Sabtu, 8 April 2017

Kita mara ke separuh akhir



ARKIB : 04/12/2003
 
PENYERANG negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (kiri) berusaha melepasi pemain Singapura, Anuar Shah Mohamed dalam aksi Kumpulan B bola sepak Sukan SEA XXII di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, semalam. Akmal menjaringkan satu gol untuk membantu Malaysia mengatasi Singapura 2-0.

PENYERANG, Akmal Rizal Rakhli dan pemain tengah, K. Rajan meneruskan gandingan mantap sebagai penjaring gol terbaik negara setakat ini apabila jaringan mereka membantu Malaysia menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA di Stadium Thong Nhat, Ho Chin Minh, semalam.

Kemenangan kedua berturut-turut skuad bawah 23 tahun negara itu selepas menewaskan Kemboja 8-1 sebelum ini membolehkan Malaysia menempah tempat ke separuh akhir lebih awal tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir menentang Myanmar pada 6 Disember ini.

Akmal yang mencipta hatrik ketika menentang Kemboja memusnahkan sisa-sisa perjuangan Singapura dengan menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-83 manakala Rajan yang menyumbangkan dua gol pada perlawanan pertama lalu, membuka jaringan pada minit ke-58.

Kejayaan manis skuad negara itu turut disaksikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang tiba awal pagi semalam khusus untuk memberi sokongan moral kepada pemain-pemain Malaysia.

Bagaimanapun jurulatih negara, Allan Harris tetap tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun gembira dan lega dengan kemenangan itu.

Katanya, persembahan longgar yang membenarkan Singapura menguasai permainan amat mengecewakannya malah sudah menganggap skuad negara hanya mampu mencatat seri sahaja dalam perlawanan itu.

``Memang ini kemenangan yang dicari-cari tetapi pemain negara tidak bermain dengan baik.

``Malah kita bernasib baik kerana Singapura tidak mempunyai penyudah yang mantap di barisan depan.

``Saya gembira dengan keputusan ini tetapi tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan terutama pada permainan di babak pertama,'' jelasnya selepas perlawanan.

Malaysia bermula garang dalam awal lima minit permainan babak pertama apabila sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin tepat ke sudut sebelah kiri gol Singapura tetapi sempat ditepis penjaga gol Singapura Hassan Abdullah Sunny.

Bagaimanapun selepas itu, Singapura mengambil alih penguasaan terutama di bahagian tengah dengan menyaksikan dua kali pemain lincahnya, Masrezwan Masturi hampir menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 19.

Selepas ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah terpaksa dikeluarkan kerana cedera pada minit ke-37, Malaysia kembali mendapat rentak dengan dua kali sepakan percuma yang diambil Indra tersasar dan terkena palang gol.

Babak kedua, Malaysia membuat pertukaran dengan mengeluarkan Mazuki Yusof dan memasukkan Mohd. Norhissham Hassan dan ia membawa tuah apabila pada minit ke-58, gandingan satu dua Akmal membolehkan Rajan menjaringkan gol pembukaan.

Dua minit selepas itu, Singapura hampir menyamakan kedudukan apabila penyerangnya, Sazali Md. Nor Alam Kamarezaman berjaya meloloskan diri di celah pemain pertahanan Malaysia tetapi sepakannya tersasar sedikit.

Pada minit ke-67, Md. Nor Alam lepas lagi tetapi mujur sepakannya berjaya ditepis penjaga gol negara, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Ketika Singapura mengasak hebat untuk mencari gol penyamaan, Malaysia memusnahkan harapan mereka dengan gol Akmal pada minit ke-83 selepas menerima hantaran daripada Juzaili Samion.

Akmal yang menyambut bola dengan kemas menewaskan seorang pemain pertahanan Singapura sebelum menolak leret masuk ke penjuru sebelah kanan gawang gol lawan. - Utusan

MALAYSIA: Syamsuri Mustafa, Yosri Derma Raju, 3-Norhafiz Zamani Misbah (Shahril Faizal Sharifuddin), Aziz Ismail, Irwan Fadli Idrus (Ronny Harun), K.Rajan, Juzaili Samion, Mazuki Yusof (Norhisham Hassan), Indra Putra Mahayuddin, Fadzli Saari, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

SINGAPURA: Hassan Sunny, Anuar Shah Mohamed, Baihakki Khaizan, Razaleigh Khalik, Sevki Sha'ban, Ridhuan Muhamad, Syed Fadhil Syed Naser, Shahril Ishak, Mustaqim Manzur (Sazali Salleh), Masrezwan Masturi, Mohd Noh Alam Shah.

Pengadil: Luong The Tai (Vietnam).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4diKUvXOz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan