Jumaat, 14 April 2017

Khalid usaha bersih nama

ARKIB : 29/02/2004


JURULATIH skuad Piala Dunia negara, K. Rajagopal (kanan) sedang mengarahkan pemain pertahanan, Subri Sulong menuruti strategi yang diaturnya ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH. PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad bola sepak kebangsaan semalam berazam membersihkan namanya yang dilabel pemain kontroversi.
Sambil menyifatkan pemilihannya menjalani latihan bersama skuad negara sebagai satu penghargaan, Khalid berkata ia merupakan detik kebangkitan semula setelah lapan bulan berehat akibat kecederaan lutut.
``Saya gembira kerana masih diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara walaupun baru sahaja kembali beraksi bersama Perak.
``Begitupun ini baru tahap pemilihan dan apa yang dapat saya katakan saya akan mencuba yang terbaik jika tersenarai ke skuad kebangsaan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Khalid merupakan seorang daripada empat pemain baru yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait dan China, bulan depan.
Khalid dipanggil oleh jurulatih, K. Rajagopal bersama tiga lagi pemain iaitu tonggak tengah Selangor, Mohd. Shukor Adan, Gilbert Cassidy Gawing (Sarawak) dan Shahril Faizal (Pahang).
Khalid mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan dua tahun lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger 2002.
Penyerang itu menyatakannya kepada jurulatih negara ketika itu, Allan Harris semasa pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sejak itu, Khalid tidak dipanggil untuk membarisi pasukan negara dalam kejohanan yang membabitkan pasukan kebangsaan termasuk perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Hong Kong, 18 Februari lalu.
Perkhabaran gembira itu diterima sejurus dia kembali mempamerkan bisa apabila menjaringkan gol kemenangan ketika Perak menewaskan pasukan Happy Valley FC 2-1 dalam Kumpulan D Piala AFC di Stadium Mongkok , Hong Kong, Rabu lalu.
Begitupun Khalid menegaskan dia masih disaluti kebimbangan apabila memikirkan tahap kecergasan yang belum cukup memuaskan.
``Lapan bulan berehat menyebabkan saya belum cergas sepenuhnya. Saya memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk benar-benar cergas.
``Ketika perlawanan menentang Happy Valley tempoh hari saya hanya bermain 30 minit sahaja.
``Selain itu, saya juga bimbang kecederaan lutut kembali berulang kerana ia masih belum pulih sepenuhnya,'' ujarnya yang memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan