Ahad, 16 April 2017

Misi berat jumpa Korea

ARKIB : 23/03/2004
SELEPAS mengejutkan China dengan keputusan seri 1-1 Sabtu lepas, skuad Bawah 23 negara berdepan tugasan lebih sukar apabila akan bertemu Korea Selatan dalam perlawanan ketiga masing-masing pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Kelana Jaya esok.
Dan apakah Malaysia sudah bersedia untuk mencipta satu lagi kejutan dengan sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada Korea - pasukan yang dilihat terkuat dalam kumpulan ketika ini.
Dalam bola sepak tiada yang mustahil, dengan syarat anak-anak didik Allan Harris mengekalkan semangat kuat seperti ketika menentang Iran dan China.
Seharusnya pertemuan dengan Korea di tempat sendiri di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya esok memberi sedikit kelebihan kepada mereka kerana mereka mempunyai penyokong setia yang kini mula berfikiran matang dan positif walaupun pasukan mereka tewas.
``Mencuri satu mata daripada China amat penting kerana ia akan memberikan semangat kepada kami untuk berdepan dengan pasukan seterusnya,'' kata Norhafiz Zamani Misbah yang kembali bersama skuad negara selepas lama berehat.
``Mungkin kami dilihat kerdil kerana berada di tangga terbawah dalam kedudukan mata, tetapi itu tidak bermakna bahawa kami akan memberi laluan mudah buat Korea.
``Dan seperti ungkapan popular, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Ingat apa yang telah berlaku di Wuhan apabila tiada sesiapa yang memberikan harapan kepada kami,'' Zamani meluahkan keyakinannya.
Bagaimanapun tugasan itu sudah tentulah sukar kerana Korea telah menewaskan China dan Iran masing-masing dengan keputusan 1-0, dan skuad negara memerlukan sokongan kuat peminat seperti mana ketika mereka tewas 4-1 kepada Iran dalam perlawanan sebelum ini.
Selain itu, Harris seharusnya sudah memiliki ramuan penuh khasiat untuk diterapkan ke dalam permainan anak-anak buahnya bagi perlawanan esok.
Korea kini mendahului kedudukan Kumpulan A dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan. Iran di tempat kedua dengan tiga mata manakala China ketiga dengan satu mata, memiliki kelebihan berdasarkan perbezaan jumlah gol dengan Malaysia.
Perlawanan menentang China ialah yang pertama buat Zamani sejak Disember tahun lepas. Dia terpaksa berehat panjang akibat patah kaki dalam perlawanan menentang Singapura pada pusingan awal pertandingan bola sepak Sukan SEA Vietnam.
Meskipun lama berehat, Norhafiz cepat mendapat semula persembahan terbaiknya dan menerajui rakan-rakan di bahagian pertahanan mengekang kemaraan pemain-pemain China.
``Apa yang saya risaukan dalam perlawanan itu ialah rentak permainan saya kerana saya telah lama tidak bermain,'' kata pemain skuad Liga Perdana Negeri Sembilan itu.
``Saya akui awal permainan kami agak goyah dengan keadaan cuaca sememangnya tidak menyebelahi tetapi akhirnya kami berjaya pulih,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan