Sabtu, 8 April 2017

Kita juara kumpulan

ARKIB : 07/12/2003
HO CHI MINH - Malaysia mempertahankan rekod tanpa kalah dengan mempamerkan persembahan lebih meyakinkan apabila menewaskan Myanmar 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA XXII di Stadium Thong Nhat, di sini semalam.

Pasukan negara membuka jaringan menerusi Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-35, gol kelimanya pada temasya ini, selepas melakukan hatrik ketika menewaskan Kemboja 8-1 dan satu gol ketika menewaskan Singapura 2-0.

Dua lagi gol dijaringkan Juzaili Samion pada minit ke-73 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-77 manakala gol Myanmar dijaringkan Kyaw Thu Ra (m-70) dan penjaring terbanyaknya bersama Akmal, Soe Myat Min (m-89).

Dengan menurunkan empat muka baru dalam kesebelasan utama iaitu Ronny Harun, Rezuan Radzy (pertahanan), Amri Yahyah, Mohd Norhissham Hassan (tengah) dan Zainizam Marjan, Malaysia bijak mengawal rentak permainan malah lebih baik persembahan mereka berbanding barisan utama sebelum ini.

Bola berpunca daripada sepakan kencang Indra Putra dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan dan bola yang muntah disambut dengan mudah oleh Akmal yang meluru ke depan pada minit ke-35.

Myanmar cuba mencari gol penyamaan sebaik bermula babak kedua dan mereka mencemaskan keadaan apabila sepakan volley Lai Seu Luai terkena tiang sebelah kanan pintu gol Malaysia dengan Mohd. Syamsuri Mustafa sudah pun tertewas.

Selepas Akmal dibawa keluar dan digantikan dengan R. Surendran pada minit ke-53, Myanmar sekali lagi menerusi sepakan gunting Seu Luai mencemaskan kubu Malaysia tetapi tiang sekali lagi menyelamatkan skuad negara.

Namun pada minit ke-70, selepas mengasak hebat, usaha Myanmar akhirnya berhasil apabila Kyaw Thu Ra melepasi pertahanan Malaysia dan melepaskan sepakan kencang tetapi ditepis Syamsuri sebelum bola muntah disambut semula penyerang lawan itu untuk melepas sepakan kedua yang menghasilkan gol penyamaan.

Ketika perlawanan seakan bakal berkesudahan seri 1-1, Juzaili mengejutkan Myanmar dengan gol paling cantik dan menarik yang kedua daripadanya apabila meledakkan sepakan kencang dari jarak 20 meter yang tepat menuju ke penjuru sebelah kanan gawang gol Myanmar untuk Malaysia kembali mendahului 2-1 pada minit ke-73.

Empat minit selepas itu, ketika Myanmar cuba bangkit, Indra Putra bijak mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol ketiga. Selepas JUzaili lepas di sebelah kiri, hantarannya disambut Surendran yang kemudiannya menolak bola kepada Indra yang melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti.

Gol itu bagaimanapun gagal menyekat Malaysia untuk mencipta kemenangan dan seterusnya muncul juara Kumpulan B dengan mata penuh, sembilan mata hasil daripada tiga perlawanan. - Utusan

MALAYSIA - Mohd. Syamsuri Mustafa, Abdul Aziz Ismail, Shahril Shariffuddin, Ronny Harun, Indra Putra Mahayuddin (Mohd.Harris Kamal), Juzaili Samion, Amri Yahyah, Norhissham Hassan, Akmal Rizal Rakhli (R. Surendran), Zainizam Marjan.

MYANMAR - Aung Aung Oo, Zaw Lynn Tun I, Zaw Lynn Tun II, U Thet Naing Soe (Khin Maung Tun), Kyaw Khing Win, Soe Myat Min, Aung Kyaw Moe, U Soe Lin Tun, Lai Seu Luai, U Lwin Oo, Kyaw Thu Ra.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4diaUCxuz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan