Oleh Haradian Shah Hamdan
MALAYSIA akan bergantung harapan
kepada barisan pemain muda bagi menyaingi bintang-bintang berpengalaman dari
tiga kelab utama England; Newcastle, Chelsea dan Birmingham City pada kejohanan
bola sepak Liga Perdana FA Piala Asia, bulan depan.
Dengan purata umur pemain skuad
kebangsaan kali ini ialah 22.7 tahun, ia mencipta rekod tersendiri apabila
muncul pasukan paling muda pernah dipilih mewakili negara dalam perlawanan di
peringkat antarabangsa.
Skuad yang dibarisi pemain
termuda berusia 19 tahun (Yusri Dermaraju dan Fadzli Shaari) serta paling tua
27 tahun (Azmin Azram) itu, bakal berdepan nama-nama besar seperti Alan
Shearer, Craig Bellamy, Marcel Desailly, Gian-franco Zola dan Christopher
Duggary dalam kejohanan pada 24 hingga 27 Julai nanti.
Penolong Ketua jurulatih, B.
Sathiana-than berkata, barisan pemain muda yang menjadi tonggak skuad negara
ketika ini lahir dari usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan
skuad di pelbagai peringkat umur sejak lapan tahun lalu.
``Pembentukan pasukan-pasukan
peringkat umur mula menampakkan hasil dengan kemunculan bakat-bakat baru yang
membarisi skuad Bawah 20, 23 dan pasukan senior negara,'' katanya yang
merupakan anggota panel jurulatih FAM sejak lapan tahun lalu.
Jelasnya, pemain-pemain muda yang
digilap selama ini mula menampakkan peningkatan dan menonjol dalam saingan di
peringkat antarabangsa.
Katanya, daripada 25 pemain yang
menjalani latihan pusat di bawah kendalian Allan Harris bagi kejohanan Liga
Perdana FA Piala Asia nanti, 13 adalah dari skuad Olimpik dan Sukan SEA yang
berumur 23 tahun ke bawah.
Katanya, pengalaman menentang
tiga kelab England pada kejohanan itu nanti dapat memberi pendedahan berguna
kepada pemain-pemain muda negara.
``Kejohanan tersebut akan
mempercepatkan kematangan barisan muda ini seperti yang ditunjukkan selepas
perlawanan dengan Brazil dan Manchester United tahun lalu,'' katanya yang
menganggap persembahan baik pada Piala Tiger tahun lalu adalah hasil pengalaman
yang ditimba dalam dua perlawanan persahabatan tersebut.
Malah, katanya kali ini
pemain-pemain muda dituntut mempamer aksi serta stamina tinggi agar tidak layu
menentang dua kelab profesional berturut-turut dalam masa tiga hari.
Tambahnya, kejohanan Liga Perdana
FA Piala Asia itu diadakan sesuai pada masanya kerana pemain Bawah 23 tahun
kebangsaan dijangka akan mencapai kemuncak prestasi bagi menghadapi Sukan SEA
di Vietnam dan pusingan kedua pra-Olimpik.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4czbTaZNq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan