Sabtu, 29 April 2017

Sah, kita tercorot

ARKIB : 15/10/2004
DULU rakyat Malaysia terpegun apabila pasukan bola sepak kebangsaan kalah kepada Laos pada temasya Sukan SEA di Jakarta.
Cemuhan yang diterima daripada peminat bola sepak menggambarkan bahawa kegagalan itu adalah satu tragedi nasional di bidang sukan.
Sememangnya hakikat dikalahkan pasukan Laos di Jakarta atau Bangladesh dan Filipina pada perlawanan-perlawanan serantau sebelum ini, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia.
Tetapi kini peminat mengakui hakikat sebenarnya ialah Malaysia kini tercorot kedudukannya dalam arena bola sepak rantau ini, apatah lagi di peringkat antarabangsa.
Kekalahan kelima pasukan kebangsaan 0-2 kepada Hong Kong di Stadium Mongkok, kelmarin pada pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia, menceritakan segala kelemahan tersebut.
Empat lagi kekalahan yang dialami oleh skuad Malaysia ketika bertemu Hong Kong (1-3), Kuwait (0-2) dan China (0-4 dan 0-1).
Kegagalan itu menyaksikan skuad bimbingan jurulatih dari Hungary, Batalan Bicskei menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata setakat ini.
Harapan untuk skuad negara mengutip mata dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Kuwait pada 17 November ini sudah diramal anak buah Bicskei bakal rebah dengan jaringan yang besar.
Rentak sumbang itu sejak dari skuad yang dikendalikan oleh Allan Harris berterusan dan persoalannya, mampukah kita bersaing di Piala Tiger Disember ini.
Rebah buat kali kelima bakal menjelaskan betapa Malaysia tidak mungkin menjanjikan sebarang kejayaan di Piala Tiger .
Melihat kedudukan lapan kumpulan kelayakan Piala Dunia Zon Asia, Malaysia boleh dikatakan menduduki menduduki tempat paling tercorot.
Laos yang berada dalam Kumpulan 1 senasib dengan Malaysia tanpa sebarang mata tetapi berupaya mencipta tiga gol berbanding Malaysia hanya satu gol.
Satu gol yang diperoleh Malaysia hasil sepakan penalti Rosdi Talib ketika skuad Malaysia tewas 1-3 kepada Hong Kong di Kuantan Februari lalu. Jiran Malaysia, Singapura masih mampu mengukir senyum apabila mengutip tiga mata selepas menewaskan India 2-0 dalam Kumpulan 3.
Vietnam yang pernah menjadi pasukan belasahan Malaysia pula berupaya mengutip tiga mata selepas menewaskan Maldives manakala Indonesia yang berada dalam Kumpulan 8 setakat ini mengutip empat mata.
Malah Sri Lanka yang tidak langsung dikenali dalam arena bola sepak juga mampu mengutip dua mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan