Isnin, 10 April 2017

Skuad Harris jumpa Maldives

ARKIB : 21/01/2004

SKUAD bola sepak Bawah-23 kebangsaan, akan hanya mempunyai masa kurang dua minggu untuk menjalani latihan sebelum mereka memulakan tugas berat dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik awal Mac ini.

Pemain-pemain akan memasuki kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 Februari. Mereka akan berpisah seminggu kemudian sebelum kembali untuk latihan fasa kedua pada 23 Februari.

Jurulatih skuad Olimpik, Allan Harris berkata bahawa pasukan itu akan menentang skuad senior Maldives pada 5 Februari.

Mereka juga berharap untuk mendapat satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa ketika tempoh latihan fasa kedua.

Pemain-pemain yang menyertai skuad itu kebanyakannya memiliki pengalaman antarabangsa bersama skuad senior termasuk pada Sukan SEA di Vietnam tahun lepas.

``Tiada muka baru, dan saya jangka pasukan yang sama akan bermain,'' katanya di Kelana Jaya semalam.

Bagaimanapun, Harris memberitahu bahawa pemain tengah, Mohd. Juzaili Samion dan pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah tidak akan dapat menyertai skuadnya.

Norhafiz mengalami retak tulang tapak kaki ketika beraksi di Vietnam manakala Juzaili masih menjalani rawatan pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut.

Pada pusingan kelayakan Olimpik, Malaysia diundi dalam Kumpulan A menentang Iran, China dan Korea Selatan.

Skuad negara akan menentang Iran dalam perlawanan pertama di Kuala Lumpur pada 3 Mac.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dqmmNfDD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan