Sabtu, 8 April 2017

Mencari kemenangan selesa

ARKIB : 28/11/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK

HO CHI MINH - Jurulatih negara, Allan Harris memilih Singapura sebagai penghalang utama yang harus diberi perhatian apabila bermulanya acara bola sepak Sukan SEA XXII di sini, esok.

Menurut beliau, Singapura mampu memadamkan impian Malaysia untuk layak ke separuh akhir dari Kumpulan B.

Harris memberitahu, Singapura merupakan pasukan jiran yang memiliki banyak rahsia kekuatan Malaysia daripada latar belakang pemain sehinggalah kepada corak permainan.

Katanya lagi, ia menjadi faktor mengapa beliau menganggap pasukan itu sebagai pencabar utama selain Myanmar yang dilihat mampu melakukan kejutan.

``Walaupun ramai yang menganggap, kita berada dalam kumpulan mudah tetapi saya tidak mahu mengambil risiko dengan memandang rendah pasukan-pasukan lain seperti Kemboja, Myanmar dan Singapura.

``Saya pilih Singapura kerana mereka akan menjadi penentu kepada kemampuan pasukan kita ke separuh akhir.

``Lagipun Malaysia akan berdepan dengan Singapura terlebih dulu sebelum membuat perhitungan dengan Myanmar,'' tegasnya.

Sehubungan itu katanya, perlawanan menentang Kemboja dalam perlawanan pembukaan esok akan digunakan untuk mencatat kemenangan selesa sebelum bertemu Singapura pada 3 Disember dan Myanmar pada 6 Disember.

Setakat ini, Malaysia mempunyai rekod pertemuan seimbang dengan Singapura manakala Myanmar memiliki kelebihan moral selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Asia di Manama Bahrain, baru-baru ini.

Beliau berkata, buat masa ini, semua pemain negara berada dalam keadaan baik selepas tiba di Ho Chin Minh, kelmarin dan mereka cepat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang di sini.

Pasukan negara tidak menjalani latihan sebaik tiba kelmarin sebaliknya Allan hanya memulakan latihan pertama di Stadium Thong Nhat, semalam dalam keadaan lancar.

``Cuma rumput di padang stadium berkenaan agak panjang dan tebal dan ini menyukarkan sedikit pemain untuk membuat hantaran-hantaran pantas dan tepat dalam latihan,'' tegasnya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Singapura dan Kemboja manakala dalam Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Laos.

Pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, Malaysia muncul naib juara selepas tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

Namun kali ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan matlamat untuk membawa pulang pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dhwsfSsh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan