Jumaat, 28 April 2017

Aksi dengan Thailand jadi azimat

ARKIB : 08/09/2004

PENGURUS skuad bola sepak kebangsaan, Ibrahim Saad (kiri) berbincang dengan jurulatih Bertalan Bicskei mengenai pertemuan Malaysia - China dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2006 zon Asia yang akan berlangsung di Pulau Pinang hari ini.


PEMAIN skuad kebangsaan perlu mengulangi rentak kemenangan ke atas Thailand pada pertemuan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2006 zon Asia menentang China di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.
Jurulatih skuad negara, Bertalan Becskei berkata, keupayaan dan keyakinan pemain meningkat selepas meraih kemenangan pada pertemuan tersebut.
Meskipun jurulatih Hungary itu melihat peluang Malaysia 20-80, namun beliau berkeyakinan pemain mampu memberi saingan sengit dan mempamerkan aksi menarik.
``Pasukan China berada pada kedudukan dan taraf tersendiri di peringkat Asia dan bagi skuad kebangsaan, persembahan pemain semakin baik.
``Mana-mana jurulatih pun sudah tentu mahukan kemenangan untuk pasukannya. Kemenangan ke atas China adalah sesuatu yang amat mengembirakan saya,'' katanya pada sidang akhbar di Hotel Sheraton, Pulau Pinang, semalam.
Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Pengurus pasukan negara, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Beliau berkata, biarpun perlawanan persahabatan berbeza berbanding perlawanan sebenar, namun ia boleh dijadikan ukuran dan menilai prestasi sebenar pemain untuk berdepan dengan China.
``China sudah tentu tidak memandang mudah keupayaan pemain kita (Malaysia). Yang pasti pertemuan kedua-dua pasukan sengit,'' katanya.
Sehubungan itu, Bicskei mahu anak buahnya membuktikan tanggapan kesukaran pemain menjaringkan gol pada pertemuan di peringkat antarabangsa adalah salah.
``Apa yang penting dalam permainan bola sepak ialah menjaringkan gol. Pemain telah buktikan (jaringkan gol) ketika menewaskan Thailand baru-baru ini. Jadi saya mahu mereka (pemain) teruskan rentak itu,'' katanya.
Menyentuh faktor yang menjadi penyumbang kepada kemenangan skuad negara, beliau berkata, selain faktor taktikal dan kecergasan, pemain perlu mempunyai kuasa mental yang kuat bagi menyerapkan tekanan pemain lawan.
``Saya fikir kuasa mental penting untuk pemain berdepan dengan China,'' katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim menggesa peminat bola sepak di Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara Semenanjung memenuhi stadium dengan memakai baju berwarna kuning bagi memberi sokongan kepada pemain kebangsaan.
Tambahnya, ini merupakan peluang keemasan kepada peminat untuk melihat aksi sebenar pemain negara berbanding sebelum ini yang hanya boleh ditonton menerusi kaca televisyen.
``Pertemuan China dan Malaysia merupakan aksi pertama bertaraf antarabangsa berlangsung di luar Kuala Lumpur.
``Peluang ini perlu direbut peminat tempatan dengan memberi sokongan padu kepada pemain,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan