Sabtu, 8 April 2017

Laluan perit menanti Malaysia



ARKIB : 22/10/2003
Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

MANAMA, BAHRAIN - Segala-galanya begitu rumit, hajat besar beraksi cemerlang pada awal saingan akhirnya merintis laluan cukup perit buat skuad kebangsaan yang kini menggalas tugas berat untuk menentang Bahrain dalam perlawanan pusingan kedua kumpulan F bola sepak kelayakan Piala Asia 2004, di sini, hari ini.

Kekalahan besar 1-5 kepada Iraq dalam perlawanan kelmarin mengundang tugas berat buat skuad kebangsaan yang mengotakan hasrat ke pusingan akhir di Beijing, China tahun depan tetapi perlu sekurang-kurangnya mendudukki tempat kedua kumpulan.

Malaysia telah memperoleh kedudukan itu dalam pusingan pertama di Kuala Lumpur baru-baru ini selepas mengalahkan Myanmar 4-0, berjaya mengikat Iraq tanpa jaringan dan seri 2-2 dengan Bahrain.

Bagaimanapun, kekalahan kepada pendahulu kumpulan Iraq dalam pusingan kedua kembali menyukarkan hajat skuad kebangsaan untuk mengekalkan kedudukan tersebut kerana pertemuan dengan Bahrain yang mengalahkan Myanmar 4-0 kelmarin bakal menjadi penentuan.

Apa perlu dilakukan oleh pemain Malaysia kini ialah kebangkitan untuk mencari penawar selepas menerima kekalahan teruk yang tidak seharusnya melemahkan semangat pemain.

Kejayaan masih boleh dicapai asalkan pasukan negara tidak mempamerkan aksi sebagaimana menentang Iraq kelmarin yang menyaksikan pemain Malaysia terlalu memberi banyak ruang kepada lawan.

Kelemahan pertahanan negara yang membariskan pemain seperti Abdul Aziz Ismail dan Khaironnisam Sahabuddin menyaksikan Iraq mudah menghasilkan jaringan manakala jentera serangan yang diterajui Hairuddin Omar serta Nizaruddin Yusof pula gagal menemui penyudah berkesan kecuali satu gol daripada beberapa peluang terhidang.

Namun, kekalahan tersebut semestinya menjadi pengajaran supaya setiap kelemahan segera diperbaiki demi mencari kemenangan ke atas Bahrain.

Sebenarnya, pemain perlu ingat, segalanya belum berakhir walaupun mengalami kekalahan besar kerana dalam pusingan pertama, Bahrain juga pernah dibelasah 5-1 oleh Iraq.

Jadi, tidak ada yang hendak dimalukan kerana apa yang lebih menjadi tumpuan sekarang ialah layak ke Beijing dengan memastikan kejayaan ke atas pasukan tuan rumah.

Hanya untuk melegakan peminat-peminat bola sepak tanah air, barisan pemain negara perlu mencari kemenangan ke atas Bahrain kerana pasukan tuan rumah itu telah merampas kedudukan tangga kedua daripada skuad kebangsaan manakala Iraq pula selesa selaku pendahulu.

Jurulatih Alan Harris mengakui bahawa tugas skuad kebangsaan menjadi sukar selepas anak-anak buahnya tewas kepada Iraq sehingga memerlukan pemain bekerja keras untuk memastikan kemenangan ke atas Bahrain.

``Saya cukup kecewa kerana kekalahan kepada Iraq, tidak sebagaimana perancangan kita untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri,'' kata Harris.

Walaupun menentang pasukan handalan, jurulatih tersebut kesal kerana barisan pemain mempamerkan aksi hambar sehingga gagal mencari penyudah sehingga melepaskan beberapa peluang.

``Saya tidak menjangkakan kekalahan besar kerana kita dalam pusingan pertama, kita berjaya mengekang Iraq... kenapa malam ini (kelmarin) kita gagal melakukannya.

``Jadi, pemain perlu bangkit dari tidur untuk memberikan aksi lebih menarik dalam perlawanan menentang Bahrain supaya hajat kita tercapai,'' katanya.

Sementara, Bahrain akan turun menentang Malaysia tanpa Mohamed Hussin Mohamed Husain, pemain pertahanan yang turut menjadi penyumbang satu gol ketika pasukan itu seri 2-2 dengan skuad kebangsaan dalam pusingan pertama.

Jurulatihnya, Juricic Screkco berkata, Mohamed Hussin masih menunggu keputusan ujian air kencing tetapi kemenangan 4-0 ke atas Myanmar kelmarin disifatkannya sebagai permulaan untuk merintis laluan ke Beijing. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4de0Ulr8J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan