ARKIB : 24/07/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
PENYERANG Chelsea, Jimmy Floyd
Hasselbaink (depan, kiri) dan Boudewijn Zenden menjalani latihan pecut sambil
diperhatikan pengurus kelab, Claudio Ranieri di Kompleks Sukan Maybank, Bangi,
semalam. Chelsea akan menentang Malaysia dalam bola sepak Liga Perdana Piala
Asia, esok. - Gambar ASWAD YAHYA.
SESUDAH Manchester United,
Arsenal dan juara dunia, Brazil mempersembahkan kemahiran tinggi masing-masing,
bumi Malaysia sekali lagi digegarkan dengan aksi-aksi bola sepak bertaraf dunia
yang tidak harus dilepaskan oleh peminat tempatan.
Tiga pasukan Liga Perdana
England, Newcastle United, Chelsea dan Birmingham City bakal bertarung dalam
kejohanan Liga Perdana Piala Asia, selain pasukan kebangsaan Malaysia yang
mengambil kesempatan `mencuri' pengalaman daripada tiga pasukan itu Stadium
Nasional, Bukit Jalil.
Begitupun, ketika sepak mula
hanya akan dilakukan malam ini, Newcastle, Birmingham dan Chelsea sudah merasai
`bahangnya' sejak tiba di Kuala Lumpur bermula Isnin lalu.
Bukan pasukan lawan yang
sememangnya gagah, tetapi cuaca panas dan lembab dengan suhu yang mencecah
sehingga 30 darjah celcius rupanya menjadi musuh utama tiga pasukan itu.
Pengurus Newcastle, Sir Bobby
Robson pada sidang media di Kuala Lumpur semalam seakan-akan menyuarakan bahawa
cuaca panas di sini mampu mengganggu persembahan pemainnya.
``Hari ini adalah hari paling
panas sejak kami tiba di sini. Ketika itu cuaca redup dan hujan. Ini menjadikan
kami merasa tidak selesa.
``Tetapi kami terpaksa
mengharungi cuaca sebegini. Kami perlu menyesuaikan diri seketika dengan
keadaan cuaca di sini dan kemudian kembali menyesuaikan diri dengan cuaca di
tempat sendiri apabila pulang nanti,'' kata Robson.
Menurut Robson, seorang daripada
pemainnya, Jonathan Woodgate direhatkan untuk perlawanan malam ini kerana
cedera ringan tetapi kemungkinan akan diturunkan pada perlawanan kedua.
``Kami juga belum memutuskan
barisan kesebelasan pasukan. Anda hanya akan tahu beberapa jam sebelum sepak
mula esok,'' katanya.
Dalam pada itu pengurus
Birmingham, Steve Bruce memberitahu, semua 22 pemainnya kehilangan berat badan
dengan purata 56 kilogram sejak tiba di sini Isnin lalu.
Katanya, seorang daripada pemain
pasukan itu kehilangan tiga setengah kilogram berat badan.
``Ia menunjukkan betapa sukarnya
bagi kami dengan keadaan cuaca ini,'' kata Bruce menjelang pertarungan dengan
Newcastle United.
Ketua pasukan Birmingham, Jeff
Kenna turut membicarakan tentang kesukaran pasukan menyesuaikan diri dengan
cuaca yang mencecah sehingga 30 darjah celcius.
``Masalah utama yang dihadapi
pasukan ialah cuaca panas di sini sehingga sukar untuk menarik nafas, sukar
sekali menarik oksigen ke dalam jantung anda,'' katanya.
Sementara itu ketua pasukan
Newcastle, Alan Shearer menamakan penyerang Birmingham dari Perancis,
Christophe Dugarry dan dua penggempur Chelsea, Eidur Gudjohnsen dan Jimmy Floyd
Hasselbaink sebagai penyerang berbahaya yang perlu diawasi dalam kejohanan ini.
Kejohanan Liga Perdana Piala Asia
diadakan bagi mempromosi Liga Perdana England di Asia. Ia diadakan kali pertama
di luar England.
Newcastle dan Birmingham
memulakan aksi malam ini sebelum pasukan kebangsaan Malaysia bimbingan
jurulatih, Allan Harris cuba menyaingi ketangkasan Chelsea kendalian Claudio
Ranieri.
Pemenang antara dua perlawanan
itu akan bertarung dalam perlawanan akhir pada Ahad manakala pasukan yang tewas
menentukan tempat ketiga pada hari sebelumnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4d6Q215JQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan