Sabtu, 8 April 2017

Aksi mengecewakan skuad bola sepak negara - Ole-ole pahit dibawa pulang

ARKIB : 26/10/2003
Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

MANAMA, Bahrain - Skuad kebangsaan sudah berlepas pulang ke tanah air dengan membawa seribu kenangan pahit selepas tewas dalam kesemua perlawanan pusingan kedua Kumpulan F bola sepak kelayakan Piala Asia 2004 terutama paling menyedihkan apabila kalah 2-1 kepada Myanmar pada saingan terakhir di Stadium Nasional, di sini kelmarin.

Tidak ada cerita menarik dilakar skuad kebangsaan yang telah gagal ke pusingan akhir Piala Asia di Beijing, China tahun depan selepas tewas 5-1 kepada Iraq dan 3-1 kepada Bahrain - dua pasukan yang telah layak daripada kumpulan tersebut.

Tentunya mengecewakan sesiapa sahaja terutama peminat bola sepak tanah air yang sudah tentu masih teringat lagi azam pemain dan jurulatih Alan Harris untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya tempat kedua Kumpulan F supaya dapat melangkah ke Beijing.

Datang ke Bahrain berbekalkan harapan dan reputasi tinggi, menang 4-0 ke atas Myanmar, mengikat Iraq tanpa jaringan dan seri 2-2 dengan Bahrain selepas berakhir pusingan pertama di Kuala Lumpur tetapi pulang dengan `tangan kosong', tanpa keputusan yang memberangsangkan.

Paling menyedihkan, kekalahan kepada Myanmar, pasukan tangga terakhir yang pernah dibelasah oleh Malaysia dalam pusingan pertama sebelum ini telah mendedahkan sikap pemain skuad kebangsaan.

Apakah alasan kekalahan dengan Myanmar? Atau ketiadaan tujuh tonggak dalam senarai ke Bahrain yang terdiri daripada penjaga gol Azmin Azram Abdul Aziz, Victor Andrag, K. Nanthakumar, Subri Sulong, Nizam Jamil, Akmal Rizal Rakhli dan Zainizam Marjan menjadi punca kegagalan skuad kebangsaan?

Mungkin ketika menentang Iraq atau Bahrain, ketiadaan pemain-pemain teras itu yang tidak disenaraikan kerana kecederaan merupakan di antara faktor penyumbang kekalahan Malaysia, walaupun mereka tidak beraksi dalam pusingan pertama tetapi rekod pencapaian skuad kebangsaan ketika itu memberangsangkan, bagaimana pula dengan Myanmar?

Dalam perlawanan menentang Myanmar kelmarin, Malaysia yang juga turun tanpa tonggak seperti ketua pasukan Tengku Hazman Raja Hassan kerana mengalami kecederaan serta Rosdi Talib dan Shukor Adan yang digantung permainan selepas menerima dua kad kuning mempamerkan aksi buruk.

Inilah penyakit pemain-pemain skuad kebangsaan yang langsung tidak mempunyai semangat selepas kegagalan mencapai sesuatu sasaran sedangkan mereka membawa harapan negara untuk sekurang-kurangnya memberikan aksi terbaik biarpun saingan bakal dihadapi hanya sebagai pelengkap jadual tetapi masih mampu menjulang semangat dan imej negara.

Penyakit itu berulang di Bahrain. Sebelum ini pun, contohnya dalam saingan Piala Tiger 2002, Malaysia yang beraksi cemerlang sekalipun gagal ke perlawanan akhir setelah tewas 1-0 kepada Indonesia telah menunjukkan aksi tidak bertenaga dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kesudahannya, Malaysia tunduk kepada Vietnam, sekali gus gagal untuk mengekalkan kedudukan tempat ketiga yang diraih ketika menentang pasukan sama, di Bangkok pada tahun 2000.

Kali ini skuad negara dimalukan Myanmar, pasukan tangga keempat, satu tangga di belakang skuad kebangsaan dalam kumpulan tersebut yang lebih mempunyai semangat walaupun awal-awal lagi telah terkeluar daripada persaingan ke Beijing.

Namun, kesungguhan pemain Myanmar yang tidak mengenal jemu sekurang-kurangnya berjaya menghasilkan kemenangan sulung buat menutup tirai persaingan peringkat tersebut dengan masih bersemangat sedangkan Malaysia pula sebaliknya.

Dari satu segi, kedudukan tangga ketiga berbanding Myanmar bukanlah kemenangan buat Malaysia kerana skuad kebangsaan kalah daripada segi moral kepada sebuah pasukan kerdil di Asia Tenggara.

Malah, Harris berkata, barisan pemain skuad kebangsaan beraksi dengan buruk ketika menentang Myanmar yang langsung tidak membayangkan sebuah pasukan sebenar sebagaimana ditunjukkan dalam pusingan pertama.

``Pemain beraksi dengan buruk sekali mungkin kerana perlawanan dengan Myanmar dianggap tidak bermakna selepas gagal mencapai sasaran tetapi saya sudah katakan kepada pemain bahawa mereka tidak boleh mengubah keputusan.

``Jadi, pemain seharusnya bermain sebagaimana biasa untuk mencipta kemenangan selepas kita ketinggalan 2-0 pada babak pertama dan kita bangkit memberikan saingan pada separuh masa kedua tetapi sudah tidak mempunyai masa, hanya satu gol berjaya dihasilkan,'' kata Harris.

Itulah kesudahannya, skuad kebangsaan sekali lagi membawa cerita, bukan kisah menarik tetapi episod sedih yang terus mengecewakan peminat-peminat bola sepak tanah air.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula bagaimana? Jika turut kecewa lakukanlah sesuatu demi bola sepak tanah air. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4de40EV5p
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB : 24/10/2003
`Mirnawan' jadi kebanggaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan