Jumaat, 28 April 2017

Pemain perlu ubah sikap

ARKIB : 13/09/2004


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pemain bola sepak negara semestinya mengubah sikap di samping mempunyai mental yang kuat supaya mutu bola sepak negara mencapai tahap antarabangsa.

Kata beliau, ini kerana FAM telah memperkenalkan pelbagai format pertandingan dengan harapan dapat mencungkil pemain yang berkualiti bagi meletakkan kembali Malaysia sebagai kuasa bola sepak Asia yang disegani.
``Saya meminta pemain-pemain kebangsaan memperkuatkan ketahanan mental supaya mereka tidak mudah menyerah kalah apabila menghadapi pertandingan antarabangsa seperti kelayakan Piala Dunia, Olimpik dan Piala Asia.
``Bagi saya, mereka sebenarnya mempunyai kemahiran yang baik berdasarkan persembahan dalam liga tempatan tetapi apabila berdepan dengan pasukan luar, pemain mudah berputus asa, mungkin kerana terlalu menghormati pasukan lawan,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, kegagalan bola sepak negara di arena antarabangsa tidak boleh diletakkan di bahu FAM semata-mata kerana badan induk itu telah melakukan pelbagai perubahan sejak dua dekad yang lalu.
``Pemain juga harus memikul tanggungjawab,'' tegas beliau.
Kata beliau, FAM telah memperkenalkan pelbagai pertandingan untuk mencungkil bakat sejak di peringkat akar umbi seperti kejohanan bawah 12, 16 dan 18 tahun bagi melahirkan para pemain yang berkemahiran dan berkualiti.
Selain program di peringkat tempatan, kata beliau, FAM menghantar beberapa pemain untuk mendapat pendedahan di kelab-kelab bola sepak Eropah seperti di Jerman dan Perancis tetapi ia hasilnya kurang memberangsangkan.
``Segala-galanya terletak di tangan pemain itu sendiri, jika mereka ingin melihat tahap bola sepak negara kita setanding dengan negara Asia yang lain seperti Korea Selatan, Thailand, Iran, China dan Jepun.
``Mereka perlulah berusaha lebih keras dan tidak mudah berputus asa.
``Sebelum ini, ada pemain yang dihantar menjalani latihan dengan kelab-kelab bola sepak di Eropah menolak peluang tersebut tetapi memberikan pelbagai alasan seperti tidak tahan cuaca, pemakanan dan tidak boleh berpisah dengan keluarga. Kalau itu alasannya, macam mana kita nak maju,'' kata Tengku Abdullah.
Sehubungan itu, kata beliau, FAM akan mengadakan kerjasama dengan lebih banyak kelab-kelab bola sepak di dunia termasuk Argentina dan Brazil supaya dapat ramai lagi pemain dapat dihantar ke negara berkenaan bagi mendapatkan pendedahan.
Mengenai prestasi jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bicskei, beliau berkata, FAM belum dapat menilai lagi sejauh manakah keupayaan beliau membimbing pasukan kebangsaan kerana beliau baru sahaja mengambil alih jawatan tersebut daripada Allan Harris.
``Dalam sehari dua lagi jawatankuasa FAM akan memaklumkan kepada saya mengenai keupayaan Bicskei berdasarkan keputusan perlawanan pasukan kabangsaan dengan China baru-baru ini,'' kata beliau.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan