Sabtu, 1 April 2017

Persiapan terbaik Malaysia



ARKIB : 20/06/2003

Oleh JOHARI SHAWAL

AKSI persahabatan di Republik Czech minggu depan dan Piala Asia Liga Perdana England pada Julai diharap menjadi gelanggang latihan terbaik buat skuad bola sepak negara untuk menghadapi kelayakan Piala Asia yang dijadual Oktober ini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, tempoh tiga bulan sebelum pra-Piala Asia harus digunakan sepenuhnya oleh skuad negara untuk mencari pendedahan dengan melangsungkan perlawanan-perlawanan persahabatan sedemikian.

``Dua persahabatan ini juga menjadi gelanggang buat jurulatih untuk mengenal pasti barisan terbaik pemain untuk Piala Asia nanti.

``Kita sudah ada barisan yang baik (pemain Piala Tiger lalu) tetapi kita masih ada kelemahan di beberapa bahagian dalam pasukan ini,'' katanya ketika ditemui selepas menyaksikan latihan pasukan negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Pengurusan skuad negara telah mengatur dua perlawanan dengan kelab divisyen satu di Republik Czech iaitu pada 26 dan 29 Jun ini manakala satu lagi perlawanan dengan kelab di Slovakia pada 3 Julai. Barisan 25 pemain negara akan berlepas ke Republik Czech Isnin ini.

Skuad Malaysia kemudian akan bertarung pula dalam Piala Asia Liga Perdana England yang dijadual bulan depan di Bukit Jalil, melibatkan tiga pasukan Liga Perdana England iaitu Newcastle United, Chelsea dan Birmingham City.

Menurut Dr. Ibrahim, pasukan negara kendalian jurulatih Allan Harris sedang menyusun pasukan terbaik untuk Piala Asia itu.

``Kita mungkin akan mengisi barisan pemain dengan beberapa muka baru tetapi ia terpulang kepada jurulatih,'' katanya.

Sebahagian besar pemain ialah barisan yang membawa cabaran pada Piala Tiger di Singapura/Indonesia lalu.

Dalam kelayakan Piala Asia, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Myanmar, Bahrain dan Iraq.

Pusingan pertama dijadual berlangsung di Malaysia pada 11 dan 12 Oktober dan Bahrain menganjurkan pusingan kedua pada 22 dan 23 Oktober.

Kem latihan skuad negara dibuka kelmarin dan Dr. Ibrahim berpuas hati dengan kecergasan semua pelatih.

``Beberapa pemain cedera semasa bermain dengan kelab masing-masing dan latihan dua hari ini tetapi ia tidak membimbangkan. Kita akan bawa semua 25 pemain ke Prague,'' katanya.

Antara mereka ialah penyerang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (lutut), Zainizam Marjan (kelangkang), Aziz Ismail (buku lali) dan penjaga gol, Azmin Azram Aziz (lutut).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4czGUCdJk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan