Ahad, 30 April 2017

Bicskei dalam dilema memilih pemain

ARKIB : 03/11/2004
JURULATIH bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei kini dalam dilema untuk menamakan barisan yang akan menggalas cabaran di Piala Tiger bulan depan.
Kemelut yang melanda Bicskei kerana beberapa pemain utama masih dilanda kecederaan manakala ada di antara mereka juga yang terpaksa menjalani pembedahan.
Tidak banyak masa buat Bicskei ketika tanggal 6 November ini adalah tarikh akhir buat jurulatih itu untuk menyerahkan senarai 30 pemain kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
``Amat sukar pada masa ini untuk memikirkan siapa yang wajar diberi tempat dalam skuad kebangsaan berdasarkan aksi Malaysia menewaskan Singapura 2-1, kelmarin,'' ujar Bicskei.
Menurutnya, beliau tidak mahu menanggung risiko menyenaraikan pemain yang dalam keadaan 50-50 untuk pulih daripada kecederaan.
Antara mereka yang cedera ialah Lim Chan Yew, Mohd Fadzli Saari, Khaironnisam Shahaabuddin, Hairuddin Omar, Tengku Hazman Raja Hassan, Kamarulzaman Hassan, Juzaili Samion, Shahril Faizal Sharifuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Irwan Fadli Idrus.
Ketika Akmal, Irwan, Kamarulzaman dan Khaironnisam menjalani pembedahan, pemain lain pula kini dalam prose pulih daripada kecederaan yang dialami.
Mengulas lanjut Bicskei berkata, apa yang membimbangkan beliau jika pemain cedera disenaraikan dan sewaktu kejohanan bermula, pemain itu tidak boleh bermain ini pasti memberi tamparan hebat.
``Ini sebenarnya bukan keputusan mudah untuk dibuat, saya juga kena mengambil kira pemain lain yang berusaha keras dalam latihan,'' ujarnya.
Secara keseluruhannya, Bisckei sudah membayangkan pemain yang akan berada dalam kesebelasan utama ketika aksi cemerlang skuad kebangsaan membenam Singapura.
``Pemain ini wajar dikekalkan dengan beberapa rombakan pemain perlu dilakukan, apa yang pasti saya mahukan pemain yang benar-benar berkualiti berada dalam pasukan ini,'' tegasnya.
Dalam perlawanan persahabatan di Singapura kelmarin sebagai persiapan rapi menghadapi Piala Tiger, skuad Bicskei mencapai kemenangan tipis 2-1.
Gol-gol Malaysia telah dijaringkan oleh Mohd. Khalid Jamlus (m-67) dan Amri Yahyah (m-90) manakala jaringan tunggal Singapura pula oleh Itmi Dickson (m-20).
Begitupun secara rambang jurulatih itu sudah ada perkiraan pemain yang bakal disenarai di Piala Tiger nanti.
Bisckei menambah, latihan selama sepuluh hari di Pulau Pinang membabitkan 33 pemain akan menjadi medan untuk beliau bagi mengenal pasti pemain yang akan beraksi di Piala Tiger.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan