Sabtu, 29 April 2017

Kita tetap pertahan maruah

ARKIB : 20/10/2004
``ITU bukan cara kita... kita ada maruah,'' kata jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei. ``Saya beri jaminan tidak akan ada `urusan pelik' berlaku antara kita dengan Kuwait. Kita akan turun bermain seperti biasa malah akan bermati-matian untuk mencatat keputusan yang baik,'' tegas jurulatih dari Hungary itu.
Bicskei menjawab demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan memberi kemenangan mudah kepada Kuwait dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2006 Kumpulan 4 Zon Asia yang dijadual 17 November depan di gelanggang lawan.
``Saya pasti pemain-pemain juga tidak rela menamatkan kelayakan ini dengan cara yang memalukan.
``Selain menjaga maruah, kami juga mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk menebus kecewa sepanjang kempen ini dan tentunya kami akan beri tentangan sengit kepada Kuwait,'' tegasnya.
Menurut Bicskei, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menghubungi semua empat pasukan ini supaya bermain secara `fair-play'.
``Jadi, usah timbulkan keraguan tentang wujudnya unsur mengatur perlawanan atau sebagainya,'' katanya.
Sebelum ini timbul spekulasi bahawa Malaysia bakal memberi kemenangan besar kepada Kuwait untuk memastikan pasukan negara Arab itu muncul juara Kumpulan 4 untuk ke pusingan kedua kelayakan sekali gus menyingkir skuad Piala Dunia 2002, China.
Isnin lepas, Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) melahirkan rasa marah kepada pegawai Asia selepas bandar raya itu diberi amaran supaya tidak melakukan `urusan pelik' dengan China dalam perlawanan yang boleh menyaksikan pasukan tanah besar itu tersingkir daripada pusingan akhir Piala Dunia 2006.
HKFA melahirkan rasa dukacita mereka kepada Setiausaha Agung Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan selepas Velappan memberikan komennya menjelang pertemuan terakhir kelayakan antara Hong Kong dengan China di Guangzhou pada tarikh yang sama.
``Jika ada sebarang `urusan pelik', mereka akan berdepan tindakan,'' kata Velappan.
Komen Velappan itu dibuat selepas akhbar berbahasa China, Oriental Sports Daily mendesak pasukan Hong Kong supaya memberikan kemenangan besar kepada China.
``Tidak seharusnya ada keraguan terhadap Hong Kong. Sebarang keraguan ke atas Hong Kong adalah mengarut,'' kata Pengerusi HKFA, Martin Hong.
Hong juga berkata, HKFA mahu melihat perlawanan antara dua negara Islam, Kuwait dan Malaysia.
``Beliau (Velappan) tidak boleh menuduh Hong Kong tanpa menyebut Malaysia. Malaysia juga menghadapi masalah yang sama. Mereka sama agama dengan Kuwait,'' katanya.
Kuwait dan China kini berkongsi 12 mata di tangga pertama dan kedua tetapi Kuwait menduduki tempat teratas atas perbezaan jaringan.
Malaysia dan Hong Kong sudah terkeluar awal daripada persaingan empat pasukan ini.
Tetapi bagi China dan Kuwait, perlawanan terakhir masing-masing adalah penting untuk memastikan mereka muncul juara dan layak ke peringkat seterusnya.
Selepas menduduki tempat kedua dalam Piala Asia tahun ini, China dijangka sekurang-kurangnya mara ke pusingan kedua Piala Dunia.
Tetapi kekalahan 1-0 kepada Kuwait minggu lepas bermakna mereka kini perlu menewaskan Hong Kong dengan jumlah jaringan yang besar dan berharap Kuwait gagal mengatasi Malaysia.
Bicskei berkata, beliau kini memiliki 36 pemain termasuk 10 pemain bawah 23 yang dipanggil untuk latihan sepanjang Ramadan.
``Sebelum itu mereka akan diuji dalam perlawanan persahabatan dengan Singapura pada 3 November depan,'' katanya yang akan memilih 23 daripada mereka untuk ke Kuwait.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan