Sabtu, 8 April 2017

Akmal tetap ke Vietnam

ARKIB : 11/11/2003
PENYERANG Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tetap akan menerajui jentera serangan skuad bola sepak negara ke Sukan SEA di Vietnam bulan depan sekali pun dia baru sahaja pulih daripada pembedahan apendiks, lapor A. JAILANI ABDULLAH.

Jurulatih, Alan Harris ketika mengesahkan kedudukan Akmal berkata: ``Kita memerlukan seorang pemain berkualiti sepertinya untuk menerajui barisan serangan seperti dan dia telah menunjukkannya ketika bertemu Pahang.''

Akmal menjaringkan satu gol ketika skuad bawah 23 tahun negara menundukkan pasukan Liga Super itu 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya Sabtu lepas.

Tetapi, jurulatih dari England itu masih perlu membantu Akmal kembali kepada tahap kecergasan penuh selepas pemain itu berehat panjang sejak bulan lepas.

Dan, lawatan ke Australia dengan tujuan meningkatkan prestasi pasukan menerusi tiga per-lawanan persahabatan sekali gus bakal menjadi medan terbaik buat Harris menyediakan Akmal ...sebelum Sukan SEA bermula.

Khidmat Akmal tidak dapat ditagih dalam pusingan kelayakan Piala Asia bulan lepas kerana pembedahan itu. Dia bermain dua perlawanan dalam Sukan Afro-Asia di Hyderabad, India hujung bulan lepas tetapi beraksi hanya 45 minit pada setiap perlawanan.

Keputusan di Australia bukan perkara utama dalam perancangan Harris, yang lebih mementingkan untuk menguji beberapa pemain baru dan menerapkan strategi pasukan.

``Akmal akan diberikan ruang untuk bermain lebih lama dalam lawatan ke Australia bagi membantu dia mendapatkan semua tahap kecergasan dan juga sentuhan berbisanya,'' kata Harris.

Skuad 24 pemain negara berlepas ke negara Kanggaru itu pagi semalam dan akan menentang kelab APIA Leichhardt di Lambert Park esok.

Mereka kemudiannya akan diuji oleh Canterbury Marrickville dalam perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung dua hari kemudian dan menamatkan aksi dengan bertemu skuad bawah 20 tahun Australia di Valentine Park pada 17 November.

Pendedahan di Australia itu akan digunakan oleh Harris untuk menilai tahap permainan pemain-pemain sebelum beliau memilih hanya 20 pemain yang akan beraksi di Vietnam.

Skuad negara, yang merupakan naib juara Sukan SEA kepada Thailand akan berlepas ke Ho Chi Minh pada 26 November ini. Acara bola sepak lelaki bermula pada 29 November dengan skuad negara membuka tirai bertemu Kemboja.

Skuad ke Australia:
Penjaga gol: Mohd. Faizal Abdul Rashid, Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: Mohd. Anis Faron, Irwan Fadli Idrus, Abdul Aziz Ismail, Ronny Harun, Mohd. Nizam Jamil, Norhafiz Zamani Misbah, Redzuan Radzy, Shahril Faizal Sharifuddin

Tengah: Mohd Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin, Somchat Na Rong, Mohd. Juzaili Samion, Mohd. Mazuki Yusof, Syaiful Sabtu, Mohd. Norhisham Hassan, K. Rajan, D. Surendran, Fadzli Shaari

Penyerang: Mohd. Harris Safwan, Rudie Ramli, Akmal Rizal Rakhili, Zainizam Marjan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4df9w0N1o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan