Isnin, 24 April 2017

Harris tetap berjasa

ARKIB : 19/07/2004

BANYAK yang telah diperkatakan dan ditulis mengenai Allan Harris, jurulatih yang akan meninggalkan sekelompok `pemain masa depan' bola sepak negara selepas berkhidmat selama lima tahun di negara ini.
Sama ada bersetuju atau tidak, jurulatih yang akan digantikan oleh Bertalan Bicskei dari Hungary itu sebenarnya telah meningkatkan semula maruah bola sepak negara, sekurang-kurangnya di rantau ASEAN.
Hadir ke sini pada mulanya untuk bertugas sebagai jurulatih kepada skuad Bawah 19 tahun negara pada 1999, Harris telah membuat rombakan besar-besaran ke atas skuad senior kebangsaan apabila mengambil alih jawatan daripada Abdul Rahman Ibrahim.
Harris memilih untuk menyenaraikan pemain-pemain muda yang purata umur mereka adalah 24 tahun dan hanya menggunakan khidmat beberapa pemain regular seperti Ahmad Shahrul Azhar Suffian.
``Dalam masa tiga hingga empat tahun ini kita telah membina sebuah pasukan yang mantap dan saya percaya bahawa saya telah meninggalkan sekelompok pemain yang bagus untuk diwarisi oleh jurulatih baru,'' kata Harris di Kuala Lumpur selepas perlawanan dengan kelab Liga Perdana England, Norwich City semalam.
``Tidak banyak pemain berbakat besar dalam liga tempatan dan saya percaya bahawa apa yang kita lakukan ialah kita telah mendapatkan apa yang terbaik daripada apa yang ada.
``Terpulanglah kepada peminat untuk menimbangkan sama ada saya telah berjaya di Malaysia atau sebaliknya.''
Harris telah menampilkan pemain-pemain yang kini dihormati di rantau ASEAN seperti pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadli Idrus serta penyerang, Fadzli Saari yang merupakan muka-muka regular dalam skuad senior negara.
Untuk rekod, persembahan terbaik skuad negara di bawah bimbingan Harris ialah menang ke atas Singapura dan Thailand di Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) yang lalu.
Malaysia menundukkan musuh tradisi, Singapura 4-0 dalam peringkat awal di Kota Singa dan paling manis kemudiannya menundukkan Thailand 3-1.
Harris mula berkhidmat di Malaysia selaku jurulatih Bawah 19 pada Oktober 1999.
Pada Mac 2000, skuadnya muncul naib juara Kejohanan Asia Bawah 19 kepada Korea Selatan dan pada Oktober `dinaikkan pangkat' selaku jurulatih skuad Bawah 23 dan kira-kira dua bulan kemudian menggantikan Abdul Rahman selaku pembimbing skuad senior.
Kini, dengan kehadiran Bicskei, Harris mengharapkan agar penggantinya mampu membawa bola sepak Malaysia meningkat ke tahap lebih tinggi.
``Saya berdoa Malaysia akan berjaya kerana saya percaya bahawa kita telah membina sebuah pasukan yang bagus di kalangan pemain-pemain yang ada sekarang, yang mana mereka memiliki semangat berpasukan yang tinggi,'' tambah bekas pemain Chelsea itu.
``Sedikit harapan saya kepada jurulatih baru ialah agar dia tidak mengubah sistem 4-4-2 ketika ini.
``Menukar sistem adalah bukan mudah buat pemain-pemain Malaysia yang memerlukan masa untuk mendapat rentak,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan