Isnin, 10 April 2017

Malaysia perlu banyak ujian

ARKIB : 23/01/2004

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagopal merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Malaysia sebagai pemanas badan sebelum menguji Jepun, bulan depan.

Rajagopal berkata, tiga perlawanan itu bertujuan untuk menguji tahap kecergasan dan mengukur kemampuan awal pelatih negara yang baru dipanggil bagi sesi latihan pertama dari 16 hingga 18 Januari lalu.

``Kalau boleh kita mencari mana-mana pasukan dalam Liga Super dan jika tidak berpeluang, mungkin ada di antara pasukan Liga Perdana,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.

Lapan pasukan dalam Liga Super yang baru diperkenalkan musim ini ialah juara Perdana Satu musim lalu - Perak, Kedah, Perlis, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Public Bank Selangor.

Menurut Rajagopal, aksi pemanas badan itu mungkin dapat diadakan sepanjang latihan fasa kedua skuad pelatih negara yang bermula Selasa ini.

Malaysia akan berkunjung ke Kashima untuk menentang Jepun dalam perlawanan persahabatan pada 7 Februari ini sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia mulai 18 Februari.

Skuad kebangsaan yang sedang dibentuk semula dengan kehadiran ramai pemain melebihi usia 23 tahun ini, diletakkan dalam kumpulan 4 Asia bersama China, Hong Kong dan Kuwait.

Kata Rajagopal, pasukan Liga Malaysia terpaksa dipilih setelah beberapa pasukan luar negara khasnya dari Asia didapati tidak mampu memenuhi permintaan mengadakan perlawanan persahabatan.

``Khabarnya mereka turut sibuk dengan persediaan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia dan menghadapi kesuntukan masa untuk memenuhi permintaan itu,'' katanya.

Mengenai tugasannya untuk membimbing skuad kebangsaan menghadapi Jepun, pasukan pusingan akhir Piala Dunia 1998 dan tuan rumah 2002, Rajagopal mengakui beliau turut memerlukan khidmat seorang penolong jurulatih.

``Setakat ini saya hanya diawasi oleh Pengarah Teknikal FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Karl Heinz Weigang dan jurulatih penjaga gol, Fauzi Mukhlas,'' kata beliau yang juga jurulatih skuad Bawah 21 tahun negara.

Bagaimanapun, menurutnya, ia bukan satu kemestian kerana pelantikannya masih bersifat sementara sehingga Mac ini yang melibatkan dua perlawanan pusingan pertama dengan Hong Kong dan Kuwait pada 18 Februari dan 31 Mac.

``Hanya selepas itu, kita dapat menilai sama ada perlu atau tidak ketua jurulatih baru dilantik dan siapa penolongnya,'' kata Rajagopal yang pernah membimbing Selangor dan Kelantan.

Barisan pemain skuad bola sepak negara untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia akan ditentukan selepas perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Jepun.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), daripada 32 pemain yang melaporkan diri bagi sesi latihan fasa pertama dari 16 hingga 18 Januari, seramai 29 daripada mereka akan dipilih bagi fasa kedua yang akan bermula pada 27 Januari.

Para pemain akan dinilai oleh jurulatih sementara K.Rajagopal dan Weigang akan menentukan skuad terakhir bagi pusingan kelayakan Piala Dunia

Rajagopal telah membayangkan sebelum ini yang beliau mahu mengatur satu pertemuan persahabatan semasa fasa kedua latihan untuk menilai keupayaan dan komitmen para pemain.

Malaysia, akan memulakan perlawanan pusingan pertama mereka menentang Hong Kong pada 18 Feb, Kuwait (31 Mac), China (9 Jun), Hong Kong (18 Okt) dan Kuwait (17 Nov).

Semua perlawanan dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

Pelatih-pelatih dalam pasukan kebangsaan ialah:

Eddy Helmi Manan, Idris Abdul KArim (Johor FC), Victor Andrag (Kedah), Khairul Anuar Baharum (Negeri Sembilan), Chow Chee Weng, Chee Wan Hoe (Penang), Azmin Azram Aziz, Subri Sulung, Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Azizul Kamaluddin (Pahang), K.Nanthakumar, V.Saravanan, Liew Kit Kong, Chan Wing Hoong, Syamsul Mohd Saad, Mohd Hamsani Ahmad (Perak, Tengku Hazman Raja Hassan, Muhamad Kaironnisam Hussain (Perlis), K.Sanbagamaran (Sabah), Wong Sai Kong, Kamarulzaman Hasan (Sarawak), Mohd Sany Muhammad Fahmi (Selangor), Jamsari Sabian, Yuszaiman Zahari, Faizal Zainal, Mohd Nizaruddin Yusop (Selangor MPPJ), M.Elangoo, Lim Chan Yew (Selangor Public Bank).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dqwzHMvl
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan