Isnin, 24 April 2017

Misi terakhir Harris gagal

ARKIB : 18/07/2004

Pemain Norwich City, Matt Svensson (kanan) menanduk bola ke dalam gawang Malaysia walaupun cuba dihalang pemain negara, Wan Rohaimi Wan Ismail dan penjaga gol, Mohd. Samsuri Mustafa (kiri) untuk gol kemenangan pasukannya dalam pertemuan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



Tandukan mudah penyerang Sweden, Matt Svensson memberikan kemenangan tipis 1-0 Norwich City ke atas Malaysia dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Gol tunggal perlawanan yang dihasilkan pada minit ke-34 itu cukup memberikan kelegaan buat pasukan bimbingan Nigel Worthington yang sedang melakukan persiapan terakhir menjelang bermulanya Liga Perdana England bulan depan.
Keputusan itu sebaliknya kurang menceriakan Allan Harris yang bakal meninggalkan pasukan negara dengan kekalahan sebelum digantikan jurulatih baru dari Hungary, Bicskei Bertalan selepas ini.
Aksi awal babak pertama kurang menghiburkan dengan kedua-dua pasukan bermain terlalu berhati-hati.
Begitu pun Malaysia lebih dulu memulakan serangan bahaya dengan penyerang negara, Akmal Rizal Rakhli membuat percubaan leret dari luar kotak penalti tetapi sepakannya agak lemah dan tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.
Pasukan pelawat yang pada mulanya hanya bertahan dan sekali sekala melancarkan serangan, mudah dipatahkan barisan pertahanan negara yang diketuai Norhafiz Zamani Misbah dan Khaironissam Sahabuddin.
Namun dalam kelekaan skuad negara mencari gol awal, mereka akhirnya dihukum dengan jaringan pembukaan Norwich City pada minit ke-34 apabila bola hantaran lintang Jim Brennan ditanduk mudah Svensson ke penjuru sebelah kiri yang mengenai tiang gol sebelum menerjah jaring.
Pasukan bimbingan terakhir Allan Harris tampak bersemangat sebaik memulakan babak kedua dalam usaha mencari gol penyamaan.
Ini menyaksikan lima percubaan menarik dilakukan skuad negara yang memaksa pertahanan Norwich bekerja keras.
Antaranya peluang yang diperoleh Akmal pada minit ke-46 tetapi sepakan percuma yang diambilnya mudah dibaca penjaga gol lawan, Robert Green.
Pemain sayap kiri, Irwan Fadli Idrus pula melakukan sepakan terus dari luar kotak penalti seminit selepas itu tetapi bola melepasi palang gol.
Fadzli Shaari juga berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tandukannya hasil sepakan percuma Rosdi Talib pada minit ke-50 tersasar sedikit di sebelah kanan gawang Norwich

Tiada ulasan:

Catat Ulasan