JURULATIH bola sepak lelaki
kebangsaan, Alan Harris masih menagih khidmat Yosri Dermaraju untuk
menganggotai skuad ke Sukan SEA sekali pun beliau menyedari keadaan kecergasan
pemain pertahanan itu masih samar-samar.
Ketiadaan jawapan mengenai
keadaan sebenar kecergasan Yosri membuatkan Harris tertanya-tanya sama ada
pemain itu boleh menyertai skuadnya setelah kelibat pemain itu tidak kelihatan
di Wisma FAM.
Harris bagaimanapun menanti
penjelasan pemain pertahanan sebelah kanan itu mengenai mengapa dia tidak
menjalani rawatan sebaliknya pulang ke kampungnya.
Yosri tidak menyertai skuad bawah
23 yang melawat Australia kerana kecederaan ligamen. Pemain kelahiran Negeri
Sembilan itu sepatutnya menjalani rawatan sepanjang lawatan itu.
Bagaimanapun sekembalinya skuad
negara, Harris mendapati Yosri telah pulang ke kampung.
Buat masa ini, Harris masih mahu
mendengar penjelasan daripada pemain Orang Asli itu terlebih dulu sebelum
beliau membuat apa-apa keputusan ke atas Yosri.
``Saya tidak mahu cepat
melenting, jadi lebih baik saya menunggu penjelasan Yosri sebelum membuat
sebarang keputusan,'' kata Harris di Petaling Jaya semalam.
``Dia pemain yang bagus dan kami
memerlukan seseorang sepertinya untuk bermain di bahagian itu. Tetapi dia juga
perlu berasa lebih bertanggungjawab dengan melaksanakan perkara yang sepatutnya
dia lakukan (menjalani rawatan).''
``Saya sudah memiliki kesebelasan
utama tetapi masih mahu memberi peluang kepada Yosri memberikan penjelasan jika
dia berminat.''
Skuad Sukan SEA negara tiba dari
lawatan ke Australia malam semalam. Mereka mengadakan tiga perlawanan
persahabatan di sana dengan mencatatkan keputusan menang 3-2 ke atas Sydney
Crescent tetapi kalah Canterbury Marrickville dan skuad Olimpik Australia.
Harris dijangka menamakan senarai
20 pemain terakhir, esok.
Skuad negara, yang akan bersaing
dalam Kumpulan B dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA bersama-sama
Singapura, Kemboja dan Myanmar, akan berlepas ke Vietnam pada 26 November ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dhqz6wTF
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan