Isnin, 24 April 2017

Rusdi dalam senarai

ARKIB : 04/08/2004
PENYERANG veteran, Rusdi Suparman adalah antara orang lama yang dipanggil menyertai latihan pertama pasukan bola sepak kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih Bertalan Becskei, di kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula Ahad ini.
Rusdi, 31, yang mewakili Selangor PKNS dalam Liga Perdana, kali terakhir mewakili negara pada Pesta Bola Merdeka 2001, adalah antara 33 pemain yang dipanggil menyertai latihan Becskei, yang mengambil alih tugas daripada Allan Harris.
Latihan 10 hari itu merupakan persediaan awal untuk membentuk pasukan kebangsaan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2006 menentang China bulan depan.
Secara keseluruhan Becskei, dari Hungary masih mengekalkan sebahagian besar pemain pilihan Harris di semua posisi.
Becskei mengekalkan penyerang berkaliber, Akmal Rizal Rakhli di posisi depan bersama V. Saravanan dan Indra Putra Mahayuddin.
Di posisi midfield, sebahagian besar calon terdiri daripada tonggak yang sama sewaktu kendalian Harris seperti K. Nanthakumar (Perak), Mohd. Fadzli Saari, Hairuddin Omar (Pahang), Eddy Helmi Abd. Manan (Johor FC), Mohd. Shukor Adan (Selangor) dan Tengku Hazman Raja Hassan (Perlis).
Dua penjaga gol kepercayaan Harris, Jamsari Sabian (MPPJ Selangor) dan Syamsuri Mustafa (Terengganu) terus mendapat tempat dalam senarai pemain pilihan Becskei.
Norhafiz Zamani Misbah terus mendapat kepercayaan Becskei bersama tonggak pertahanan regular kebangsaan seperti Irwan Fadzli Idrus, Rosdi Talib (Pahang), Yuzaiman Zahari (MPPJ Selangor).
Antara muka baru yang dipanggil oleh Becskei termasuk Madzalan Emoi (Sabah), G. Jeevanatham (Johor FC), Azizan Baba (Melaka), Azlan Hussain, Mohd Munir Amran, Mohd Farid Dewan (Melaka Telekom), Khairul Anmar Taam (PKNS), Norfazly Alias, Mohd Shahrul Ezrain Shamsuddin (Terengganu) dan Khairan Eroza Razali (Kelantan) SKMK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan