Jumaat, 28 April 2017

Jurulatih bidan terjun tetap intai suku akhir

ARKIB : 25/09/2004

SEBAHAGIAN pemain pasukan bola sepak kebangsaan bawah 20 tahun giat menjalani latihan terakhir menghadapi Kejohanan Belia Piala Asia di padang Sri Gelam, Johor Bahru semalam. - Gambar ZAINI HUSSIN.


ATAS kertas, skuad kebangsaan bawah 20 tahun di bawah bimbingan jurulatih `bidan terjun' K. Rajagopal mampu melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Belia Piala Asia yang bermula malam ini.
Hanya kemenangan ke atas Vietnam, lawan pertama skuad kebangsaan memulakan kempen di Stadium Larkin, Johor Bahru malam ini, mampu merealitikan impian tersebut.
Jika menang secara matematik, anak buah Rajagopal tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan kedua ke atas Nepal dalam perlawanan terakhir Rabu depan.
Dua kemenangan itu sudah mencukupi buat skuad kebangsaan untuk mara ke suku akhir.
Ini tidak mengambil kira pertemuan dengan Jepun yang juga naib juara Belia Piala Asia dua tahun lalu di Qatar pada perlawanan kedua Isnin ini.
Perlawanan ini sudah pastinya akan memihak kepada Jepun yang diramal akan menjuarai kumpulan A.
Mara ke suku akhir dianggap pencapaian terbaik barisan pemain negara walaupun sukar untuk mengulangi pencapaian silam 45 tahun lalu apabila muncul naib juara pada 1959 di Kuala Lumpur.
Apa pun segalanya akan terjawab malam ini.
Berdepan dengan Vietnam bukan terlalu asing buat anak buah Rajagopal.
Sewaktu di bawah bimbingan bekas jurulatih dari Brazil, Jorvan Vieira yang telah dipecat dua minggu sebelum kejohanan bermula, skuad kebangsaan mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan.
Dengan senarai 20 pemain yang telah dikenal pasti oleh Rajagopal bakal menggalas cabaran bermula malam ini, sudah pasti pemain kebangsaan mampu merealitikan impian untuk menang.
Tempoh tidak sampai dua minggu jurulatih `bidan terjun' Rajagopal menggalas cabaran mengambil alih tugas daripada Vieira, sukar untuk meramalkan peluang atas kertas itu.
Rajagopal berkata, memang skuad kebangsaan berpeluang ke suku akhir jika mengatasi Vietnam dan berdepan dengan Nepal.
``Untuk pertemuan dengan Vietnam, saya percaya para pemain tidak menghadapi masalah.
``Apa pun perlawanan malam ini tetap penting dan menjadi penentu,'' ujarnya sambil mengakui tidak banyak dapat dilakukan sejak menggalas tanggungjawab Vieira.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan