Sabtu, 29 April 2017

Jumpa Singapura dan Kuwait - Bicskei cuba muka baru

ARKIB : 29/10/2004

JURULATIH kebangsaan, Bertalan Miklos Bicskei menunjukkan jadual perlawanan bola sepak sepanjang tahun 2005 pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Pada kali ini, jurulatih terbabit menyenaraikan lebih ramai muka baru ekoran kecederaan yang melanda pemain-pemain utama. - Gambar ASWAD YAHYA.



BUAT kali kedua, jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Miklos Bicskei tampil melakar posisi dan pemain yang berwatak baru di atas padang sepanjang tempoh hampir empat bulan mengambil alih jawatan itu daripada Allan Harris.
Pada sidang akhbar mengumumkan barisan pemain negara bagi perlawanan persahabatan menentang Singapura (1 November) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, beliau mengetengahkan gandingan berbeza dalam pemilihan pemain kali ini berikutan ramai pemain pilihan utamanya cedera.
Sambil tidak menolak kemungkinan bahawa barisan pemain yang sama ini juga akan diturunkan dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait yang sudah tidak membawa apa-apa makna pada 17 November ini, Bicskei menjelaskan ia adalah sebahagian daripada percaturannya membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap tahun depan.
Daripada 23 pemain yang diumumkan Bicskei semalam, lapan daripadanya adalah pemain baru.
Mereka ialah Ahmad Tharmini Saiban, Mohd. Azizan Baba, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Mohd. Nor Ismail, Norfazly Alias, Mohd. Suffian Ab Rahman, Azizon Abdul Kadir dan Mat Saiful Mohamad,
``Saya juga akan turut mengubah beberapa posisi pemain untuk menghadapi dua perlawanan antarabangsa ini.
``Bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah akan diuji untuk bermain di bahagian tengah bergandingan dengan K. Nanthakumar.
``Manakala ketiadaan Lim Chan Yew yang cedera akan diisi Wong Sai Kong sebagai bek tengah,'' katanya.
Bicskei turut mengakui, beliau tiada pilihan lain berikutan kecederaan ramai pemain utama kali ini.
Antaranya termasuk Azmin Azram Aziz, Irwan Fadli Idrus, Hairuddin Omar, Fadzli Shaari, Khaironnisam Shahabuddin, Juzaili Samion, Akmal Rizal Rakhli dan Tengku Hazman Raja Hassan.
``Saya percaya, pemain yang ada akan memberi seratus peratus komitmen untuk dua perlawanan ini,'' tegasnya.
Kali pertama Bicskei merombak barisan skuad kebangsaan ialah pada perlawanan menentang Hong Kong pada kelayakan Piala Dunia yang lalu apabila menurunkan ramai muka baru.
Senarai pemain:
Ahmad Tharmini Saiban, Chan Wing Hong, Chow Chee Weng, Wong Sai Kong, Eddy Helmi Abdul Manan, Indra Putra Mahayuddin, Liew Kit Kong, Mat Saiful Mohamad, Mohd. Amri Yahyah, Mohd. Azizan Baba, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Mohd. Nor Ismail, Khalid Jamlus, Shukor Adan, K. Nanthakumar, Norfazly Alias, Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib (ketua pasukan), V. Saravanan, Wan Rohaimi Ismail, Syamsuri Mustaffa, Mohd. Suffian Ab. Rahman, Azizon Abdul Kadir

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fhHHvZ3h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan