Jumaat, 7 April 2017

Misi penting `perangi' Iraq



ARKIB : 10/10/2003 
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
BERSEMANGAT... Barisan pemain pasukan negara serius menjalani latihan menjelang perlawanan penting menentang Iraq hari ini dalam kempen kelayakan bola sepak Piala Asia di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Pasukan negara sebelum ini menewaskan Myanmar 4-0 dalam perlawanan pertama, dua hari lalu. - Gambar AZLI AHAD.

IRAQ umpama ular yang menyusur akar tetapi taringnya tetap menyimpan bisa.

Sekalipun tampil di peringkat antarabangsa selepas beberapa tahun terperap di negara sendiri akibat perang, skuad bola sepak negara itu masih tetap kuat.

Buktinya mereka membelasah Bahrain 5-1 dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Asia Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Dan, bintang utama Iraq sudah tentulah Younis Khalaf yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu.

Skuad negara Teluk itu - dengan permainan pantas dan kepintaran Younis menghidu peluang - tentu akan memberikan masalah besar buat skuad negara dalam pertemuan malam ini terutamanya jika pemain-pemain Malaysia meneruskan sikap ingin menunjukkan kehebatan individu.

Malaysia menang 4-0 ke atas Myanmar dalam perlawanan pertama mereka kelmarin, tetapi hanya selepas menerima teguran Alan Harris pada masa rehat menyaksikan permainan skuad negara berubah wajah menjadi lebih agresif.

``Terdapat beberapa pemain yang cuba menjadi primadona dan bermain cantik pada separuh masa pertama, dan ketika rehat saya beritahu mereka apa yang saya tidak gemar dan apakah yang perlu mereka perbetulkan,'' kata Harris semalam.

Teguran bekas pemain Chelsea itu menyaksikan skuad negara mengubah rentak dan menjaringkan tiga gol selepas hanya mendahului 1-0 pada babak pertama.

Ketua pasukan, Tengku Hazman Raja Hassan menjaringkan dua gol, pemain gantian Gilbert Cassidy Gawing menyempurnakan sepakan penalti manakala satu lagi gol disumbangkan sendiri oleh pemain pertahanan Myanmar, Soe Lin Tun.

Skuad negara perlu sedar bahawa mereka perlu segera mendapat rentak permainan malam ini dan jaringan awal sangat penting jika ingin menyaingi permainan fizikal Iraq.

Malaysia sebenarnya mampu bermain pantas. Mereka mempamerkannya ketika menentang Chelsea dalam Liga Perdana FA England Piala Asia di gelanggang yang sama Julai lepas.

``Saya menyaksikan Malaysia bertemu Chelsea Julai lepas dan mereka bermain dengan begitu baik... mereka begitu pantas dan tidak berlengah-lengah dalam mengatur serangan,'' kata jurulatih Myanmar, U Tin Myint Aung mengenai skuad negara.

``Mungkin Malaysia kehilangan beberapa pemain yang menyebabkan mereka terpaksa mengubah formasi,'' katanya lagi.

Malaysia tidak dapat menggunakan khidmat penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli yang baru menjalani pembedahan apendiks.

Harris bagaimanapun gembira dengan formasi yang ada sekarang dan begitu juga dengan gol yang dijaringkan oleh pemain bukan di bahagian serangan.

``Kami masih cuba mengukuhkan formasi yang ada tetapi apabila menentang Iraq sudah tentu kita terpaksa lebih defensif kerana mereka pantas,'' katanya.

Jurulatih Iraq, Bernd Stange pula berkata skuadnya semakin cergas selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Jerman dan tumpuan utama mereka kini ialah pertemuan dengan Malaysia.

``Kecergasan tubuh sangat penting dalam pertandingan seperti ini. Kini kami semakin cergas selepas lawatan ke Jerman sebelum ke sini,'' katanya.

``Mengenai pertemuan dengan Malaysia, pemain-pemain saya akan melayan mereka sama seperti menentang Bahrain.''

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dclc86wp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan