ARKIB : 05/03/2004
Biarpun pada mulanya skuad negara begitu bersemangat lebih-lebih lagi selepas mengejutkan Iran dengan gol pembukaan, pasukan Allan Harris tiba-tiba longlai yang akhirnya melepaskan empat gol mudah.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan dua lagi perlawanan lebih getir iaitu menentang China di Wuhan, 20 Mac ini sebelum melayan pasukan lebih gagah, Korea Selatan di Petaling Jaya empat hari berikutnya.
Apakah jangkaan anda dalam dua perlawanan berikut ini? Apakah Malaysia akan menerima nasib seperti menentang Iran atau lebih buruk daripada itu?
China yang tewas tipis 1-0 kepada Korea Selatan pada perlawanan terdahulu pada hari yang sama, bukan sahaja perlu menang ke atas Malaysia 20 Mac ini bahkan perlukan jaringan gol lebih banyak daripada yang diperoleh Iran.
Begitu juga Korea Selatan, empat gol atau lebih ke atas Malaysia kini menjadi satu kemestian.
Oleh itu, Malaysia jelas dijadikan pasukan belasahan oleh tiga skuad gergasi Asia itu yang berlumba-lumba menempah satu tiket ke Athens.
Kekalahan besar 4-1 Malaysia itu sebenarnya boleh dielakkan jika pengurusan pasukan membuat persiapan lebih rapi dan tidak sambil lewa.
Harris sebelum perlawanan itu berkata: ``Kita hanya menentang Maldives dan kelab Singapura (Tanjung Pagar United) sebagai persiapan kita sebelum ini, jadi anda boleh nilaikan sendiri pasukan ini.''
Selain faktor kurang pendedahan, skuad negara juga ketandusan pemain bertaraf antarabangsa. Kehilangan beberapa tonggak pertahanan dilihat sukar sekali untuk dicari penggantinya.
Perlawanan dengan Iran itu menyerlahkan kepincangan barisan pertahanan skuad negara selain bahagian tengah yang kurang bermaya.
Begitupun, Harris lebih nampak kekalahan besar kepada Iran itu berpunca kepada dua gol pantas pada akhir babak pertama.
``Kita bermain baik pada separuh pertama tetapi apabila Iran mendapat dua gol dalam masa lima minit, ini sangat sukar untuk mereka kembali ke corak permainan asal.
``Saya meminta mereka supaya berhati-hati pada peringkat awal separuh masa kedua tetapi mereka gagal,'' katanya.
Sememangnya kita tidak boleh meletakkan harapan tinggi kepada barisan Harris ini, jika melihat kepada tiga pasukan lawan yang jelas lebih gagah.
Allan cuma boleh memberi harapan skuad kendaliannya akan bangkit pada perlawanan menentang China walaupun sedar ia satu misi amat sulit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan