Sabtu, 8 April 2017

Misi penting jumpa Singapura - Harris buat rombakan kecil

ARKIB : 02/12/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK

HO CHI MINH - Jurulatih bola sepak negara, Allan Harris mengakui, tiada perubahan besar akan dilakukan ke atas barisan pemain yang akan diturunkan untuk berdepan Singapura pada perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA, esok.

Sebaliknya, beberapa perubahan kecil sahaja akan dilakukan ke atas posisi pemain terutama dalam usaha untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan dan serangan skuad negara.

Beliau berkata, setakat ini, barisan kesebelasan utama ketika menentang Kemboja mungkin akan dikekalkan dan keputusan muktamad mengenai sebarang perubahan akan diumumkan selepas sesi latihan hari ini.

``Saya tidak fikir untuk melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama tetapi sekadar beberapa perubahan kecil sahaja.

``Ia bergantung juga kepada kecergasan pemain dalam latihan. Cuma apa yang penting perlu saya lakukan sekarang ialah menguatkan tumpuan pemain kepada perlawanan itu,'' ujarnya.

Sehingga ini, Akmal dilihat akan terus mengetuai barisan serangan dan gandingannya di barisan depan dijangka akan berubah kerana kemungkinan Zainizam Marjan akan diturunkan.

Zainizam tidak beraksi ketika menentang Kemboja sebaliknya Akmal digandingkan dengan Fadzli Saari yang kemudiannya digantikan dengan Haris Safwan Kamal.

Sehubungan itu, Harris berharap pemain lain juga dapat menjaringkan gol memandangkan Akmal dijangka dikawal ketat pada perlawanan penting itu.

``Saya percaya, Akmal dan K. Rajan akan diberi kawalan ketat kerana Malaysia bukan asing bagi pasukan Singapura yang merupakan musuh tradisi sejak sekian lama.

``Mereka mengetahui kekuatan kita dan siapa pemain yang perlu diberikan perhatian. Jadi penting bagi pemain lain menjaringkan gol jika kita mahu menang,'' tegas Harris.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mahu skuad Sukan SEA negara mengikut jejak pasukan senior negara menewaskan Singapura 4-0 pada Piala Tiger yang lalu.

Katanya, jika Malaysia boleh mengalahkan Singapura di gelanggang mereka ketika itu, mengapa kita tidak boleh melakukannya sekali lagi di Ho Chi Minh ini.

``Kita memiliki lima pemain pada Piala Tiger lalu dalam pasukan ke Sukan SEA ini dan tentunya ia satu kelebihan berbanding Singapura yang mempunyai satu dua pemain berpengalaman,'' katanya.

Hari ini, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dijadualkan tiba di Ho Chi Minh untuk bertemu pemain dan seterusnya memberikan sokongan moral pada perlawanan menentang Singapura, esok. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4diAmTA5n
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan