Selasa, 18 April 2017

Malaysia tewas di Korea

ARKIB : 15/04/2004
PEMAIN Korea Selatan, Kim Dong-hyun (kanan) membuat tandukan yang hanya dapat disaksikan oleh pemain Malaysia, Rezuan Radzy dalam aksi pusingan kedua kumpulan A bola sepak kelayakan Olimpik di Suwon, Seoul, semalam. Korea menang 3-0. - Gambar AP.


SEOUL, Korea Selatan - Malaysia terus hanyut dalam kempen kelayakan bola sepak Sukan Olimpik apabila mencatat kekalahan ketiga dalam Kumpulan A, kali ini tumpas 3-0 kepada Korea Selatan di gelanggang pasukan lawan itu, semalam.
Ia juga adalah kekalahan kedua barisan pemain kendalian Allan Harris itu kepada Korea Selatan selepas tewas 1-0 pada pusingan pertama di Stadium Petaling Jaya, 24 April lalu.
Kekalahan itu mengekalkan Malaysia di tangga paling bawah kumpulan dengan satu mata yang diperoleh ketika seri 1-1 dengan China sebelum itu.
Malaysia sebelum ini tewas 4-1 kepada Iran dalam perlawanan pembukaan.
Korea Selatan pula semakin hampir melangkah ke pusingan akhir Sukan Olimpik di Athens, Greece Ogos ini, selepas mengumpul maksimum 12 mata selepas empat perlawanan.
China di tangga kedua dengan empat mata diikuti Iran dengan tiga mata.
Penyerang berbahaya Korea Selatan, Kim Dong-hyun menjaringkan dua gol di Stadium Piala Dunia Suwon itu, manakala satu gol lagi dihasilkan oleh Chun Jae-Woon.
Gol pertama Kim hadir ketika permainan berusia hanya dua minit apabila penyerang itu merembat kencang dengan kaki kiri dalam kotak penalti Malaysia.
Jae-woon menggandakan jaringan untuk Korea Selatan pada minit ke-69, kurang seminit selepas masuk sebagai pemain gantian.
Dia merembat masuk bola ke gawang menewaskan Syamsuri Mustaffa walaupun penjaga gol Malaysia itu berusaha melayangkan badan menepis bola rembatannya.
Kim kemudian menanduk masuk satu lagi gol 17 minit kemudian, menyambar bola hantaran lintang Choi Tae-uk.
Korea Selatan memiliki baki dua perlawanan iaitu menentang China pada 1 Mei dan Iran pada 12 Mei.
Malaysia pula akan menentang Iran pada 30 April di Tehran sebelum menamatkan kempen kelayakan getir ini menentang China di Petaling Jaya pada tarikh yang ditentukan kemudian.
Pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik zon Asia ini disertai 12 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada empat pasukan setiap kumpulan.
Juara setiap kumpulan layak ke Sukan Olimpik di Athens, Ogos ini.
Jepun, yang merangkul pingat gangsa pada temasya Olimpik 1968, telahpun menjuarai Kumpulan B.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan