassan (Negeri Sembilan) sebagai calon ketua jurulatih negara.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz522YGcEnt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 20 Disember 2017

Jangan pedulikan ranking lagi

ARKIB : 14/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kalangan jurulatih dan bekas pemain negara menggesa skuad kebangsaan dan khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak terlalu memikirkan ranking dunia yang jatuh tiga anak tangga semalam.

Jurulatih PKNS yang pernah melatih skuad kebangsaan pada 1999 hingga 2000, Abdul Rahman Ibrahim, menyarankan rombakan skuad negara merupakan antara perkara pokok yang perlu dibuat kerana pada pandangannya, cuma terdapat enam atau tujuh pemain sekarang yang boleh dipertaruhkan lagi.

"Lupakan segala kegagalan lalu termasuk ketika menentang UAE dalam Kelayakan Piala Asia 2011. Inilah masanya membentuk sebuah pasukan baru kebangsaan yang menggabungkan enam atau tujuh pemain dengan beberapa pemain Harimau Muda atau skuad bawah 23 tahun.

"Jangan pedulikan ranking lagi sebaliknya fokuskan hala tuju bola sepak dan pasukan negara," katanya yang pernah memulihkan negara untuk mencatat kejayaan tempat ketiga Piala Tiger di Songkhla pada 2000 selepas dibelasah teruk Indonesia 6-0 dalam Sukan SEA Brunei 1999.

Menurut Abdul Rahman, ranking bagaimanapun perlu diperbaiki selepas itu dengan mengundang lawan ranking lebih tinggi seperti Thailand dan Singapura sekurang-kurangnya bermain dalam perlawanan persahabatan.

Jurulatih skuad Universiti Malaysia dan bekas jurulatih penjaga gol Kedah, Azman Eusoff, turut menekankan kepentingan memulihkan kualiti dan persembahan Liga M daripada bertumpu kepada memperbaiki ranking dengan mengembalikan pemain import supaya pemain tempatan kembali bersaing lebih baik sekali gus memantapkan skuad negara.

"Jika ranking masih diutamakan khususnya bagi jangka pendek, saya cadangkan kita serapkan semula pemain asing yang benar-benar berkualiti ke dalam pasukan kita.

"Ramai yang tidak bersetuju tetapi mungkin daripada beberapa keputusan perlawanan yang positif, lama kelamaan mereka akan menerimanya," katanya.

B. Sathianathan yang menerajui Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2007 tetapi dipecat baru-baru ini berkata, sekurang-kurangnya 13 hingga 14 perlawanan antarabangsa diperlukan skuad kebangsaan setiap tahun sekiranya ranking FIFA itu mahu diperbaiki.

"Ia termasuk Pestabola Merdeka atau sebarang kejohanan anjuran AFC (Gabungan Bola Sepak Asia) atau FIFA tetapi mesti mengambil kira jadual liga negara yang kita undang bermain itu dan khususnya ranking mereka yang mestilah lebih tinggi dan mampu meningkatkan kualiti dan prestasi pemain kita.

"Namun jangan lupa tidak semua negara berkenaan yang diundang itu sudi bermain dengan kita kerana mereka turut memikirkan soal naik turun ranking.

"Hong Kong yang hampir setanding kita pun pernah membatalkan pada saat akhir ketika diajak bermain persahabatan," katanya.

Jurulatih Felda United yang juga bekas pemain tengah negara era 70-an, Reduan Abdullah turut menyarankan supaya daya saing Liga M ditingkatkan selain pencarian bakat baru untuk membentuk skuad negara setiap peringkat umur perlu dipergiatkan daripada sekadar memikirkan jatuh bangun ranking skuad kebangsaan.

"Namun jangan dibekukan terus sekiranya ada permintaan negara luar yang mengundang kita bermain perlawanan persahabatan kerana ini juga masih satu medan pendedahan antarabangsa dan kayu pengukur buat skuad negara.

"Selain itu cubalah guna muka baru dalam pasukan mulai sekarang dengan matlamat ke Sukan SEA Laos, Disember ini," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51oSc4J00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Terus merudum!

ARKIB : 14/02/2009
KUALA LUMPUR - Jatuh lagi. Namun ia tidak mengejutkan banyak pihak. Bagaikan sudah diduga.

Dengan prestasi yang ditunjukkan skuad negara masa kini, pasti tidak ramai yang terkejut dengan kemerosotan ranking bola sepak negara yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Jika sebelum ini, ramai yang mengeluh melihat angka ranking 158 yang dihuni pasukan negara, kali ini ia jatuh dua anak tangga lagi untuk berada di 161, rangking terendah kedua pernah diduduki oleh skuad negara.

Paling buruk, Malaysia pernah berada di ranking ke-170 pada April 2008 manakala yang terbaik, berada di tangga ke-75 pada Ogos 1993 yang ketika itu dikemudi oleh Ken Worden yang kini selesa melatih skuad Terengganu.

Ironiknya, kemajuan dan prestasi kegemilangan negara itu terhenti pada 1994 kerana berlakunya rasuah terbesar yang melanda bola sepak Malaysia.

Lebih menarik, ranking terbaru ini meletakkan pasukan negara berada di bawah pasukan Myanmar - pasukan dari negara yang masih huru hara - dan pernah dikalahkan 4-0 pada perlawanan Pestabola Merdeka 2008 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Namun, mereka juga berjaya membalas dendam dengan mengalahkan negara 4-1 pada Piala Cabaran Grand Royal 2008 di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar.

Menurut laman web FIFA, Malaysia mengumpulkan 104 mata pada Februari, kurang 10 mata daripada senarai bulan lepas, dan hanya sembilan kedudukan lebih baik daripada kedudukan terendah iaitu tempat ke-170 pada April tahun lepas.

Hanya 16 negara yang kedudukan mereka jatuh dalam ranking FIFA yang melibatkan 201 negara.

Sejak dua tahun lepas, pada 2007 dan 2008, kedudukan terbaik Malaysia adalah ranking ke-151 pada Oktober 2008 selepas muncul naib juara pada kejohanan Pestabola Merdeka.

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal di tempat keenam di belakang Thailand (117), Singapura (131), Vietnam (135), Indonesia (137) dan Myanmar (158).

Filipina pada kedudukan ke-164, Laos (171), Kemboja (179) dan Brunei (183).

Dalam ranking Asia, Malaysia jatuh satu kedudukan dalam ranking Februari selepas berada pada kedudukan ke-29 bulan lepas.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51oQHPVnM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 18 Disember 2017

'Beri kepada orang bola sepak'



ARKIB : 04/02/2009

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - ''Biar orang bola sepak tulen yang mengendalikannya.'' Demikian antara komen beberapa tokoh bola sepak tempatan terhadap cadangan agar jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak serta diisi oleh bekas pemain dan jurulatih kebangsaan.

Menurut mereka, pengalaman serta pengetahuan para bekas pemain dan jurulatih tempatan sememangnya sesuatu yang amat berguna bagi meningkatkan mutu bola sepak negara yang dilihat kian bercelaru.

Bekas bintang penyerang Selangor, Dollah Salleh yang kini melatih Shahzan Muda berpendapat, pemain veteran yang sebelum ini telah berpuluh tahun berkecimpung dalam arena bola sepak pastinya mempunyai ramuan tersendiri untuk dikongsikan bersama pasukan kebangsaan.

"Tidak ada salahnya kita mencuba khidmat bekas pemain dan jurulatih ini. Mereka sudah lama berada di dalam di tengah padang dan pastinya mereka lebih memahami perasaan pemain, situasi serta keadaan bola sepak di negara kita.

"Kalau hendak bercakap, siapa pun boleh bercakap tetapi tidak ramai yang tahu pahit maung dalam dunia bola sepak tempatan," katanya yang pernah membawa Selangor muncul juara tiga gelaran dalam dua musim berturut-turut.

Beliau mengulas cadangan yang diberikan oleh bekas pemain dan jurulatih kebangsaan yang mahukan jawatankuasa FAM dirombak dan memberi tugas itu kepada golongan tersebut untuk menaikkan semula kecemerlangan bola sepak negara.

Mereka berkata demikian dalam majlis ramah mesra Yayasan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim juga bersetuju dengan pandangan Dollah selain yakin terdapat beberapa bekas pemain kebangsaan yang mampu menjalankan tugas pentadbiran dan pembangunan bola sepak dengan baik.

Menurut Irfan, pengalaman serta ilmu yang dimiliki para bekas pemain dan jurulatih kebangsaan sememangnya amat berguna dalam memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain terutamanya dari segi pembangunan.

"Berilah ruang kepada para bekas pemain untuk bersuara memberikan pendapat. Usah sekadar memberikan jawatan tetapi suara kami kurang dipedulikan. Ia sudah semestinya sesuatu yang merugikan," katanya.

Pengendali skuad kenari, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tepat dan kena pada masanya dalam usaha untuk memartabatkan mutu bola sepak negara.

"Pelantikan Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad sebagai Setiausaha Agung FAM sememangnya satu langkah yang tepat kerana beliau juga merupakan bekas pemain bola sepak tetapi sayangnya tidak ramai orang di sekeliling beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

"Biarlah orang bola sepak tulen yang sememangnya mempunyai misi serta visi membangunkan bola sepak diangkat menganggotai jawatankuasa itu," katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan pula menasihatkan agar bekas-bekas pemain yang mahu menabur bakti menjadi ahli jawatankuasa itu supaya mengumpul ilmu sebanyak mungkin di dalam bidang pentadbiran.

"Seseorang yang terpilih menjadi ahli jawatankuasa itu perlulah seorang yang berilmu serta faham mengenai cara pengurusan. Perlu juga ada falsafah selain ikhlas melakukan kerja. Banyak yang perlu dilakukan dan kalau setakat mahu menonjolkan diri, lupakan saja," ujarnya.

Bekas pemain kebangsaan era 80-an, K. Gunalan pula berharap jika benar cadangan itu mahu dilaksanakan, ahlinya perlulah dipilih di kalangan para pemain mahupun jurulatih yang pernah mengharumkan nama negara dan terbukti berjaya sekurang-kurangnya di arena bola sepak tempatan.

"Nama-nama seperti Datuk Ghani Minhat, Abdullah Ali serta Datuk M. Chandran sememangnya telah membuktikan kredibiliti mereka di dalam arena bola sepak. Jika mereka masih mampu menyumbang dalam bola sepak moden kini, berilah mereka peluang," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51gjNXilI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hanya 60 pemain yang layak



ARKIB : 03/02/2009
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Kedengaran seperti tidak masuk akal tetapi hakikatnya hanya ada lebih kurang 60 daripada 600 pemain yang berdaftar dengan FAM layak dipanggil untuk bermain dengan skuad utama kebangsaan.

Bunyinya janggal namun itulah hakikat yang lantang disuarakan oleh pengendali PKNS yang juga bekas jurulatih pasukan negara, Abdul Rahman Ibrahim pada pertemuan bekas pemain kebangsaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menurut Abdul Rahman, angka 60 pemain itu dicongak setelah mengambil kira hanya ada tiga atau empat pemain utama di dalam sesebuah pasukan negeri dan kelab selain menolak jumlah pemain simpanan serta pemain muda.

“Daripada 60 pemain itu, apa yang boleh kita harapkan? Jurulatih negara tentunya mempunyai pilihan yang terhad selain terpaksa memilih muka yang sama setiap kali beraksi. Ia jelas menunjukkan kita gagal melahirkan pemain yang berkualiti,” tegasnya.

Abdul Rahman dalam sesi itu turut tidak gentar menempelak barisan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Jika Malaysia bertemu Manchester United, berderu-deru wakil FAM hadir ke stadium tetapi jika Malaysia berdepan UAE atau beraksi pada kejohanan antarabangsa yang lain, berapa ramai yang hadir memberi sokongan?” katanya sinis.

Benteng terakhir negara era 80-an, Rashid Hassan juga turut bersetuju dengan pandangan Abdul Rahman mengenai kekurangan pemain berkualiti yang dialami negara ini.

“Menangislah air mata darah sekali pun tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata, hanya inilah pemain yang ada untuk kita pertaruhkan di peringkat antarabangsa.

“Justeru perlu ada mekanisme yang tepat untuk meningkatkan mutu permainan pasukan ini dan salah satunya adalah memberi pendedahan kepada para pemain melalui perlawanan persahabatan dengan pasukan hebat dari luar negara,” katanya.

Sementara itu bekas pemain kebangsaan era 70-an, Abdullah Ali pula mengusulkan agar FAM mewujudkan satu akta yang boleh dijadikan petunjuk kepada kepimpinan badan induk itu.

Menurutnya, pemimpin bola sepak Korea dan Jepun akan meletak jawatan sekiranya gagal membawa kebaikan kepada pasukan masing-masing.

“Tidak seperti di Malaysia, para pemimpin badan sukan masih terus memegang jawatan sekali pun pasukan yang dipimpinnya gagal menonjol untuk satu jangka masa yang panjang.

“Justeru perlu ada semacam satu garis panduan digubal bagi memberi kesedaran kepada para pemimpin seperti itu,” ujarnya.

Pemain kebangsaan era 80-an, Azlan Johar pula berharap agar lebih banyak peranan dapat dimainkan dan diberi kepada para bekas pemain kebangsaan.

“Kebanyakan kami memiliki pengalaman, pengetahuan serta semangat yang tinggi untuk mengembalikan mutu bola sepak negara.

“Mungkin kami boleh dihantar ke sekolah-sekolah untuk mendidik para pemain di peringkat akar umbi,” katanya

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51gh07w1j
© Utusan Melayu (M) Bhd